“Dia segalanya bagiku…,” memaling, melarikan pandangan dariku - melihat pada kenderaan yang berlalu agaknya – pada jalan besar yang sibuk dengan jari telunjuknya menguis-guis lembut bibirnya dan berkata, “Aku benar kehilangan. Kosong…dia tiada dan dalam ini pun kosong,” sambil mengetuk-ngetuk dada dengan jari-jari halus tangan kanannya. “Aneh bukan?”
Selama ini pandanganku terpaku padanya. Lantas apabila dia berpaling memandangku dan berkata, “Aneh bukan?”, buat kali kedua, aku tersentak. Mengapa? Entahlah, aku sebenarnya jauh mengamati wajahnya itu. Entah bila dan di mana, tetapi tanyanya itu menyentak dan aku kembali pada diriku sendiri. Mencari kata-kata menyahut pertanyaannya itu, aku kembali hanyut entah ke mana…
“Hello…dengar tidak apa yang I cakap ini?”
Senyum, “Saya dengar, cuma…”
“Tak faham?”
“Iya.”
“Tak faham?”
Aku hanya mengangguk sambil jariku menarik-narik lembut janggut yang aku sedar agak panjang meliar dan perlu dirapikan semula. Dia memaling semula, melihat jalan besar itu. Sebahagian rambutnya jatuh menutupi sebahagian mukanya. Di biarkan begitu, tidak ditolak dan diselitkan pada telinganya, seperti kebiasaan. Rambutnya yang lurus paras bahu itu berwarna jingga tua; sinaran lampu diatas menyerlahkannya. Aku benar tertarik. Ianya begitu…kena pada rupa parasnya. Bujur sirih dan kulitnya yang bersih putih itu benar…hidungnya itu benar…bibirnya itu benar…dan mata itu…ah, aku benar hilang dalam mengagumi dia yang didepanku ini. Dia yang benar menguasai hatiku ini.
“I tak tahu apa nak buat. Semuanya tidak kena. Rasa lemah dan benar tertekan kerana semuanya ini. Rasa kehilangannya begitu menghimpit dan entah mengapa, diri I juga hilang entah kemana. Tiada arah, setiap kali membuka mata dari tidur yang penuh resah, I memandang dinding, berfikir, mencari, mengapa I masih di sini, keseorangan. Aneh bukan?” Melihatku dan mata itu…
“Hello.”
“Iya, you hilang arah. Saya faham.”
“Tak faham mengapa I boleh jadi sebegini…lemah.”
“Sabarlah. Masa mengubati dengan membiasakan diri pada keadaan.”
“Membiasakan pada keadaan?”
“Iya.”
“Bila?”
“Manalah saya tahu, tetapi banyak bergantung pada you juga. You harus terima hakikat keadaan kini. Dia sudah pergi, tidak mungkin kembali. Itu hakikat. Soalnya, bila pula you dapat menerimanya dan membiasakan diri dengan keadaan, tanpanya.”
“I harap ianya semudah itu. Oh Tuhanku…alangkah ianya semudah itu. Tapi, ianya tidak.”
“Hello, you langsung tidak mahu mencuba. Cubalah, lihat dan seberangilahlah sempadan itu. Sinar itu ada. Jangan tutupi diri itu dari kehidupan ini. Ini bukan kemahuannya. Dia tentu mahukan you teruskan kehidupan you seperti biasa.”
“Mana you tahu?”
“Andai saya mencintai seseorang, dia segalanya. Sudah tentu saya mahu dia bahagia, tidak duka menderita seperti you. Jika you di tempatnya, bukahkah itu yang you mahukan?”
Diam. Hatiku luruh melihat dia menitiskan airmatanya. Terlalu dalam perasaanku terhadapnya. Ya, aku rasa aku menyintainya dan apabila dia kehilangan kekasihnya dalam satu kemalangan jalanraya, terasa amat berdosa kerana hatiku terlonjak-lonjak melihat ruang untuk hadir dalam hidupnya. Bukan ini yang aku mahu. Bukan begini. Melihatnya begini, menderita menanggung perasaan kehilangan sesuatu yang amat dia sayangi, aku diheretnya bersama merasai. Andai aku katakan bahawa aku lebih menderita, sudah tentu dia tidak percaya. Tetapi, begitulah rasaku…aku tahu.
“Farah…bangunlah. Keluar dan biarkan sinaran diluar itu menjana kembali dirimu itu. Kau terlalu lesu dan membiarkan dirimu itu, mati!. Kau menyiksa dirimu…dan aku. Andai kau tahu perasaanku pada apa yang telah aku lalui, masa lalu dan kini, pasti kau faham mengapa aku lebih menderita. Kau kehilangan seseorang yang pergi buat selamanya. Aku kehilangan seseorang yang masih ada, terkadang terserempak ditengah jalan, kompleks membelibelah atau pejabat atau di mana saja dan setiapkali itu berlaku, hatiku rasa ditusuk, robek dan dimamah oleh perasaanku sendiri. Rasa yang tidak mahu pergi, menghantui! Namun, aku mampu menampilkan wajah biasa didepannya, sedangkan seluruh isi dalamanku runtuh dengan bergelodak dalam perutku. Ianya berulang tanpa apa-apa amaran. Kerap aku mengingatkan diri agar bersedia, namun dia sering muncul setiap kali aku lalai. Aku tidak mampu mengatasi rasahatiku terhadapnya selagi kau tidak menyambutku dalam dangkapanmu…menerimaku seperti mana kau menerima kehadiran Fazlan. Aku di sini, sedia dan mahu setia padamu dan kau di sana tidak mengetahui dan terlalu setia pada yang telah pergi. Mahu saja aku meluah,tapi kau terlalu setia - aku terlalu takut memberitahu kerana tidak mahu kau keliru; menceroboh dan menakluki ketika kau lemah dan memberatkan lagi apa yang kau tanggungi – dan aku terlalu menghormati egoku ini. Aku tidak mahu menjadi dahan yang kau paut sebentar menghilangkan lesu dan mengamankan dan mengubati hati. Aku tidak mahu apabila lesu itu hilang dan hati itu aman, kau sedar…aku bukan segalanya. Aku tidak mahu begitu – mengambil kesempatan atas dirimu. Tidak, aku tidak mahu begitu. Aku terlalu bangga akan diriku sendiri. Dan, aku tahu erti kasih sayang itu…aku pernah kehilangannya, - kasih dan sayang itu – tetapi orangnya masih ada. Tidak sepertimu…sekarang kau faham mengapa aku lebih menderita darimu? Dia sudah tiada bagimu dan aku terpaksa berulang melalui…neraka!”
“Farah,” dia masih setia pada jalan besar itu. Tidak berpaling padaku bila aku menyebut namanya. Rambut itu masih begitu, cuma airmatanya itu semakin kerap
menitik jatuh setelah menyusuri lekuk antara hidung dan pipinya, terkumpul seakan cuba berpaut pada bibir dan dagu, namun dirinya itu terlalu hancur dan titikan yang hampir tidak putus itu menyatakan segalanya, “Farah…you tidak boleh begini. Antara sedar atau tidak, ianya destruktif. You menghukum diri sendiri. Dan, saya benar risau.”
“Destruktif…pada dia dan aku. Risau…pada dia dan aku. Menghukum…dirinya dan diriku ini. Mengapa aku diletakkan pada keadaan begini? Apa salahku? Maznah pergi mengejar sesuatu yang mungkin tidak akan aku fahami dan Farah yang membawa harapan bagiku berpaut dan mengubati hatiku yang lali ini, tetapi dia terlalu setia. Benar terasa aku ini lemah. Perlu berpaut, perlu ada…tempat bagiku berselindung!”
“Risau? You risau?” Dia memaling. Sesuatu muncul dari wajah itu. Sesuatu dari dalam…kemarahan!
“Iya, I risau melihat you,” lembut kataku cuba mempertahankan kedudukan.
“Ianya bukan masalah you,” ringkas dan memaling semula memandang jalan itu.
“Bukan masalah I? Dan, you begini didepan I, meluah apa yang mengganggu dan ianya bukan masalah I?”
“Tidak bermaksud begitu apabila bertemu you. I cuma mahukan seseorang mendengar. Itu saja.”
“ Sepatutnya you cari orang yang kau tak kenal…,” aku mematikan saja apa yang mahu aku katakan lagi setelah dia memberiku satu pandangan yang berhawa dan membara – kemarahan itu muncul kembali.
“Jadinya begini…Dia mahukan aku mendengar dan aku mahukan dia menanam dan memulakan kehidupan yang baru – bersamaku. Keadaan amat selari, secucuk – kami sama menderita orang yang kami sayangi. Aku mengenalinya semenjak di bangku sekolah rendah. Kami begitu erat – dia tahu rahsiaku dan sebaliknya. Aku mempunyai rasa ini: Rasa yang melonjak riang setiapkali berjumpa atau mengingatinya. Tidakkah rasanya sama juga?Mengapa pula aku hanya harus mendengar? Tidakkah aku berhak bersuara? Kemarahan yang ketara dari pandangannya itu berjangkit. Aku juga marah, padanya yang mahukan aku sebagai patung dan pada diriku sendiri. Aku benar terhina. Dia tidak perlu menghinaku sedemikian. Aku tidak perlu menghina diriku sedemikian. Benarlah…aku yang lebih merasai neraka itu!”
“Thanks for your time,” bangun dan berlalu.
Ianya sesuatu yang aku jangkakan. Dia perlu pergi – seperti kebiasaan, lari dari apa yang menyulitkan – sifat semulajadi manusia. Aku pun mungkin begitu. Melayani perasaan hati yang lemah dan apabila sedar terancam, semestinya bertindak begitu. Aku tidak mahu dia pergi walaupun aku tahu dia sememangnya begitu – keras kepala!
Kini benar segalanya semakin sulit. Maznah pergi dan kini Farah. Bagaimana kiranya bertemu kelak? Maznah masih mampu meruntuhkan. Farah? Aku benar menggali lubangku sendiri…
Setahun berlalu dan dua tiga kali melalui “Neraka”. Farah menyepi dan aku pula terlalu berat mahu menghubunginya. Lalu dibiarkan saja begitu dengan harapan keadaan dan masa menentukannya. Setiapkali Maznah menyapaku, aku terpaksa merawat hatiku untuk beberapa ketika. Aneh, “Hello”nya itu seperti tangan-tangan yang menghancurkan. Aku senyum menyambut sedangkan waktu itu degupan jantungku bagai rentak musik heavy metal! Isi tubuhku terasa dikupas dan terasa derusan darah menyusuri uratku – diriku rasa kebas! Parah! Dia kelihatan biasa saja – seperti tiada apa yang berlaku antara kita. Aku lebih dari biasa, kerana masih mampu berlakun didepannya itu. Setahun telah berlalu dan diriku kerap bertanya, “Dimanakah Farah?”. Aku perlu tahu bagaimana jika kami bertemu. Bagaimana dia dan bagaimana aku.
“So you masih setia disini…”
Berderau diriku dengan darah melulu menerpa wajahku. Aku terpegun sebentar setelah menyambut dengan memandang arah datangnya suara itu. “Farah?” kata hatiku…
“Farah!”
“I ini hantukah?”
“Memanglah. Lebih setahun kita tidak bertemu. I hampir tidak mengenali. Bertudung?”
“Iya. Pelik? Biasalah. Anyway, I ada dan selalu melihat you di sini.”
“Iyakah? Mengapa tidak menyapa?”
“Saja. I tak mahu mengganggu.”
“Kawan seperti you tidak pernah mengganggu,” aku tahu, aku menipu.
Senyum. Aku begitu senang sekali waktu itu. Terasa ringan di kepala dan sejuk di hati – hatiku melonjak-lonjak!. Farah didepanku dan aku tidak merasa sepertimana apabila aku bertemu Maznah. Suaranya itu bukan tangan yang merobek – ianya lebih pada mengusap lembut.
“Sebentar,” kataku sambil berlalu masuk ke dalam. Sepanjang aku didalam, diriku tidak henti melonjak bergelora. Bibirku yang mengukir senyuman menyatakan segalanya.
“You masih ingat…”
“Hot Chocolate with no cream…you takut gemuk!”
Kami ketawa dan disambut senyuman yang menyatakan perasaan yang mendalam. Matanya itu berlainan sekali. Pandangannya itu menyatakan sesuatu – perasaan yang mendalam terhadapku! Diri kami saling meluah tanpa perlu bersuara. Diam, tetapi masih tersenyum, aku rasa diriku menangis kegembiraan.Begitu mendalam sekali dia dalam diriku dan aku pasti dia pun begitu. Senyuman kami menyatakan segalanya.
“Setahun, lebih! Apa yang you lakukan?” Akhirnya aku menghentikan luahan batin kami.
“Nothing much. I hanya bekerja…bekerja dan bekerja.”
“Itu saja?”
“Ya. Itu saja.”
“All work and no fun?”
“Work is fun when you’re in my place!”
Kali ini kami ketawa. Airmataku bermain dimata dan perlu aku mengelapnya dengan jariku. Aku benar-benar ceria waktu itu. Dia juga begitu. Wajahnya begitu menyerlah seakan ada lampu yang bernyala didalamnya.
“Bagaimana dengan you?”
“Biasa saja. Ada sesuatu yang nak I beritahu.”
“Apa dia? You nak kawin?” Tanyaku spontan berseloroh.
“Not really. I nak minta maaf atas segalanya. Remember…hari itu di sini?
Aku hanya mengangguk, masih senyum walaupun dia tidak.
“Banyak perubahan dalam hidup I kini…,” terhenti apabila seorang lelaki yang dari tadi tidak henti memandang kearah kami menghampiri dan berhenti di meja kami. “Ini Razlan, abang Fazlan…”
Sebulan berlalu dan aku masih mengingati waktu itu. “Ini Razlan, abang Fazlan…” mematikan segalanya – antara kami. Tidak henti menyalahkan diriku. Tidak henti kesal di hati ini. Katanya itu berulang-ulang aku dengar - dipaksa. Dia perlu memusnahkan apa jua harapanku padanya. Tangannya seperti tangan Maznah kini. Aku disumpah lagi! Tuhan mendugaku lagi. Tidak cukup satu, diberinya dua. Kini aku terpaksa melalui Neraka itu setiap kali mereka hadir. Mungkin persepsiku terhadap Neraka itu memakan diriku sendiri. Kata-kata dari rasahati perlu dipelihara, perlu dijaga agar tidak sumbang. “Neraka,” kataku, tapi pernahkah aku melaluinya? Aku benar diajar…
Helmy Samad
CBSJ
16:48
5hb Jun 2002
Published - Mingguan Malaysia - in 2003 I think...
0 reaksi:
Post a Comment