“Assalamualaikum...,” kedua tapak tangan mengusap muka sambil mulutnya tidak henti beristighfar. Menadah kedua tapak tangan searas dada, berdoa, menyatakan kesyukuran, meminta belas dan memohon keberkatan. Jiwa benar tenang, benar! Tiada apa difikiran, kecuali merasai menikmati darah mengalir menyusuri urat-urat tubuh - tenang, aman, tapi seakan memberi tenaga dan dia tidak mahu suasana itu berakhir.
Aku mahu menceritakan tentang diriku. Diri yang jauh berjalan, mencari erti pada kehidupan agar mengenal rasa sebenarnya “puas” itu. Namun semakin lama dan jauh aku berjalan, semakin lupa akan siapa diriku ini. Lorong-lorong yang aku lalui semuanya sama saja. Maksudku hiasannya berlainan, tetapi memberi kesan yang sama – teralek dibuai nikmat dari nafsu yang tidak henti melompat-lompat seakan mahu mencapai sesuatu; kepuasan agaknya. Semakin aku menyusuri, semakin pudar akar-umbi diriku ini. Aku mahu pulang, berkali – beratus, mungkin beribu kali – namun, niatku itu dimakan tarikan kepada dunia yang baru aku hijrah itu. Semuanya indah, aku terbuai dan niatku untuk kembali hanya bagai gigitan nyamuk yang sesekali mengganggu.
“Evening,” dia melemparkan senyuman dan menarik perhatianku sebaik aku mahu menyesuaikan dudukanku pada kerusi yang empuk itu.
“Evening,” membalas senyumannya.
“What can I get you?”
“Beer.”
“Jug?”
“No, a mug.”
Tempat itu begitu selesa sekali. Semasa menjejak masuk, terasa kedinginan menerkam lembut memeluk tubuhku. Semasa aku menyesuaikan diri duduk-duduk menanti minumanku, kedinginan itu sudah mula menggigit-gigit tulangku. Aku bertanya pada diriku sendiri, mengapa harus mereka menyejukkan tempat itu sebegitu rupa. Namun itu semua terjawab apabila diriku mula dihangatkan oleh minuman yang aku minum itu. Semakin diminum semakin hangat. Semakin hangat, semakin terapung. Keselesaan itu dan rasa diriku terapung enak menenangkan. Terlalu lama aku mencari untuk merasai begitu – rasa hangat terapung dengan tidak banyak perkara hadir dalam kepala. Dan kini, aku menemuinya – enak!
Ziela, Jenny, Murthy dan Azman menjadi teman baruku. Mereka kerja di situ dan melayanku dengan begitu mesra sekali. Aku senang begitu, terutama Ziela yang tidak jemu berhenti berbual-bual kosong denganku dalam dia sibuk ke hulu-hilir mengambil pesanan dan menghantar apa yang dipesan. Bual yang kosong itu semakin lama semakin “intim”. Diriku yang semakin lama semakin dipengaruhi alkohol membuka pintu pagar pada batasan yang tidak pernah aku impikan selama ini. Aku menjadi semakin lantang – semakin celupar sebenarnya – dan menyuarakan apa saja yang aku rasai waktu itu. Dan Ziela bagai api, membakar diriku yang semakin hangat itu. Alkohol dan perempuan...aku baru tahu, ianya satu kombinasi yang menarik – tidak, ianya menggegarkan!
“Satu lagi bang?”
“Cukuplah. Nanti tumbang pula.”
“Tak apa. Abang tumbang, saya papah abang balik.”
“Papah? Balik? Bolehkah Ziela papah abang? Dan...balik ke mana?”
“Boleh. Ziela nampak saja begini, tapi mampu papah abang. Lagipun rumah Ziela dekat saja.”
Seperkara melunjur ke seperkara lain. Usik-usikan begitu bagai minyak yang dijirus-jirus ke api yang sememangnya sudah marak. Apa saja boleh berlaku. Apalagi datangnya dari jiwa yang sedang dibakar alkohol. Jiwanya terapung. Sesekali jejak tanah, tetapi tidak mahu terus begitu lantas sengaja melompat kembali. Rasa sebegitu menyenangkan – seronok – dan usikan-usikan itu boleh saja direalitikan kerana itu sebenarnya kemahuan. Aku yang semakin di awangan dan dia - rasanya - senang aku begitu. Malam itu aku tidak balik ke rumahku. Ziela menjadi tuan rumah yang sempurna. Semua kemahuanku dipenuhi, malah dia memberikan lebih dari yang aku impikan – enak!
Paginya – lewat – aku terjaga. Memandang siling yang terukir bunga. Aku mula berfikir, mencari mahu tahu di manakah diriku ini. Memandang sekeliling, ianya bukan bilikku atau bilik-bilik yang aku kenali. Aku cuba bangun, tetapi melupakan hasratku itu sebaik saja terasa satu tusukan tajam di kepalaku. Rasanya aku kenal pada tusukan itu...dulu semasa aku muda-muda dahulu, selalu aku rasa begitu bila bangun dari tidur. Telah lama ia menghilang. Kini menjelma kembali. Semuanya gara-gara aku yang gatal sangat menjemputnya semula. Enak-enak rasanya dahulu, tidak mahu bangun kerana sakit-sakit rasanya kini. Aku perlu mandi. Aku perlu air membasahi kepalaku yang masak terbakar semalam ataupun awal pagi tadi semasa aku di “Bar Zoo”. Aku perlu kopi tidak bergula selepas mandi untuk mententeramkan fikiran yang celaru tidak henti bertanya, mencari apa sebenarnya telah berlaku.
“Hello...”
Menoleh dan menguis lapisan-lapisan fikiranku mencari, siapa dia? “Hello,” jawabku sambil melemparkan senyuman walaupun aku masih mencari.
“Nak mandi?”
Angguk.
“Coffee?”
“Please.”
“Tuala ada dalam laci meja cermin. You can use my toothbrush. I pergi beli coffee ok? Make yourself at home.”
Aku hanya mengangguk. Dia berlalu. Aku masih berat untuk bangun. Fikiranku masih cuba mencari padan pada wajah itu dengan nama-nama yang aku ingat. “Ziela!” Akhirnya aku temui. Dia lain sekali. Maksudku, wajahnya semalam dan tadi lain sekali. Akhirnya aku gahkan juga bangun. Terpandang wajahku di cermin berhadapan; wajahku lain juga! Baru aku tahu, wajah seseorang tidak selalunya sama. Berubah, mengikut keadaan dan apa yang telah kita alami. Keadaanku agak sengal di setiap bahagian yang bernadi. Aku masih tidak ingat apa yang telah aku alami. Aku tak mahu ingat kalau boleh.
Dalam bilik air, aku mengantung tuala warna biru yang aku capai dalam laci dan agak terkejut apabila mahu membuka seluarku – selama itu aku berjalan dalam bogel! Terduduk aku di bekas tempat buang air, memikir...apa sebenarnya yang berlaku? Apa yang telah aku lakukan, pada Ziela dan diriku sendiri! Agak lama. Ingatanku hanya cetusan kecil sana dan sini. Sedikit demi sedikit ianya semakin dapat dikaitkan dan dicantumkan. Walaupun tidak jelas, tapi aku tahu kini aku dan Ziela...
Terlalu banyak rasanya hari-hari yang sebegitu semenjak itu. Walaupun setiap hari berikutnya bila pertimbanganku kembali, aku berjanji pada diriku sendiri tidak mahu begitu lagi. Janji itu bagai lirik lagu yang aku hafal - dinyanyikan saja-saja. Aku tahu nun jauh di dalam diriku, perbuatan aku itu perlu dibendung. Ianya menyalahi. Ianya destruktif. Dan, esoknya aku kembali ke “Bar Zoo” dan mengulanginya kembali – ketagihan!
Ziela kelihatan senang padaku. Aku hairan, mengapa dia begitu padaku. Rupaku? Mungkin. Hartaku? Tidak mungkin – aku hanya seorang eksekutif pemasaran di sebuah syarikat pengiklanan yang kecil. Kejantananku? Lagi tidak mungkin! Bekas isteriku begitu lantang bersuara menyatakan tentang tiada rasa nafsunya terhadapku. Jika seorang wanita berkata begitu kepada anda, apalagi yang dia maksudkan? Kejantananku? Tidak seribu kali tidak, walaupun hanya tuhan saja yang tahu, itu yang aku mahukan!
Aku duduk di tepi pantai melihat matahari tenggelam di sempadan laut dan langit. Agaknya Mahsuri pernah ke pantai Chenang dan melihat apa yang aku lihat itu. Tujuh keturunan dan matahari masih setia terbenam di sebelah Pantai Chenang. Sekumpulan burung berantaian terbang melintasi. Jenis Bangau agaknya. Aku cuba kembali untuk menyaksikan matahari yang tenggelam, terbenam atau ditelan itu. Namun entah mengapa, bangau yang berterbangan tadi tidak mahu pergi dari fikiranku. Aku datang ke sini untuk mencari ketenangan. Aku mahu jiwaku tenang dan memikirkan tentang hidupku. Itu sesuatu yang penting, namun aku tidak dapat lari dari memikirkan tentang bangau-bangau itu!
Ziela menyambut salamku dan mencium tanganku. Wajahnya lain kini dan sudah tentunya wajahku pun lain dari pandangannya. Keadaan berlainan sekali kini. Matahari yang setia senja di Pantai Chenang dan bangau-bangau yang aku sehingga kini tidak tahu spesisnya mengajarku. Aku mengerti kini, matahari itu begitu, teratur setia mengikut apa yang telah ditetapkan. Tidak mungkin ia terbenam di sebelah Pantai Datai atau Tanjung Rhu. Jika berlaku sudah tentu kelam kabut dan aku tidak mahu fikirkan apa yang akan terjadi. Begitu juga dengan bangau-bangau itu. Aku hairan, mereka mampu merentasi dunia mengikut musim. Tempat yang sama di satu masa yang sama setiap tahun! Bagaimana bangau yang otaknya jauh lebih kecil dariku mampu mencari arah merentasi benua ke tempat yang sama, berulang, setiap musim? Sedangkan aku yang berakal ini masih tidak mampu mengarah diriku sendiri? Apakah “dunia” aku ini terlalu luas? Lebih luas dari dunia ini? Apa sebenarnya yang aku cari hingga aku sesat jauh sebegini? Mencari nikmat? Apakah maksud nikmat itu? Rasa yang mulanya enak, tetapi kemudian menyengalkan sendi?
Aku menyesatkan diriku sendiri. Aku menyulitkan hidupku sendiri. Enaknya sejenak, rasa sakit gelisah bersalah itu tidak. Seperkara menjurus kepada seperkara yang lain. Sekali mendapat rentak, tiba-tiba pemahaman itu hadir dan meletakkan segalanya di tempat mereka. Aku sedar aku sayang pada Ziela. Bukan rasa bersalah terhadapnya yang membuat aku mengajaknya bersamaku. Aku sayang padanya.
“Ziela, boleh I tahu sesuatu?”
“Mmm,” dia mengangguk.
“I perlu tahu, mengapa I? Mengapa you bekerja di situ sedangkan you ada kelulusan Universiti. You kerja di tempat sebegitu dan tinggal di kondominium mewah. You ada kereta mewah. You ada keluarga yang mewah. Maksud I, I lihat sekeliling you semuanya mewah kecuali dua perkara...”
“Apa dia?” Dia memotong.
“Bar Zoo & I.”
Ketawa - dia saja. Aku tahu dia akan ketawa dengan jawapanku. Jadi bila dia begitu - dalam perbualan yang aku kategorikan sebagai penting -, aku tidaklah begitu rasa terguris. Dia mempunyai sepasang bijimata yang cantik. Teringat aku akan kucing makcik Sapiah di sebelah rumah ibuku, Peah. Warna bijimatanya berlainan. Sebelah kiri biru dan kanan hijau - bijimata Ziela maksudku. Aku tidak begitu ingat warna-warna biji mata si Peah itu. Agak lama dia memandangku – berfikir agaknya – dan selama itu aku rasa semakin tertarik pada kedua bijimatanya itu.
“I cari kelainan. I cari sesuatu. Tak tahu apa, tapi I rasa begitu kosong sekali hidup I. I ada hampir segalanya, tapi I rasa resah. Ada sesuatu yang tidak kena pada kehidupan I.”
“Kini?”
“Masih.”
“Apa maksud you?”
“I berhenti kerja dan cuba mencari.”
“Di Bar Zoo?”
“Entahlah. I saja-saja kerja di situ untuk memenuhi masa I. Hidup I terlalu pantas. Clubbing, boozing, sex, tapi bila I bangun setiap hari berikutnya, I selalu tertanya, di manakah I, apa yang telah I lakukan dan rasa sakit-sakit seluruh badan itu tidak membantu. You faham maksud I?”
Aku hanya mengangguk. Rupanya rasa kita sama di setiap hari berikutnya. “Dan I?”
“You...”
“I seperti Bar Zoo? Tempat singgahan you berehat?”
“No!,” agak tegas dia jawab. Seketika aku pasti, aku melihat api di matanya itu. “You...I tak tahu bagaimana nak cakap pada you. Tapi you bukan seperti apa yang you sangkakan ok?”
“Habis apa?” Aku mendesak. Aku benar mahu tahu. Ianya penting. Aku perlu tahu kedudukanku pada dirinya.
“I sayang pada you. I really am. Sayang, would you take me away from all this?”
“Sayang, sebab mengapa I tanya you semua ini ialah kerana sememangnya I mahu meninggalkan semua ini. I felt the same way like you do and I know I dah jumpa jalan keluar dari semua ini. Mahukah you bersama I?”
Duduk di sejadah kami berpelukan. Aku mengusap-usap kepalanya dan dia memelukku seakan tidak mahu melepaskanku. Aku merasai kepanasan airmatanya di bahuku. Itu kali pertama kami bersama bersolat. Itu malam pertama kami sah sebagai suami dan isteri. Dan itu perkara yang pertama kami lakukan sebaik masuk kedalam bilik selepas majlis.
Itulah ceritaku. Bagaimana aku jauh mencari sedangkan apa yang dicari itu ada pada diriku sendiri. Aku bersyukur, akalku masih waras dan mampu menilai sedangkan sekeliling amat melalaikan. Aku bersyukur dilahirkan beragama, lantas apabila melanggari, rasa bersalah itu wujud. Apabila bermasalah, ada jawapan tersedia. Dan apabila sekelilingku meragukan serta mengkhianati, aku boleh mengharapkan padanya.
Di masa senja begini, aku dan Ziela sering bercerita pada anak-anak tentang “Bar Zoo”, Matahari di Pantai Chenang dan bangau yang hingga kini tidak aku tahu spesisnya. Kami mahu mereka beringat dan belajar dari kesilapan kami. Namun jauh dalam hati kami mengetahui, mereka bakal diduga - dikejutkan, diresahkan dan disogokkan jalan keluar yang mudah. Kami hanya berdoa agar mereka menemui dan merasai apa yang kami rasai kini. Realiti kehidupan perlu menggigit untuk mengingatkan dan mengajar. Senja begini, aku dan Ziela sering melihat matahari yang pergi, menggambarkan burung-burung pipit yang terbang itu bangau dan “Bar Zoo” pasti terbayang. Aku memandangnya dan dia juga begitu, senyum. Dia mencapai tanganku lalu kami berpimpinan masuk meninggalkan balkoni.
Published in Berita Minggu - tarikh sama dengan cerpen Cinta "Hot-Chocolate".
0 reaksi:
Post a Comment