Peristiwa yang terjadi hari ini sesuatu yang telah lama saya jangkakan...
Menulis di blog atau status FB membawa pelbagai terjemahan kepada pembaca.
Tulisan-tulisan saya di blog majoritinya berkisar tentang kehidupan saya sendiri - log kehidupan. Tidak semua saya ceritakan, tetapi memadai untuk meredakan jiwa (saya) yang bergelora. Ia tentang diri saya sendiri. Benar, Ali banyak mendominasi, tetapi bukankah dia sebahagian dari saya - zahir dan batin?
Jadi harapan saya agar yang membaca tidak menterjemah lebih jauh dari apa yang saya tulis. Juga janganlah pula terasa kerana serasa saya, tiada satu tulang "jahat" pun dalam diri ini untuk menyatakan "kau jahat" atau "aku baik" atau "aku ini mangsa". Saya luah kerana saya bukan seorang penyimpan. Mungkin masa "muda" saya mampu, tetapi kini tidak lagi. Saya tiada kapasiti membawa rasa-rasa sebegitu. Hidup terlalu singkat. Kita kena tahu kemampuan sendiri.
Percayalah, niat saya menulis di sini mahupun di status mukabuku adalah luahan diri sendiri.Malah setiap doa-doa saya tidak destruktif malah baik-baik saja. Jadi kepada pembaca yang membaca, ini hanyalah luahan diri saya menuju keluluhan fizikal yang abadi. Saya sahaja dan jika ada yang terasa - pahit atau mengenai dirinya sendiri, percayalah, sememangnya tiada niat langsung mahu jadinya begitu. Ini saya.
*Pos ini lahir kerana balas-membalas sms-sms "keras" tadi. Tekanan buatkan kita hanyut layari arus kemarahan hingga akhirnya tersedar kita jauh tersasar.