Jarang sekali dia hadir dalam ingatan, kecuali apabila ibu atau bapa bercerita tentangnya. Namun, akhir-akhir ini, hampir setiap detik, terutama bila kesunyian, dia muncul dengan senyuman dari wajah yang lesu, tapi masih mampu meyakinkan dan aku tersenyum sayu - merinduinya. Menutup mata, aku melayang, mencari dan tercari dirinya itu dan aku merasakan urat-urat tubuhku hidup, mungkin jantung terangsang, darah mengalir deras menjana kembali semangat yang telah lama menyepi.
Aminah. Dia begitu segar dalam ingatanku – rambutnya hitam, tetapi terserlah garisan-garisan uban jika diamati, diikat bersiput – rapi, dia tidak takut untuk memaparkan wajahnya. Bujur sirih mukanya itu begitu ketara kerana hanya hampir kulit saja yang menyelaputinya. Cengkung dimerata yang tidak bertulang - matanya yang kelabu air itu menawan tetapi harus diredakan dengan selaput yang mungkin mengaburkan pemandangannya. Wajahnya begitu kacau – sungguh, walaupun usianya tidak menggambarkan demikian. Kedutan yang bergaris-garis itu jelas kerana mungkin dia sering berekpresi - masa yang penuh kesengsaraan; peperangan dan kemiskinan. Masa yang tidak begitu membenarkannya tidur lena dan perancangan masa hadapan tidak jauh – bagaimana mengisi perut esok? Ketawa atau senyuman itu tulen bermakna. Mana mungkin senyum bila dingin peluh mengiringi diri yang ketar menahan lapar. Mana mungkin ketawa apabila memikirkan esok entah siapa bakal menyambut bom atau peluru tentera Jepun? Aminah, hampir tigapuluh tahun dia pergi, namun wajahnya itu terpahat dalam ingatan sejak akhir ini. Sebelum ini dia tidak begitu menonjol dalam ingatanku. Malah selama ini tidak langsung aku memikirkan tentangnya kecuali apabila ibu atau bapa bercerita tentangnya.
“Nenek kalau datang mesti bawa sebalang Hacks untuk Helmy…,” ibu bercerita.
“Sambal tumis mak sedap…,” bapa bercerita.
“Nenek nak datang?” bisik hatiku riang mengetahui.
Tidak begitu banyak ceritanya yang aku dengar, tetapi dia begitu dominan dalam hidupku. Mungkin kerana wajahnya itu. Mungkin saja bibirnya yang terketar setiap kali dia lembut bercakap. Mungkin saja matanya itu. Ya, matanya yang kelabu, ayu dengan diiringi senyuman, itu yang sering aku teringatkan. Bersama karipap segitiga yang dijaja diatas basikal rodatiga, tidur di loteng, duduk bermain “Carum” diatas pangkin semuat beranda dan jamban yang tongnya diangkut setiap subuh, nenek begitu kuat pengaruhnya bila di Jalan Al-Sagoff.
Aku lebih rapat pada Datuk Said – suami Nenek Aminah - dan Datuk Rashid, sementara Nenek Asiah – isteri Datuk Rashid – tidak begitu rapat denganku kerana aku merasakan bahawa dia tidak begitu sayang padaku lalu aku kerap mengelak dari berjumpa atau bila bersama, berbual panjang dengannya. Tidak, aku tidak menyalahkannya. Cucu-cucunya yang ramai membahagikan perhatiannya sehingga aku merasakan begitu. Aku cuma seorang cucu yang kelemahan utamanya adalah emosiku sendiri.
Mereka semua telah pergi kecuali Nenek Rosiah dan aku tahu, aku perlu “memperbetulkan” apa yang tidak betul dengannya sebelum dia juga pergi. Namun begitu, aku bukannya hendak bercerita tentang Datuk Said, Rashid ataupun Nenek Rosiah. Mereka belum mengetuk pintu ingatanku lagi – walaupun hatiku terusik mengenang mereka; mereka belum menghantuiku. Nenek Aminah mahu bercerita – cerita kisahnya bersama aku, cucu kesayangannya, begitulah yang mahu aku ingati tentangnya; aku, cucu kesayangannya. Begitulah yang mahu aku rasakan dan percaya. Dan, aku mahu bercerita sedikit mengenainya.
Tidak banyak babak aku bersamanya: Rumahnya yang berhadapan Hospital Besar, kemudian di Jalan Al-Sagoff – keduanya di Singapura - dan rumah ibubapaku di Jalan Aman dan kemudian di Tan Yew Lai Garden – di sini. Empat tempat ini saja yang sempat aku bersamanya. Namun tempat-tempat ini memberi kesan yang begitu mendalam kepadaku. Rumah-rumahnya di Singapura sudah tiada kerana ditelan pembangunan, namun rumah yang pernah disewa oleh ibubapaku di Jalan Aman dan Tan Yew Lai Garden masih ada dan sudah dua kali aku melawat sekadar membawa kereta, berhenti seketika didepan, cuba mengingati silam dan berlalu. Bagai khazanah yang lama tertanam, “menjenguk” tempat-tempat ini bagai hujan yang mengakhiri kemarau - sedikit demi sedikit terbuka peti khazanah peninggalan Nenek Aminah - dalam ingatan, terimbas akan dirinya itu, terbuai melayan silam dan aneh, merasai kehangatannya…sesuatu yang telah lama aku tidak kurasai dari seseorang yang terlalu lama aku lupai.
Ini bukan fiksyen yang lahir dari imaginasiku, ingatanku terhadapnya yang paling segar dan memberi kesan mendalam di masa aku berumur dua tahun atau paling tidak tiga. Aku menyatakan begitu kerana wajahnya jelas waktu itu walaupun suasana agak gelap waktu itu. “Syhhh….syhhhh…syhhh,” sambil menolak perlahan buai besi tempat tidurku. Aku tidak ingat mengapa dia begitu – mungkin aku “melalak” kelaparan atau digigit nyamuk – tapi, aku ingat melihat sekujur tubuh – berdiri – bersebelahanku dan, “Syhhh…syhhh…syhhh,” sambil kedengaran bunyi geseran, “krek, krek, krek,” dan dalam aku dibuai, sedikit demi sedikit wajahnya membentuk.
Peristiwa itu sebenarnya telah lama bermain dalam ingatanku. Selama ini aku benar beranggapan bahawa sekujur tubuh yang berdiri bersebelahan tempat tidurku itu adalah hantu! Selama berpuluh tahun aku membawa pengertian ini: Yang berdiri di sisiku itu adalah hantu! Namun selepas aku melawati rumah di Jalan Aman itu, entah mengapa, sedikit demi sedikit aku dapat “menonton” kisah silamku itu dan Nenek Aminah begitu nyata di sisiku waktu itu. Mungkin permainan mindaku, tetapi semenjak dia begitu dominan dalam ingatanku, aku mula mengingatinya begitu. Mungkin saja aku yang mahu memikirkan begitu dan meletakkan pemahamanku sebegitu. Tapi ia begitu jernih kini. Aku melihatnya – dia yang bersebelahanku, membuaikanku dengan irama, “Syhhh…syhhh…syhhh,” yang seakan diselang-selikan oleh, “krek…krek…krek.”
“Helmy…duduk sini makan tau. Jangan bising, nanti mak tau.”
Aku hanya mengangguk dengan sebatang aiskrim di tangan dengan suhu badanku yang agak tinggi kerana demam – duduk di tangga pintu belakang rumah berhadapan hospital, menikmati aiskrim. Nenek berlalu dan pintu itu ditolak, tetapi, tidak ditutup rapat…hanya sekadar “menyembunyikan”. Mataku terpaku pada pintu itu dan aiskrim itu lahap aku nikmati - cuba habiskan dengan cepat kerana takut apabila pintu itu terbuka, bukan nenek yang muncul, tetapi emak.
“Kenapa mak belikan Helmy aiskrim? Diakan demam?”
“Mana Sal tahu?”
“Tengok mulutnya tu, warna oren.”
“Biarkanlah, takut dia kempunan.”
Tidak aku ingat sangat apa kata emak selepas itu. Dia berleter, sesekali nenek mencelah lembut dan aku membelek-belek komik “Beano” dan “Dandy” diatas katilku, cuba memahami apa yang mereka katakan. Aku tahu, nenek akan melindungiku…
Al-Sagoff. Rumah teres kayu setingkat berderetan berhadapan dengan rumah-rumah kampung yang dipisahkan oleh sebatang jalan. Aku sering ke sana semasa berumur lima hingga lapan mungkin sembilan tahun. Nenek dan Datuk tinggal di sini dengan Makcik Esah dan anak-anaknya – sepupu aku. Makcik Esah adalah isteri kepada abang bapaku. Aku tidak mengenalinya – pakcikku itu…aku tidak sempat mengenalinya.
Dengan sebuah bilik yang mengasingkan antara ruang tamu dan dapur, aku dan sepupuku, Harman, Dolah, Latif, Kak Ani, Mazni dan Bibah kerap menghabiskan masa diluar. Kami kerap bermain “Carum” dan kadangkala – ini yang membingungkan aku – “sembunyi-sembunyi” dalam rumah kecil ini. Loteng tempat Uncle Rahman tidur – adik bapaku – menjadi tempat kegemaranku bersembunyi. Uncle Rahman yang tidur – dia kerja malam – selalu “bising” memarahi kerana diganggu dan seperti kebiasaan, Nenek datang mententeramkan keadaan.
Satu perkara tentang rumah ini yang paling aku ingati adalah jambannya. Aku masih ingat apa yang dibawah sana. Setiap awal pagi, seorang apek akan datang “membuangnya” dan aku pastikan bahawa akulah yang pertama menggunakan jamban itu setelah isinya dibuang – walaupun begitu, baunya tetap ada.
Nenek akan menyikat dan membedak mukaku setiap pagi selepas mandi. Mukaku putih kerana bedak yang ditempekkan mukaku agak tebal. Sarapan pagi tersedia dan aku agak hairan bagaimana Nenek mampu menyediakannya walaupun dia sibuk dengan kami. Nasi yang dibungkus dengan daun Ketapang itu sesuatu yang aku masih hargai. Makcik yang menjualnya di pondok berpangkin – dibawah bawah pokok Ketapang – dengan periuk dan bekas-bekas lauk sekelilingnya. Gerainya seperti pesta kecil setiap pagi. Hingga ke hari ini, jika aku terserempak dengan pondok yang sebegini, aku pasti akan berhenti, teringat al-Sagoff, menikmati juadahnya, mencari silam. Namun ia tidak sama. Bau nasi yang panas dengan lauknya yang dibungkus dalam daun Ketapang itu sudah pupus, tetapi suasana itu masih ada – selalunya di Pantai Timur.
Kali terakhir – seingat aku – bersama nenek ialah ketika dia datang melawat kami di Taman Tan Yew Lai. Waktu itu kami berpindah dari Jalan Aman. Seperti kebiasaan, dia akan membawa sebalang gula-gula Hacks untukku dan seperti kebiasaan, kehadirannya mengundang kemanjaan dariku. Seperti kata emak, aku selalu “naik toncit” kalau nenek ada. Aku hampir pasti dapat apa yang aku mahukan – nenek akan pastikan dan entah mengapa, hampir setiap kali dia berkunjung, aku akan sakit…
Dia mengusap-usap dahiku dengan sebelah lagi tangannya menepuk-nepuk pehaku. Melihat wajahnya, aku begitu aman. Hanya kulit menutupi mukanya yang cengkung itu. Wajah itu menyatakan kepayahan hidup yang pernah dia lalui. Wajah yang menenangkanku. Aku masih ingat…
“Ada sesuatu yang tidak kena. Mengapa matanya berair? Adakah dia bersedih kerana cucunya ini sakit? Aku rasa begitu berlainan sekali. Usapan dan tepukannya itu berlainan sekali. Jiwaku terusik. Aku merasai usapan dan tepukannya itu penuh dengan…kesayuan. Dia cuba meyakinkan dengan lirik senyuman, namun aku tidak mampu melarikan pandanganku dari muka yang penuh kesayuan itu. Setiap usapannya menambah rasa sayangku padanya. Setiap tepukan itu mengunci rasaku itu. Ada sesuatu yang tidak kena. Matanya berair dan itulah kali terakhir aku menatap wajahnya…”
“Dalam deras hujan yang turun membingitkan suasana, mataku tertumpu pada rumah di Jalan Aman itu – mengingatkan aku tentang dia yang masih menghangatkan diriku ini. Kasih sayang yang dia berikan itu ada, tidak luntur cuma terabai oleh diriku sendiri. Dalam deras hujan yang memaksa aku berusaha lebih meneliti kerana agak kabur dari dalam kereta ini, diriku dilanda perasaan begitu rindu sekali padanya. Airmata ini tidak mampu menandingi deras diluar itu kerana apa yang diluar itu adalah dirinya, kasih sayangnya, kesetiaannya pada seorang cucu yang terlalu jauh mengkhianati. Aku harus mengenali erti khianat sebelum aku menghargai erti setia itu. Aku masih mendengar, “Syhhh…syhhh…syhhh,” dan “krekkk…krekkk…krekkk,” -mengilukan. Tangan kasar yang mungusap lembut mengalirkan rasa sayangnya padaku itu masih aku rasai dan tepukan yang berentak memupuk semangat keyakinan itu telah aku jumpai semula. Mana mungkin duniaku gelap dan sejuk kerana dia terlalu setia dalam hatiku ini”
Nenek Aminah disemadikan di Tanah Perkuburan Bidadari di Singapura. Sehingga kini aku masih belum melawatnya. Usia yang melewati empatpuluh dan aku masih belum melawatnya! Aku juga tahu bahawa perasaan sebegini aku kongsi bersama bapa. Nenek pergi sebelum sempat melihat rumah yang bapa beli – nenek selalu ‘membebel’ bertanya dan menyuruh bapa membeli rumah. Bapa kerap menangguh kerana mungkin kereta ‘Hillman”nya itu lebih penting di waktu itu – aku tahu bapa kesal. Setelah sekian lama dan terlalu banyak yang telah aku lalui, dia muncul kembali: Seperti kebiasaan, muncul di masa aku dilanda pelbagai masalah. Dia masih setia padaku, menenangkan dan cuba mengamankan.
“Nenek, jangan risau…Helmy tak apa-apa. Ini cuma demam biasa dan kesulitan hidup ini cuma dugaan Maha Esa, Helmy tahu dan nenek jangan risau,” hatiku berkata dengan tekad untuk ke Bidadari memberi penghormatan yang terlalu lama terabai, “Maafkan Helmy nenek.”
Setiap Ramadhan nenek hadir…entah mengapa…Al-Fatihah buat Nenek Aminah. Semoga dicucuri rohnya dicucuri rahmat dan digolongkan dalam golongan mereka yang beruntung. Amin.
*Maaf bahasa dan jalan cerita agak longgar kerana spontan menulis.
MITI wants DC chargers in all Selangor, Johor districts
55 minutes ago
4 reaksi:
Salam.
Maaf, dibuang kerana tidak relevan dengan topik.
salam bang,
Sangat suka dengan tulisan2 nostalgia begini!
Ah...membaca kisah nenek Aminah, teringat saya akan kedua-dua aruah nenek saya. Mereka cukup istimewa di hati. Sesungguhnya, kisah bersama insan-insan istimewa patut disemat di sanubari sepanjang masa selagi hayat masih ada...
Post a Comment