header-photo

Nyalarasa...

Sebagai seorang penerbit buku, saya ditanya mengapa saya tawar dan setuju karya Pak Samad diterbitkan oleh PTS dan ITBM? Ada yang bertanya berapa saya dapat (dari segi kewangan)? Dan, sebenarnya ada, tapi tidak banyak.

Saya seorang penerbit yang kebetulan menerbitkan buku karya bapanya sendiri (dan emak juga). Saya rasa puas melihat karya-karya mereka diterbitkan. Selama tiga tahun saya memikirkan bagaimana mahu terbitkan karya-karya mereka. Masa itu memang tidak ada dana. Kebetulan saya kenal orang-orang penting di PTS. Alhamdullillah, karya-karya Bapak rancak di pasaran. Namun, setelah setahun berlalu, saya rasa agak pelik dan kecewa setiap kali karya-karya Bapak diterbitkan oleh PTS. Jangan salah sangka, seperti yang saya katakan, saya bersyukur dan puas melihat karya-karya Bapak diterbitkan, tetapi saya sebagai seorang penerbit  merasa seperti ada sesuatu yang tidak lengkap. Penerbit harus terbit buku - itulah bahagian yang hilang; nyalarasa saya.
Kerjasama dengan ITBM sesuatu yang menghidupkan saya semula. Hidup kerana saya mula menjalankan tugas sebagai seorang penerbit. Bukan keseluruhan, tetapi memadai buat masa ini untuk mengisi kekosongan yang ada dalam jiwa. Ini, saya sangat berterima kasih kepada ITBM. Bila Rindu Ibu berada di pasaran Sabtu lalu, saya tersenyum puas. Ini bukan soal wang sebenarnya. Ini soal nyalarasa (passion). Saya mahu karya-karya Bapak dibukukan, alhamdullillah PTS sambut dan selepas itu saya mahu libat semula dalam penerbitan, alhamdullillah ITBM memahami.

Saya tahu juga masih banyak rintangan di hadapan - yang dirasai, diramalkan dan yang langsung tidak diketahui. Saya hanya mahu berterima kasih kepada PTS dan ITBM. Syukur dan terima kasih juga kepada Allah. Ini semua dengan izinNya jua.

1 reaksi:

Anonymous said...

salam,
bagaimana dengan Novel Salina? Boleh saya tahu perkembangan nya?