header-photo

Masa depan anak...

Saya ada...tidak ke mana.
Cuma sering berfikir...tentang dunia dan diri.
Risau dan kacau mengenang dunia yang diwarisi anak-anakku...
hatiku benar luluh...
Ali semakin dewasa. Dia 18 bulan kini...
semakin mengenali dunia...
semakin dahagakan input...
dan tentu sekali ini memberikan harapan masa hadapan.

Masa yang berlalu...

Dia terlalu pantas...
Saya sedar, sedaya mana saya mencuba...
tak akan mencukupi...masa!

Hampir sebulan menyepi...saya mula menilai erti kehidupan ini...

Apabila saya memulakan fasa kedua pembangunan WB, saya disentak beberapa perkara. Seorang lagi sahabat telah “pergi” – dia hanya 35. Saya terlontar ke suatu alam.

Apakah ini sumpah hidup saya? Saya lihat seorang demi seorang pergi. Mereka jauh lebih muda dari saya. Malah antara yang ada, sayalah yang paling tua. Rasa begitu sepi...

Fasa kedua WB – menyediakan sebuah pejabat urusan untuk memenuhi keperluan perniagaan semasa dan akan datang. Saya yakin, masa depan WB sungguh cerah.

Dalam kesepian sahabat, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan tubuh. Semasa di Perlis beberapa minggu lalu, saya mendaki sebuah bukit di Batu Pahat. Saya tercungap. Hampir dipuncak, saya hampir pula pitam. Tiada siapa tahu. Ada sedetik saya rasa terlontar ke alam “tiada”. Sedetik saja. Saya diingatkan. Saya diberi masa. Saya sedar, sedetik itu nikmat sebenarnya...

Perjuangan yang sedang ditempuhi masih saya gagahi. Saya berterima kasih kepada semua yang memberikan sokongan moral dan material. Saya ingat arwah pakcik yang menzahirkan WB. Saya ingat isteri dan anak-anak yang selalu “ada” memberi semangat dan tenaga. Saya ingat bapak dan ibu. Saya ingat sahabat-sahabat – yang ramai tidak saya kenali tetapi kagum kerana mereka “percaya”.

Tadi, saya dapat tahu, kadar kolesterol saya tinggi. Saya tidak tahu samada doktor itu melawak atau apa bila dia kata dalam semua pesakitnya, sayalah yang paling tinggi kadar kolesterol “nakal”. Saya mahu percaya...dia hanya ada kurang sepuluh pesakit. Tetapi lawatan beberapa hari lalu membuka sebuah lagi pintu rahsia – bulan sabit di biji mata menyatakan samada kolesterol saya tinggi atau saya boleh diserang sakit jantung bila-bila masa. Darah diambil. Hari ini kolesterol yang nakal itu diketahui kadarnya.

Ah, saya mesti keluar...

Saya masih bersemangat! Dalam keributan menyediakan pejabat, dalam sepi kurangnya sahabat, dalam tersentak kesihatan yang tergugat, tidak sedikitpun saya lupa, kehidupan ini satu tanggungjawab. Selagi ada rezeki jantung bergetar...

Esok lusa entri Ali ya!

Minggu depan lihat pejabat WB!

Selepas 6 tahun...

Selama ini kami beroperasi dari BPR (Bawah Pohon Rendang menurut Pak Samad) dan rumah.
Inilah sebahagian idaman kami.
Pejabat urusan Wira Bukit.
Akan dibuka 1hb Jun 2008.
Doakan kesejahteraan buat kami...

Ali @ One!

Minggu lalu Ali genap setahun umurnya!
Dalam apa jua keresahan dan keributan dalam jiwa...
Pasti luluh disampingnya...alhamdullillah, syukur.

Elergi Pagi

ELEGI PAGI

(Khusus untuk Rustam A. Sani)

Dengan gelak seimbas ayahmu;

dengan renung yang sangat menyukat,

kautekuni peta negaramu,

kaulimpah dharma wangi beradat.

Keluar dari bayang ayahmu,

tegap sendiri seimbang gagah,

kaurakami sejarah bangsamu

sesyahdu qalbu seindah bahasa.

Setiap daun terpaksa gugur,

tapi baktimu merimbun subur.


A. Samad Said

26 April 2008

Ali oh Ali...

Sudah boleh berdiri...
berjalan beberapa langkah...
mengintai...
bersorak...
mengejek...
berani...
mengacah...
Ali hampir setahun dan saya masih rasakan seperti baru semalam dia lahir...

Pak Samad & Ali...

Ada apa dengan Dosa?

Umum tahu masalah buku terbitan DBP ini dengan Pak Samad...
Cetakan Kedua 2007 tidak banyak berubah...
Errrr siapa yang anjurkan bengkel hakcipta baru-baru ini?
Hahahaha lagi...
Pulangkan!

Kami ke Zoo hari ini...

Ada chimpazee...
Pak Belang...
zirafah...
Sang Singa memberi salam agaknya...
Ali dan aiskrim...
Terimbas silam...18 tahun yang lalu sebenarnya. Dulu Firdaus, kini giliran Ali...
masa untuk pulang dude...

68 Soneta Pohon Ginkgo


Karya baru Pak Samad

Buku ini laku sebanyak 483 naskhah semasa KLIBF 2008!

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008

Wira Bukit Sdn. Bhd.
Lot 2088 & 2089
Dewan Tun Razak 2 (TR2)
Pusat Dagangan Antarabangsa Putra
Kuala Lumpur
4 - 13 April 2008

Berita lain: 1) Sila ke http://klbookfair.com/index.php/exhibitor/
dan lihat berapa banyak gerai WBSB!!!
2) Pak Samad akan berada di gerai WBSB sepanjang KLIBF insyaAllah.

Pesta Buku - 12/4

Saya senyum hari ini - walaupun letih...

1. Tandatangan untuk petisyen kepada DBP sudah lebih 700 - mula 9 April!
2. Jualan buku yang mengejutkan! (Errr siapa kata buku sastera Bahasa Melayu tak laku?) - 68 Soneta Ginkgo terjual hampir 400 naskhah!
3. Dapat bertemu ramai sahabat - bloggers dan sahabat yang lebih 20 tahun tak jumpa! Terima kasih atas sokongan anda semua.

Selepas KLIBF, saya hendak isi borang LHDN dan pergi Zoo bersama Ali!

Pesta Buku - 9/4

Salam.

Hari ini hari lahir Pak Samad.

Hari ini juga kami lancarkan satu petisyen yang ditujukan kepada DBP.

Sila ke http://www.facebook.com/pages/A-Samad-Said/10916577161?ref=share

atau terus ke sini http://www.petitiononline.com/ass2008/petition.html

atau ke gerai WBSB 2088-2089 untuk sokong.

Terima kasih!

Nota: Hari ini saja terdapat lebih 80 tandatangan!

Ali di Pesta Buku...

Ahad lalu Ali datang...
Pengalamannya, tahi hidung masin! Hahaha...

Pesta Buku - Isnin 7/4

#1 - Hari ini saya ingat hendak santai, tetapi jadi sebaliknya. Agak sibuk walaupun pengunjung tidak ramai tetapi kuasa membeli itu ada - lebih lagi Pak Samad ada...

Saya ditanya semalam (Ahad) tentang kesan berada di TR2. Sebenarnya WBSB mendapat ruang di TR3, tetapi bersetuju bertukar dengan sebuah syarikat. Saya tahu TR2 tidak "seribut" TR3. Pastinya juga jualan akan terjejas. Mengapa? Mudah, WBSB menyertai KLIBF 2008 kerana ini penyertaan pertama kami. Kami hanya mahu buat satu "statement" - WBSB sebuah syarikat penerbitan dan kami sudah bersedia melangkah ke satu aras yang lebih tinggi dari yang lalu. Kami mahu "santai". Kami mahu memberikan perkhidmatan "personal" kepada pengunjung yang meminati karya-karya Pak Samad. Pengunjung akan dijemput duduk bersama Pak Samad dan dihidangkan minuman jika berkesempatan.

Jualan buku? Alhamdullillah. Saya sebenarnya terkejut dengan angka jualan kami. Buku terbaru Pak Samad "68 Soneta Pohon Ginkgo" setakat ini dijual melebihi 300 naskhah. Buku kanak-kanak Pak Samad - Rumah Rahsia, Yang Berat Sama Dipikul dan Bendera Di Atas Bukit - juga mendapat sambutan. Anehnya buku "Adik Datang" yang diterbitkan pada tahun 2002 juga masih "panas".

"Patutnya lebih banyak kalau WB kat atas," kata seorang sahabat.
"Mana kau tahu?" jawab saya.
"Atas tu ramai orang! Sini kurang," jawabnya.
Saya senyum saja..."Rezeki tangan Tuhan," bisik hati saya.

#2 - Alhamdullillah, saya bertemu ramai sahabat "blogger" dan mereka tidak ketinggalan bersantai dengan kami. Makcik Reen yang "tak reti" sangat dengan sastera pun beli buku Pak Samad! JR seperti biasa - saya tidak terkejut - ada dan sarat dengan buku-buku yang dibelinya. Puan Sharon sungguh ramah. Kang Jowo yang pinter (dan hensem) sedar dia ada peminat...bukan saya, tetapi KT yang ikut terjun buat blog - jangan risau, hanya satu Jowo Pinter pada saya! Dan ramai lagi...terima kasih sahabat!

"Antara bloggers dengan ahli politik, janji siapa lagi laku?" bualan saya dengan seorang rakan blogger...hahahaha kita semua tahu bukan?

*Gerai WBSB di TR2, no. 2088 & 2089. Selain buku-buku terbitan WB, buku-buku terbitan UA (Usman Awang) dan MPR pun ada.

Pesta Buku 5 April...

Hari ini agak sibuk! Tetapi, yang menarik perhatian saya ada dua perkara...kebetulan kedua-dua perkara itu melibatkan DBP...

Perkara pertama - Hari ini terdapat 13 pengunjung yang bertanyakan tentang novel "Salina"...tanya DBP, DBP suruh pergi Rhythm. Pergi Rhythm, mereka kata tak ada stok. Datang ke WBSB, kami kata DBP "penindas". Benar, saya benar-benar menceritakan tentang bagaimana Pengarah DBP menjelaskan tentang mengapa DBP tidak melepaskan hak penerbitan karya-karya Pak Samad yang masih di tangan DBP - jika melepaskan, penulis lain akan menuruti. Saya benar merasakan pembesar-pembesar DBP hanya mementingkan diri mereka. Lihat saja kenyataan Pengerusinya beberapa tahun yang lalu (kepada Lina Usman Awang & isteri Pak Samad) yang menyatakan karya-karya sastera Pak Samad dan Allahyarham Usman Awang tak laku. Dan juga saranannya kepada Ibu Ainon agar menerbitkan buku-buku BI kerana buku-buku BM bagai matahari terbenam. Persoalan, bagaimana boleh mereka ini menerajui DBP? Bukankah DBP harus memelihara dan menyuburkan bahasa dan sastera? Mengapa meletakkan mereka untuk memimpin jika mereka sendiri tidak ada kepercayaan? I know for a fact that both of you are selfish. If you want a fight, then let's fight...

Perkara kedua - Ini yang membuat saya ketawa...saya terbaca tentang Bengkel Hak Cipta pada 12hb April ini... menarik hingga saya melihat penganjurnya...DBP! Hahahahaha...memang kelakar!

Gerai WBSB - KLIBF 2008

Sebelum
Dan selepas...

Pak Samad di The Sun...


Hendak tahu apa dalam kepala Pak Samad sejak akhir ini?
Klik sini!

Karya terkini Pak Samad

Bakal terbit April 2008.

Rumah Rahsia

Alhamdullillah, hari ini siap cetak - 2 versi - edisi terhad dan santai. Kedua-duanya kulit keras. Yang membezakannya adalah "jacket" dan kertas yang digunakan.

Pilihan raya...

Seorang sahabat menelefon DBP tanya tentang novel Salina. Jawapan yang diterimanya, itu buku lama dan tidak laku lagi (tiada permintaan) - jadi tidak dicetak semula - sila rujuk dengan sdr. Shahrul Rock.

Ini sudah banyak kali berlaku. Pak Samad dan saya sering dihubungi. Ramai bertanya tentang Salina, Hujan Pagi dan al-Amin. Suruh ke kedai buku mereka kata tak ada. Suruh ke DBP pun sama. Kalau ikut usia, sepatutnya DBP sudah menjadi "sifu" dalam perniagaan buku. Mereka sepatutnya dominan. Tetapi, ini tidak berlaku. Dalam bidang pemasaran buku nampaknya mereka langsung tiada ilmu. Malah banyak juga buku karya-karya besar di Ali Babakan kepada sebuah syarikat di utara beberapa tahun dahulu. Ini termasuklah Salina dan Hujan Pagi. Apa sudah jadi? Mengapa boleh terjadi?

Persoalan, jika tidak laku dan tidak dicetak semula, mengapa DBP tidak "memulangkan" kembali hak penerbitan kepada Pak Samad? Bukankah sudah berkali diminta?

Jawapan yang diterima (ini dari Pengarahnya semasa duduk semeja dengan Pak Samad dan saya di Ramadan lalu, minum kopi di Dome Bangsar selepas terawih) adalah kerana jika mereka berbuat demikian - memulangkan kembali hak penerbitan kepada Pak Samad - maka penulis-penulis lain - mungkin - akan berbuat demikian juga.

Itu jawapan Pengarah.

Bagaimana pula dengan buku Dosa Pejuang? Buku ini telah dicetak tanpa kebenaran. Dicetak, dijual dan bila ditanya baru sampai surat perjanjian. Kita kini tahu siapa "lanun" bukan? Pak Samad akhirnya menandatangani surat perjanjian - yang diedit serta membawa perubahan yang besar berbanding surat perjanjian lama DBP - atas dasar setiakawan. Mereka juga menjanjikan beberapa perkara, tetapi besar kemungkinan mereka lupa janji kerana hingga saat ini tiada apa mengenai perkara ini kedengaran dari sebalik dinding Dewan.

Kemana arah tuju DBP? Apa sebenarnya perjuangan mereka? Mengapa mereka menyekat rezeki Pak Samad dengan tidak memulangkan hak penerbitan untuk karya seperti Salina, al-Amin, Hujan Pagi yang rata-rata pembesar-pembesarnya kata tidak laku?

Saya sudah "letih" dengan perkara ini...

Apa pandangan anda tentang perkara ini?

Daftar Pemilih

http://daftarj.spr.gov.my/daftar.asp

Ada sesiapa tahu makna sebenar?

Ali @ 9 1/2...

Ali, pertama kali mandi dalam kolam renang - di Medan...
Nampak dua batang giginya?
Sudah boleh duduk...
Sering mahu didukung...
Muka sebelum tidur - selalunya sekitar jam 9-10 malam.

Al-Fatihah...

Al-Fatihah buat Allahyarham Ahmad Zafran (Panaharjuna). Semoga ditempatkan dikalangan mereka yang beruntung. Amin.

Mungkinkah?

Ada yang sudah hilang. Mungkinkah kita juga begitu dalam kehidupan ini?

"Language endangerment happens when a community decides that their language is somehow a social or economic impediment," he says.

Penerbitan Segmen Pertama...

Akan terbit March 2008
Jumpa di Pesta Buku 2008!