Aku mengalami satu mimpi yang cukup indah tadi…
Dunia sedang menghadapi satu penyakit – flu - yang menjanjikan sesuatu yang tidak pernah terfikir sebelum ini. Mungkin pernah, tetapi tidak begitu diambil perhatian sehingga kini. Dan mungkin juga tidak diendahkan sangat walau terfikir mengenainya. Aku teringat burung Hudhud. Kita terajar oleh burung rupanya!
Apakah kau ini benar? Apakah apa yang aku dengar ini benar lahir dari mulut kau? Aku mengalami satu mimpi yang cukup indah tadi dan kini aku dipaksa mendengar sesuatu yang pernah aku dengar, tetapi tidak pernah aku berfikir sangat mengenainya…
Bila AIDS melanda, atau akhirnya manusia menjumpai penyakit yang mungkin telah lama ada tetapi tidak tahu menahu mengenainya, lantas menamakannya, kita tersentak. Berjuta terkorban. Kita tersentak. Dan berjuta lagi terkorban. "Oh," kata kita, "ia tidak mungkin berlaku ke atas aku." Benar, ia tidak akan berlaku ke atas kita jika kita tidak mengamalkan seks rambang – atau seks tidak terkawal? – atau penggunaan jarum untuk merasai – atau mencapai – kenikmatan dadah secara rambang – atau tidak terkawal – atau kita tidak ditimpa nasib yang buruk diberi darah yang telah dicemari – atau tidak dikawal – atau apa ya? Aku terfikir akan Nabi Lut. Manusia mudah lupa akan sejarah. Mereka tidak mahu belajar. Mereka hanya mahu mengajar. Kau faham maksud aku ini?
Lihat, tadi, mungkin semalam, aku mengalami satu mimpi yang indah. Aku pasti kau faham. Namun kau perlu menceritakan atau meluahkan perkara sebegini kepadaku? Haruskah kau dengan luahan kau ini menyekat aku dari merasai cebisan-cebisan mimpiku?
Apa itu demokrasi? Demokrasi adalah pengawalan pemahaman kita mengenai kebebasan…mengikut tafsiran dan terjemahan manusia yang sedang mendominasi dunia. Diktator, perlu ditumbangkan kerana terlalu lama berkuasa walaupun dipilih rakyat. Pemimpin perlu digulingkan kerana membawa pemahaman yang tidak senada. Sekat itu dan ini. Serang dan menguasai itu dan ini. Mendominasi dan menguasai. "Aku berkuasa, kau ikut caraku!" Kebebasan bersuara…konon…
Ah, aku mula mengerti kini, secebis syurga dibalas neraka yang tidak nampak sempadannya…
Dan, pernahkah kita mengira bencana alam yang berlaku akhir-akhir ini? Pernah kita mengira mengenai jenayah-jenayah yang berleluasa kini? Bapa makan anak. Anak makan bapa Pemimpin makan rakyat. Pemimpin makan pemimpin. Rakyat makan rakyat. Yang berkuasa hanya mahu menguasai, bukan kerana tanggungjawab, tetapi kerana kemewahan. Lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan. Kau kira tepuk sebelah tangan berbunyi? Eh, kau faham maksud aku ini?
Ya, ya, aku faham – walaupun mungkin tidak sefaham kau, tetapi aku faham. Secebis syurga menjanjikan neraka yang mungkin tiada sempadannya. Aku faham.
Dunia ini tidak adil…
Tidak, pada aku dunia ini sesuatu yang neutral. Garisan pemisahan.
Bagaimana?
Kita khalifah. Sebelah kanan syurga, kiri neraka. Mana pilihan kita?
Tentu saja syurga…
Tidak, itu satu kesilapan.
Neraka?
Tidak juga.
Ah, kini giliran kau pula mengganggu pemikiranku ini…
Pada aku, dunia ini adil. Dunia ini satu garisan di mana manusia diuji. Ujiannya mudah…
Kita perlu berjalan lurus?
A’ha! Persoalannya, mengapa kita tidak boleh lurus? Perlukah kita merasai syurga dan neraka di dunia ini sedangkan ia sesuatu yang bukan di sini? Ia dijanjikan selepas ini. Bukan di sini, tetapi selepas ini. Tetapi, kita tidak mahu melakukan itu. Kita perlu merasai apa yang kita namakan – atau rasakan - syurga dan neraka itu.
Mengapa?
Kau lihat sekeliling, apa yang kau nampak?
Material?
Benar, dan kita semakin dibuai, terbuai…pakaian ada pelbagai dan bertaraf dengan jenamanya. Begitu dengan kereta, rumah, jam, kasut, wang dan hampir segalanya yang kita lakukan. Kita makan makanan yang kononnya bertaraf lima bintang…kita rasai syurga – rasa kita - kita melangkah syurga, sebentar. Kita melakukan dosa-dosa untuk merasai syurga itu – rasa kita – dan kita melangkah neraka, sebentar juga. Kita tidak pernah meniti garisan itu dengan lurus. Kita tidak pernah berjalan dengan lurus. Kita bagai orang yang mabuk – mungkin mabuk mengejar kuasa dan material. Kita seakan katak, melompat ke kanan, melompat ke kiri dan akhirnya tidak sedar akan kehadiran garisan itu. Kita lupa mengapa kita di sini. Kita lupa segala yang asas. Kita lupa segalanya. Kita perlu adakan syurga dan neraka kita sendiri. Di sini, kini. Kau faham?
Mungkin…
Tadi kau juga menyatakan tentang flu, Aids, demokrasi, bencana alam, korupsi, gila kuasa, makan-memakan, seks rambang, dan kau tidak pasti?
Perlu adakah kepastian? Aku cuma menyatakan apa yang mengganggu diriku ini. Aku memikirkan tentang dunia yang semakin mendekati maut…kiamat! Tetapi, kau menyatakan tentang garisan. Garisan neutral. Dunia ini hanyalah satu garisan neutral. Dan, kita sebagai khalifah menentukan sebelah mana kita berjalan. Kanan atau kiri. Di kanan syurga. Di kiri neraka. Kita sebagai Khalifah lupa, kita tidak perlu ke kanan atau ke kiri. Kita cuma perlu berjalan lurus atas garisan itu, sepertimana kita berjalan di atas Siratul Mustaqim kelak…atau…ah, aku faham. Tetapi, aku tidak sebegitu jauh berfikir. Aku cuma memikirkan tentang betapa dekatnya kita kini dengan kiamat. Kau menyusuri terlalu jalan yang lain dari apa yang aku maksudkan.
Oh, maafkan aku. Mimpi aku terlalu indah tadi, atau semalam. Kau hadir dan memusnahkan rasa-rasa indah itu. Aku rasa seperti syurga, tetapi syurga itu tidak pernah aku temui, apalagi rasai. Ia terlalu indah dan aku rasa ia secebis syurga…secebis rasa syurga walaupun ia sesuatu yang tidak terjangkau atau terasa oleh kita selagi dunia ini belum kiamat…
Sama seperti neraka. Ia sesuatu yang tidak termampu kita bayangkan atau rasakan…
Kau melakukannya lagi!
Apa?
Memusnahkan apa yang indah dengan sesuatu yang buruk! Kau mengingatkan aku tentang kepahitan sebelum aku puas menikmati kemanisan…
Tapi katamu syurga dan neraka bukan di sini. Bukan kini. Bukankah apa yang kau rasakan itu hanya sesuatu yang terdapat di sini, kini dan bukannya sesuatu yang di sana, kemudian? Tentu saja ia bukan syurga. Salahkan aku?
Tidak. Engkau tidak bersalah. Hanya aku yang mahu mempercayainya. Sifat, aku perlu mencari dan merasainya dan sepertimana kau dan aku tahu, ia sesuatu yang mustahil di waktu ini dan di sini, jadi jalan mudah, aku menganggapnya begitu. Tidak, kau tidak bersalah. Mana mungkin kau bersalah dalam perkara ini. Engkau sebahagian dariku. Kau menjawab persoalanku, aku menjawab persoalanmu. Kau tidak bersalah. Kau di dalam sana, aku di luar sini. Kau batinku dan tidak salah kita bertemu di titik neutral ini…
0 reaksi:
Post a Comment