header-photo

SSN

Tiada cahaya matahari, redup, muram sebenarnya dan mereka yang berlalu seakan tenang tidak mengejar apa-apa, mungkin juga tidak bermaya. Baru seminggu tahun baru, tetapi sudah hampir dua minggu hujan setiap petang hingga lewat malam. Namun, Kuala Lumpur tidak dilumpuhi banjir seperti di pantai timur ataupun utara akhir tahun lalu. Mungkin sistem salirannya sudah dinaiktaraf. Mungkin juga mereka yang menerangkan hutan tanpa belas kini sudah berhati sedikit. Mungkin juga Kuala Lumpur sudah kurang lumpurnya yang menyendat longkang dan sungai. Dan mungkin juga hujan yang turun seperti suasana yang muram, tidak bermaya.

“Kau tiada jawapan pada persoalan ini bukan?”

“Sekiranya jawapan itu perlu, tentu saja akan kuberikan agar terisi keperluan ingin tahu itu.”

Merenung, menggosok-gosok sedikit dagunya sambil tersenyum ingin memahami… “Kau tidak faham?”

“Hampir…sehinga kau bertanya mengganggu.”

“Oh…teruskan. Aku ada masa,” kata Kamal sambil menyedut rokoknya sambil tangannya mencapai cawan kopinya.

Ramli tersenyum, “Maksud kau, kau tahu jawapannya mengapa sudah dua minggu Kuala Lumpur hujan, muram dan penghuninya lesu?”

“Apa itukah kefahaman kau?” Ramli senyum lagi. Kali ini menggeleng sedikit. “Kau masih tidak faham bukan?”

“Aku keliru…”

“Samalah tu…keliru, tidak faham sama saja bagiku.”

“Kau terlalu kompleks.”

“Aku?”

“Ya, kau.”

“Bagaimana kau berkesimpulan begitu terhadap aku?”

“Dulu kau tidak seperti ini. Dulu kau bernyanyi mengenai bola, perempuan, kereta, gajet-gajet, keluarga, tetapi kini tidak. Aku tidak faham mengapa hujan, banjir, Lumpur, suasana yang muram, keadaan yang tak bermaya dan juga sistem saliran menjadi medium kau kini.”

Kamal ketawa, hampir terbahak hingga mengelap sedikit kelopak matanya yang berair.

“Kau fikir aku berlawak?”

“Cara kau bernyanyi itu menggambarkannya.”

“Oh, kini aku yang bernyanyi pula?”

“Bukankah itu yang manusia lakukan selama ini?”

“Hah! Itu maksudku! Nyanyian atau kata-kata kau kini bernada sebegitu!”

“Sekarang kau pula yang mengelirukan aku!”

Mereka ketawa serentak dan agak mengejutkan penghuni kafe yang tidak bermaya itu.

“Aku benar tiada jawapan wahai sahabatku. Namun, andai jawapan itu perlu, akanku berikan satu, tidak kira samada ia benar atau tidak, agar dapat memenuhi keperluan ingin tahu itu.”

“Oh begitu. Maksud kau, jika aku paksa, kau akan berikan saja apa yang terlintas?”

“Begitulah. Tapi, aku lebih suka jika sesuatu itu diperbincangkan dengan panjang, dengan lebar dan dengan lebih mendalam. Aku pernah ditanya mengapa matahari terbit dari timur. Senang, kerana bumi berputar ke arah itu. Aku ditanya lagi mengapa bumi berputar ke arah itu? Nah, itu persoalan yang bakal melumpuhkan. Namun, jika timbul keperluan memberi jawapan pada waktu itu juga, jawapan paling mudah adalah, kuasa tuhan. Siapa kita hendak menyoal. Mudah, tapi bukahkah sesuatu itu berlaku dengan bersebab? Tidak tercapaikah kita berfikir ke peringkat itu? Atau kita sengaja tidak mahu ke peringkat pemikiran itu? Jadi bila persoalan sebegitu lahir dalam hati atau ditanya oleh seseorang adakah kita mengambil jalan mudah atau sebaliknya? Eh, kau faham tak apa yang aku nyanyikan ini?”

Sekali lagi mereka mengejutkan penghuni kafe.

“Faham, tapi pertanyaan akhir kau itu mengganggu tumpuanku itu.”

“Dan tentu saja mereka disekeliling kita ini juga terganggu dengan kita.”

Sekali lagi mereka ketawa.

“Baik kita pergi sebelum ada yang mengadu.”

“Aku tidak kisah jika yang mengadu itu si kerinting berbaju putih itu…”

“Ah kau ni Kamal…kau tidak henti menakjubkan aku.”

“Wah, ayat yang besar untuk seseorang yang kerdil sepertiku.”

“Dahlah…jom!”

Pastinya, suasana kafe kembali muram selepas mereka berlalu…

0 reaksi: