header-photo

Orang Tua Itu - Anak

Ally anak yang luarbiasa. Dia dipaksa keluar sebelum cukup masa kerana keadaan ibunya. Lebih seminggu dia didalam unit rawatan rapi untuk bayi. Setiap kali aku melihatnya, kakinya tidak henti menendang-nendang. Misi berkali terpaksa membetulkan wayar-wayar yang dicucuk dan dilekat di beberapa bahagian tubuhnya yang tersimpul atau tercabut. Aku waktu itu benar merasai jarum-jarum itu - mungkin kerana aku takutkan jarum. Dia nampak tidak selesa dan aku sering berbisik kepadanya, "Sabar ya nak. Ini sementara."

Itu lebih empat tahun yang lalu. Kini hampir semuanya sudah berubah. Dia tetap mempunyai ibu. Aku tetap bapanya. Cuma kini kami tidak bersama.

Setiap kali aku bersamanya, aku tidak terlepas dari merasai aku terlepas sesuatu dalam kehidupannya. Dia bijak dan aktif. Dia juga anak ADHD.

"Daddy, Ally nak go main ball..." dan ini akan diulanginya setiap beberapa saat hingga sampai ke tempat main "ball" - taman permainan mini di komplek beli-belah.
"Daddy, Ally nak go wash..." - Dia hendak main air.
"Daddy, Ally nak fries medona" - "fries" McD.
"Daddy, Ally nak naik Eli..." - tunggang Gajah.
"Daddy, masjid castle!" Sambil tersenyum memandangku - Masjid di Kota Damansara yang seperti "Castle" - sebenarnya dia usik diriku ini.

Dan setiap kali aku bersamanya, aku sedar,  Aku sebenarnya memerlukan dia lebih dari dia memerlukan diriku ini.

Sebaik tiba di rumahnya selepas perjumpaan "mini" kami dia akan berkata, "Bye Daddy. I love u. Assalamualaikum," dan dia meluru masuk ke dalam. Setiap kali itulah aku sebak dan terkadang, jika dilayan aku akan...

Aku benar mahu lakukan lebih banyak untuknya. Namun keadaan tidak begitu mengizinkan. Keadaan buat aku malu kepadanya. Dia anak luarbiasa dalam suasana yang luarbiasa. Dan aku ini walaupun bernama "Daddy", tetapi tidak berfungsi sebagaimana patutnya. Aku luluh...

3 reaksi:

Anonymous said...

saya dapat rasa kesedihan saudara. semoga tabah dan banyakkan mengadu padaNYA.

~seri mersing~

.dida mumin♥ said...

saya pasti saudara tersangat sedih dgn keadaan luarbiasa yang berlaku, tapi saya juga berharap satu hari nanti ali akan faham kenapa dan mengapa terjadinya perkara luarbiasa ini antara dia dan saudara. Bertabahlah!!

asuhara sue said...

Insya Allah, tuhan masih beri tuan waktu untuk melakukan yang terbaik.