header-photo

Ada Apa Dengan 1 Jun?

Salam.

Mataku terbuka di hari yang baru: Dia tiada disisi - seperti selalu - dan aku agak liat memulakan hariku ini - seperti selalu juga.

Disisi meja kafe dengan secawan kopi pahit digengaman jemari tangan kanan dan sebatang rokok yang setia membakar dicelahan jemari tangan kiri, fikiranku melayang silam dan terhenti di hari itu.

"Mengapa aku terjun ke dunia itu?" Hatiku bertanya.

Mengapa tidak? Tersenyum aku dengan jawapan balas, dari hatiku juga.

Hari itu, aku agak liat juga untuk memulakan hariku - ya, seperti biasa dan sememangnya aku dilahirkan begitu agaknya. Semalam, aku terpaksa melalui latihan demi latihan agar hari ini semuanya berjalan lancar. Kalau bertanya kepadaku bagaimana perasaanku terhadap itu semua, mudah; Aku tidak selesa dan semua itu tidak perlu. Aku dilahirkan dengan kesederhanaan dan hidupku selama ini berputar di lembah kesederhanaan walaupun sesekali tergelincir ke gaung kesusahan dan sesekali tercampak ke gunung kemewahan, namun putaran kehidupanku amat selesa sekali dengan lembah kesederhanaan. Aku tidak selesa dan ini semua tidak perlu - itu rasaku dan keliatan aku memulakan hariku begitu kuat sekali dirasakan.

Ada tiga acara hari itu. Padaku, yang paling penting adalah acara yang pertama. "Biarkanlah masa berlalu dengan pantas...," bisik kemahuan diriku.

Masa sememangnya bergerak pantas dan sebelum aku sedar semuanya sudah berlalu dan bermulalah kehidupan perkongsian.

Mengapa aku terjun ke dunia itu?

Senang saja. Semua rasa dan peganganku tiada arti kerana aku hanya seorang insan yang luluh bila berhadapan dengan cinta.

Ada apa ya dengan 1 Jun...

Sambutlah tanganku dan biar kau kupimpin mengharungi masa-masa hadapan. Selamat Hari Ulangtahun Daliey...

0 reaksi: