Hanya beberapa hari yang lalu, Nita memberitahunya,
“Kau perlu lebih terbuka…”
Fikirannya bercelaru, dia keliru. Dia tidak fikir dirinya berpandangan sempit. Namun, bukan itu yang cuba Nita sampaikan, agaknya. Dia perlu tahu. Dia perlu bertanya!
“Aku tidak terbuka?”
Telefon Nita berbunyi dan perbualan mereka berakhir. Nita terpaksa pergi.
“Sarah demam!”
Dia keliru. Dia marah. Dirinya dikatakan tidak terbuka. Jiwa yang kacau melahirkan pelbagai nada suara. Mungkin bukan itu maksud Nita. Itu yang mahu dia percaya, tetapi nada-nada suara lain lebih sumbang. Kerongkongnya terasa tersekat. Hatinya terasa pedih. Dia menggeleng.
“Aku tidak terbuka?”
Dan semenjak itu, dia cuba mencari apa yang benar-benar dimaksudkan Nita itu. Nita pula seperti sengaja menghilangkan diri. Panggilan dan smsnya tidak terjawab. Dirinya semakin tertekan.
“Sial…kau biarkan aku terkial…”
Dia sedar dia sedang duduk di meja kafe yang sama sewaktu bersama Nita beberapa hari yang lalu. Kebetulan? Mungkin. Mungkin juga itu satu tanda bahawa apa yang diperbincangkan tempoh hari belum ada penjelasan dan tuntutan penjelasan itu membawanya kembali ke meja di kafe ini.
“Mengapa aku ke mari?”
Suasana kafe agak santai walaupun setiap meja dipenuhi. Dirinya percaya, walau apapun sebab, kebetulan atau tidak, kehadirannya di meja yang sama itu memaksa dia mencari maksud Nita. Dengan tidak semena, dia tersedar, meja-meja sekeliling kafe penghuninya berpasangan atau berkumpulan. Dia rasa dirinya tersisih. Suasana santai sebegitu dan dia keseorangan.
“Ah, berapa kali harus aku lalui perasaan sebegini?”
Menutup mata, dia cuba memadamkan rasanya itu. Namun tawa riang kumpulan di sebelahnya dan celoteh anak-anak kecil di belakangnya tidak memungkinkan rasa itu pergi.
“Mereka berhak begitu…”
Memang sesuatu yang lucu bila kereta import diisytiharkan bernilai RM8,000. Lebih lucu lagi bila pihak yang bertanggungjawab tidak mengesyaki apa-apa dan membiarkan saja. Bila dipersoal, keadaan kecoh. Namun kekecohan itu seperti burung-burung gagak yang sibuk di waktu senja. Kini perkara itu sepi. Kerajaan ditipu. Bukankah itu satu perbuatan khianat? Mengapa sepi sehingga kini di hadapannya ada yang ketawa riang mempersendakan integriti kerajaan?
“Alangkah indah celotehan itu…”
Dengan kepelatan dan kepetahan, seorang menyatakan Barbie Princess Ballerinanya lebih cantik namun dibantah sipemunya Disney Princess Cinderella. Membuka matanya, dia tersenyum…mereka berdua memakai cermin mata hitam ala 60’an.
“Memang aku perlu lebih terbuka…”
Dia mula memahami maksud Nita. Dia mula memikirkan tentang dirinya. Dia menggeleng. Dia rasa kesunyian.
“Aku perlu mengisi kesunyian ini, tetapi…”
Setiap apa yang terjalin pasti akan mati. Selepas isterinya pergi, dia seakan disumpah. Apa yang terjalin, akhirnya akan mati. Anehnya, dia yang mematikannya. Bukan keadaan, bukan juga insan yang terjalin perhubungan itu. Dia! Dia yang mematikannya! Dia disumpah! Atau…mungkin saja dia tidak terbuka…
“Hey, apa kau buat di sini?”
Nita! Dia senyum, “Menanti kaulah.”
“Menanti aku?” sambil menarik kerusi, duduk sambil menolak-nolak merapikan rambutnya, “Kita berjanjikah untuk bertemu hari ini? Aku tak ingat…”
“Tidak. Kebetulan saja aku lalu di kawasan ini.”
“Oh…,” sedar pelayan berada disebelahnya, “Twister please.”
“Twister? Apa jadi dengan diet kau?”
Dia ketawa, “Kalau kau tahu apa yang aku lalui, kau tentu setuju bahawa aku berhak untuk memanjakan diriku kali ini.”
“Wah, mesti sesuatu yang besar hingga kau sanggup menolak ketepi amalan kau itu.”
“Tentu saja. Hey, perbualan kita hari itu…”
“Aku faham maksud kau,” Kamal memotong.. “Aku perlu membuka minda dan diriku ini. Aku perlu untuk tidak mematikan sesuatu itu.”
“Oh, aku risau kau salah anggap.”
“Ya, aku terseksa selama dua hari sehingga mereka memberitahu.”
“Mereka? Siapa?”
“Sekeliling kita ini, terutama budak-budak depan aku ini.”
Nita menoleh dan terus ketawa, “Comelnya!!!”
“Benar, wajah secomel dan sesuci itu tentu saja mampu menyelesaikan kekusutan.”
0 reaksi:
Post a Comment