header-photo

Kamal

Kamal

"Pokok Cheri nih dah tak ada buah…," rungut Kamal sambil meninjau-ninjau sambil berselang menyelak-nyelak ranting-ranting lebat berdaun, mencari, sedangkan aku sudah lama menyandar di dahan berhadapannya dan memandang awan-awan yang agak tebal perlahan berlalu. Tidak aku begitu pedulikan rungutan Kamal. Aku tahu, sudah tiada buah lagi atas pokok Cheri ini. Sudah dua hari kami memetik buah-buahnya yang muda dan mengunyah yang masak. Sudah dua hari buah Cheri pokok itu membekalkan kami "peluru" bagi senapang kayu kami – aku tahu, kami mesti cari pokok Cheri yang lain. Pokok ini hanya enak untuk melabuhkan badan, berehat, bersembunyi dari "musuh" dan melihat awan-awan yang agak tebal itu berlalu berlahan. Tapi, Kamal masih mencari. Dia begitu, dia tidak mudah mengalah atau berputus-asa, walaupun kedua poket seluarnya sarat dengan cheri muda. Dia hanya akan berhenti menyelak mencari setelah kesemua ranting dan dahan dan daun diselaknya dan dia benar pasti, tiada lagi buah Cheri atas pokok ini.

Melabuhkan badannya dan menyandar pada dahan berhadapanku, aku sedar, dia selalu di situ dan aku di sini. Itu tempatnya dan ini tempatku. Dia mula memandang keatas, tanpa berkelip dengan kedua tangannya berlipat membantalkan kepalanya. Sebelah kakinya tergantung dan sebelah lagi – kaki kirinya – menongkat pada dahan berdekatan.

"Kau lihat awan tu. Aman saja. Aku impikan begitu…"

Aku hanya mengangguk walaupun aku tahu dia tidak memandangku. Dia begitu, maksudku dia sering berkata begitu setiap kali kami diatas pokok Cheri ini. Jika tidak kerana awan, pasti langit yang biru akan membuatnya berkata demikian. "Aman saja. Aku impikan begitu…," begitu saja dan kami akan hanya menikmati suasana begitu tanpa berkata apa-apa lagi sehingga ada yang mengganggu.

"Aku terpaksa membawa perasaan itu sepanjang hidupku. Perasaan yang semakin ditelan usia semakin menekan, menghimpit dan begitu menyiksakan. Ianya di situ, menagih kematangan dariku. Kematangan yang seakan menolakku ke penghujung sempadan antara realiti dan infiniti…ya, aku memikirkan tentang infiniti itu. Aku mahukan ianya berakhir. Aku rasakan bahawa perasaan itu membesar lebih cepat dari diriku ini. Aku rasakan ianya mahukan diriku – mahu keluar dan menelanku. Ketawaku, hanya selingan. Aku berlakun, dipaksa begitu. Ini semua, apa yang aku paparkan pada kamu semua adalah satu lakunan. Tahukah bagaimananya aku membawa perasaan sebegitu selama…ahhh selagi aku berusia tiga tahun lagi? Tigapuluh lima kini dan aku rasakan bagai diri yang di dalamku ini semakin bersemangat, semakin bertenaga – memakan semangatku sendiri, "mencuri" tenagaku ini. Semakin dilawan dengan cuba menolak atau tidak mengendahkannya, semakin "dia" memulas jiwaku. Aku rasakan bagai tubuhku ini akan meletup, berkecai, bila-bila masa saja, tetapi bukan itu yang dimahukannya. Dia mahu aku merasainya. Menghayati, merana, menyiksa, begitu saja dan setelah itu, selingan sebentar buatku dan diulanginya kembali. Kau tahu apa maksudku?Kau faham? Aku tidak pernah mengenal erti kebahagiaan yang sebenarnya. Mana mungkin, aku disumpah. Kau faham apa yang aku katakan ini? Kau fikir kau ada jalan penyelesaikan pada sumpahan aku ini? Huh, sudahku duga. Mana mungkin kau ada kuncinya, aku sendiri tidak tahu apa yang perlu bagi meleraikan sumpahan aku ini. Kau tahu tentang sumpahan? Kau tahu tentang Adam? Kau tahu tentang Qada dan Qadar? Aku tergolong pada mereka yang malang. Aku disumpah membawa perasaan ini sepanjang hidupku. Ini bahagianku. Ini definasi kebahagiaan yang disogokkan dalam jiwaku ini."

"Apa terjadi? Aku dengar…"

"Tidak ada banyak yang terjadi," dia memintas pertanyaanku. Membara rokok di bibirnya itu dan matanya dikerut sebaik asap yang dilepaskan itu menerkam mukanya. "Aku cuma bosan atas segalanya. Kerja, cara hidupku, maksud aku, aku bosan dengan segala yang di sekeliling aku. Aku ingat ini jalan sebaiknya, sekurangnya itu yang aku percaya," terhenti sebentar, dia mula menggeleng, "Tidak, sekurangnya itu yang mahu aku percaya. Aku jelaskan apa yang tertangguh dan mulakan hidupku yang baru. Sesenang itu. Sampai masanya aku tinggalkan hidup yang sebegini. Aku tidak perlukan ini semua. Kau tak tahu betapa tertekannya aku. Kau tak tahu apa yang aku rasai. Mana mungkin kau tahu? Masalah kau dengan aku berlainan. Hidup kita berlainan. Mana mungkin kau tahu?" Rokoknya itu masih ditepi bibirnya dan dia tidak begitu menghiraukan abuk rokok yang terkumpul itu jatuh diatas pehanya selain dari menepis beberapa kali pehanya. "Kau tak akan faham, samalah seperti aku takan faham masalah kau."

Kerjanya itu mula terbayang di kepalaku, "Aku faham maksud kau, tapi…"

"Mana mungkin kau faham? Kau tak faham."

"Tidak, maksud aku aku faham apa yang kau katakan itu. Cuma, aku nak tahu adakah apa yang terjadi itu benar dan mengapa kau lakukan? Maksud aku, mengapa sampai begitu sekali kau lakukan?" Agak cepat aku katakan kerana aku tidak mahu dia memotong kataku. Tetapi, kali ini dia agak mengambil masa. Rokoknya itu hampir padam kerana baranya itu sudah hampir pada puntung. Namun, dibiarkan saja melekat di bibirnya itu. Matanya hanya pada tasik berhadapan kami. Sesekali berkelip dan menelan air liurnya. Menanti jawapan darinya, dia tetap begitu, "Kamal…"

"Bro, kau tak akan faham kalau aku katakan. Kau tak akan faham!"

"Mana mungkin aku faham jika kau tak nyatakan?"

"Walau sejelas mana aku ceritakan, kau tak akan faham. Ianya terlalu rumit. Mana mungkin kau faham. Kau tahu, aku sendiri tidak faham. Aku cuma lakukan apa yang difikiranku waktu itu. Dia di situ, malang. Semudah itu. Aku tak tahan lagi dengan hidupku yang sebegini. Statik, tidak kemana. Dia wajar menerimanya. Atas apa yang dilakukan selama ini terhadap aku, wajar!" Mengertap bibirnya, matanya masih di tasik itu. "Kau ingat tentang masa kita di atas pokok Cheri dahulu?" Dia memandang padaku. Rokok itu sudah mati, tetapi masih di bibirnya.

Mengangguk. Kami banyak menghabiskan masa di atas pokok Cheri itu. Memakan buahnya yang masak berwarna kuning dan merah dan memetik buahnya yang hijau untuk dijadikan peluru jika tiba musim bermain senapang kayu. Kadangkala, kami cuma duduk di atasnya, melihat awan yang berlalu atau langit yang biru itu, tanpa banyak berkata kecuali… "Kau impikan suasana aman itu?"

"Yup. Aku impikan sebegitu tetapi aku belum alaminya. Impianku itu hanya hadir dalam mimpiku. Itupun sekali-kala saja. Tidurku tiada mimpi, dan kalau adapun ianya lebih banyak merupakan igauan dari suasana aman itu. Kau tahu, aku pernah bermimpi aku di atas sana," mendongak, diam seketika. Mungkin memerhati awan di langit yang agak cerah. "Di awan dan langit, terapung dan terasa begitu aman sekali. Aku tahu, aku sedang bermimpi. Aku tidak mahu bangun. Aku sedaya upaya berusaha untuk terus terapung, tetapi semakin lama semakin dekat aku ke bumi. Mimpi sebegitu jarang hadir. Jarang sekali. Apa yang aku impikan itu adalah hanya satu mimpi. Tidak mungkin berlaku, sekurangnya pada aku."

"Mengapa tidak?"

"Sudah aku katakan, kau tak akan faham Bro. Ianya terlalu rumit. Aku sendiri tidak faham."

"Tapi sekurangnya kau harus berusaha. Kenal apa yang menghimpit dan berusaha atasinya."

Tersenyum memandangku, dia menyalakan sebatang lagi rokok. Menarik agak dalam dan terus dibiarkan di bibirnya.

"Kau merokok terlalu banyak." Itu saja yang keluar dari mulutku. Dia dari tadi tidak henti menghisap rokok. Lepas sebatang, sebatang dinyalakan dan kebanyakkan waktu, dia hanya membiarkan rokok itu di bibirnya. Entah berapa kali abuk itu jatuh di atas peha dan bajunya, tetapi ianya tidak begitu mengganggunya. Dia cuma menepis-nepis abuk itu.

"Rokok ini saja yang meringankan sikit apa yang di kepala aku ini." Jawabnya ringkas.

"Tetapi tidak menyelesaikan."

"Sekurangnya meringankan."

"Sampai bila? Lambat-laun kau harus berdepan dan menyelesaikannya."

"Yup. Tapi, kini bukan masanya lagi. Tidak, sekurangnya aku sudah selesaikan si gemuk itu," tersenyum.

"Tapi itu bukan yang sebenarnya mengganggu kau."

"Ya, tapi sekurangnya aku puas."

"Puas? Sampai bila?"

"Peduli apa. Sekurangnya aku puas buat masa ini."

"Bro, kau tahukan apa yang menghimpit itu?"

"Ya."

"Habis kenapa kau…"

"Kau tak faham. Berapa kali harus aku kata? Kau tak faham. Kau tak akan faham."

"Cubalah beritahu aku. Mungkin aku faham. Mana kau tahu aku tak faham?"

"Jahanam! Kau reti tak apa yang aku cakap ni?" Dia menghentak kakinya pada bonet.

Aku tersentak dan memalingkan mukaku padanya. Dia memandangku dengan pandangan yang tajam. Matanya merah dan berair, tapi rokok itu masih di bibirnya.

"Suara itu…," ringkas dan agak menurun suaranya. Fikiranku diterjah oleh pelbagai ingatan. Aku ingat pada "Suara itu". Maksudku aku ingat dia pernah menyatakan padaku dahulu. Suara bapanya itu saja yang dia ingat tentang bapanya. Tetapi mengapa pula ia sebegitu membinasakan? Aku mula mengandaikan dengan pelbagai andaian. Tidak henti aku bertanya, pada diriku sendiri: Apa sebenarnya yang ada pada suara itu sehingga abangku sebegini?

"Bro, ini rahsia keluarga aku. Apa yang aku akan katakan pada kau, berakhir di sini. Jangan diceritakan pada sesiapa dan jangan difikirkan. Boleh kau berjanji?"

Aku hanya diam. Dia agak merenung tajam padaku. Aku tidak tahu apa yang aku harus lakukan. Aku tahu, aku tidak mampu berjanji padanya dan aku tidak mampu menahan renungannya itu. Melarikan pandanganku, aku tertunduk dan terus mendiamkan diri. Tanganku memeluk kedua kakiku yang dilipat sehingga daguku mengenai kepala lututku. Aku hanya diam. Aku tahu, aku tidak mampu berjanji, tetapi aku mahu dia memberitahuku.

"Bro, kau tak mampu berjanji? Expected. Aku kenal sangat kau. Itu bezanya kau dengan aku."

"Bukan itu…"

"Tidak, aku faham. Kita berlainan. Cara kau bertentangan dengan aku. Sebab itu kau adikku dan aku abangmu. Aku faham Bro. Aku faham."

"Jadi, kau tak akan memberitahu aku?"

"Tidak, aku akan beritahu. Mungkin kau ada kunci pada keamanan yang aku impikan. Mungkin kau boleh melihat lebih jelas dari luar. Tapi, aku tidak mengharap. Aku cuma beritahu kerana kau adikku." Katanya itu seakan mematikan perbualan. Dia memandang ke hadapan, melihat air yang beralun-alun kecil ditiup angin. Dirinya yang disandarkan pada cermin kereta dan kaki kirinya yang dilunjur kehadapan, kaki kanannya yang ditongkat itu mengingatkan aku akan masa kami di atas pokok Cheri. Aku sedar, kini lebih limabelas tahun telah berlalu, tetapi kami masih mampu begitu; bersama, melihat dan merasai suasana alam yang aman. Bezanya, dulu aku hanya tahu dia impikan suasana yang sebegitu, tetapi kini aku semakin hampir untuk mengetahui mengapa dia impikan suasana sebegitu. Agak lama kami berdiam diri. Aku mula merasa resah, bertanya samada dia akan meneruskan niatnya itu.

"Kau tahu bila aku kehilangan bapaku?"

Aku menggeleng.

Dia tidak memandangku, namun dia meneruskan, "Masa aku berumur tiga tahun. Mungkin lebih sikit." Mengangkat tangan kirinya sambil mula mengusap-usap dahinya. "Kau tahu bagaimana dia meninggal?"

Aku menggeleng lagi.

"Aku bunuhnya."

Terasa diriku seakan diterkam sesuatu. Sesuatu yang kini menyelubungiku. Aku terasa seakan ada satu lapisan, entah apa menyelubungi pada diriku ini. Bulu roma di seluruh badanku terasa timbul. Aku terpaku dengan mulut separuh terbuka. Aku terkejut. Mungkin ini rasanya bila berhadapan dengan hantu, mungkin. Mahu aku bertanya, maksudku, aku tahu apa yang mahu aku tanya, "Bagaimana?" Namun aku tidak mampu bersuara walaupun mulut dan lidahku bergerak-gerak mengeluarkan bunyi yang entah apa, "Bbb aaa ge…"

"Aku menembaknya," dengan nada yang agak sederhana, agak selamba menjawab seakan membaca pertanyaan hatiku itu. Aku yang agak kaku terkejut dapat melihat airmatanya mula berlinangan. Semakin lama semakin berair matanya dan semakin kerap ianya menitis. "Kau faham tak, aku membunuh bapaku semasa aku berumur tiga tahun. Bapaku mati disebabkan oleh aku. Aku menembaknya." Semakin kerap malah kini seakan airmata itu mengalir berterusan, tetapi dia tidak teresak. "Suaranya itu…tidak henti menghantui aku. Kau tahu tak, aku tidak dapat mengingati wajah bapaku walaupun beribu kali aku melihat gambarnya." Dia mengensut sedikit menaikkan punggungnya dan menarik keluar beg duitnya. Membelek-belek dengan jarinya, dia mengeluarkan sekeping potret dan menghulurkan padaku. "Ini bapaku."

Aku masih mengamati gambar itu bila Kamal bersuara, "Setiap kali aku keseorangan, dia akan datang. Bukan wajahnya, tetapi suaranya itu. Bukan memanggil aku tetapi jeritan - bingit. Jeritan yang mendesingkan. Desingan yang menggoncang kepalaku. Kau faham apa yang aku katakan ini? Mana mungkin kau faham." Perlahan dia menggeleng. Airmatanya masih tidak henti mengalir. Jelas pipinya basah dan baju kemeja putih kerjanya itu kuyup. "Aku tidak ingat apa sebenarnya yang berlaku. Tetapi, aku tahu aku telah menembak bapaku. Dia mati kerana aku menembaknya, itu kata mereka. Tapi, dia tidak mati, sekurangnya pada aku. Mana mungkin dia mati? Jeritannya itu memekakkan dan desingan itu menggoncang isi kepalaku. Dia masih hidup. Hidup dalam kepalaku ini! Kau faham tak maksud aku ini? Kau faham tak apa yang aku katakan ini? " Katanya sambil merenung padaku.

"Aku faham masalahku bro. Cuma yang tak aku faham…mengapa aku?"

*Dewan Sastera - antara 2001-2002

0 reaksi: