header-photo

Jika...

Bagi seorang lelaki - sekurangnya pada saya yang berumur kini - nafkhah sangat penting. Jika bujang atau duda, nafkhah emak dan anak teratas sekali dan jika berkeluarga maka bertambahlah.

Terimbas semasa saya duda, anak dan emak utama pada mulanya. etelah itu saya sedar, tiga ekor kucing yang saya warisi itu nombor satu. Saya sering terlepas memenuhi nafkhah anak dan emak, tetapi tidak pernah terlepas jika dengan Velvet (abang), Chloe (kakak) dan Omar. Tidak pernah mereka tidak makan. Pernah sekali itu dalam poket saya ada RM10. Makanan kucing sudah habis. Saya lapar. Dalam kepala sedang timbang-timbang...akhirnya saya turun ke kedai bawah, beli makanan kucing sekitar RM7 lebih dan beli roti. Setelah memberi kucing makan, saya pula makan. saya tahu dalam poket tinggal beberapa sen sahaja. Bagaimana malam ini? Esok? Benar, saya menitiskan airmata mengenang nasib. Tawakal. Dalam kepala mencari-cari jalan keluar. Hendak minta kawan atau insan lain duit - berhutang - saya tidak mampu lagi kerana selalu sangat dan akhirnya rasa malu itu terlalu dominan. Masuk zohor, kembali saya mengadap dan mengadu kepadaNYA.

Telefon berdering... saya tidak kenal nombornya.

Saya: Hello...
Pemanggil: Assalamualaikum Encik Helmy. Saya Xxxxxxx dari Xxxxxxx. Kami hendak beli buku...

Petang itu dalam poket saya ada sekitar RM2,000 semasa saya ke kedai peliharaan haiwan. Saya beli makanan kucing dan pasir. Stoknya boleh tahan lebih sebulan. Selepas Isyak saya bersiap dengan kemas. Pertama ke bank masukkan duit untuk anak. dan akhirnya ke rumah emak. Itu yang selalu saya pastikan bila hendak berjumpa emak - kemas dan berduit. Emak sakit jantung dan menampilkan diri kemas, ceria dan berduit (yang akan diberikan (tidak banyak, selalunya RM50) sebelum balik) penting. Saya tidak mahu dia risaukan saya. Saya tidak mahu dia tahu saya susah.

Lewat malam setelah makan, minum dan berbual dengan Rahmat, saya mengimbas hari saya semasa santai berbaring...esok hendak bayar hutang si polan... bayar duit kereta... bil api dan air... dan akhirnya sedar sebelum esok berakhir dalam poket akan ada sekitar RM200. Begitulah putaran dan pembahagianNYA. Keadaan ini terlalu biasa sebenarnya buat saya yang tiada pekerjan tetap dan berniaga buku. Banyak kali terdetik dalam hati membayagkan betapa beruntung jika saya kerja tetap. Senang buat pembahagian/nafkhah setiap bulan kerana tahu jumlah tetap pendapatan. Namun, saya terima jalan yang saya laluinya. Boleh tahan hikmah sebenarnya (satunya baca sirah nabi) - lain kali saya cerita.

Jangan sesekali berputus asa dalam kehidupan. Tuhan tidak membebani hambanya dengan sesuatu yang kita tidak boleh atasi. Doa dan usaha banyak. In shaa Allah selagi kita bernafas selagi itu kta ada rezeki.

Jika anda baca ini, percayalah anda masih hidup dan berezeki.

Hasbunallah wa'nikmal wakil...


0 reaksi: