header-photo

Untungnya menerbitkan karya-karyanya...

Setiap kali memulakan urusan penerbitan sesebuah buku, saya rasa teruja. Selain dapat membaca karya yang akan diterbitkan itu, saya sempat juga mempersembahkan pemahaman saya dan menerima maklum balas daripada pengarangnya.

Memahami apa yang cuba disampaikan Pak Samad dalam karyanya bukanlah mudah. Terlibatnya saya dalam urusan penerbitan karya-karyanya satu anugerah – saya lebih memahami dirinya kini.

Saya cuba bayangkan silam...40an...50an...60an...namun, mengetahui tidak sama dengan mengalaminya. Kita dilahirkan dalam satu zaman yang berbeza. Mana mungkin kita tahu erti sebenar “kesusahan kehidupan” zaman dijajah. Pernah kita lari dikejar peluru-peluru dan dihujani bom? Pernah kita mencari makanan dalam longkang dan sungai? Setiap kali saya bertanya tentang perang, dia tergeleng. Dia diam seperti ada sesuatu yang menyentap jiwanya dan selalunya dia menukar topik perbualan.

Tapi, di suatu hari entah mengapa dia bercerita...

Tergeleng lagi... “Elakkan perang. Ia bukan sesuatu yang kau perlukan...”

Saya terlontar memikirkan jejak hidupnya. Dia bukan seorang yang “mudah” buat saya dan tentunya tidak mudah bagi mereka yang tidak benar-benar mengenalinya hingga ada yang melabelkannya angkuh, sombong, bongkak dan kagum dengan dirinya sendiri. Namun, saya tahu keikhlasan dirinya itu.

“Helmy tahu, perbuatan yang lahir dari keikhlasan selalunya disalah erti.”
Saya tidak ternganga, tetapi terkerut dahi.
Dia tersenyum, “Bapak pernah dan selalu kata orang yang menolak ilmu itu bodoh. Ingat apa yang bapak dapat?”
Saya terangguk. “Mengapa bapak tidak jelaskan?”
Senyum lagi, “Kalau keihklasan semudah itu yang bapak luahkan tidak difahami dan diterima, malah dicerca dan dilabel, fikirkanlah sendiri.”
“Habis, bapak diam saja.”
“Ya, mengapa tidak?”
“Tapi...”
“Helmy, jangan masuk gelanggang mereka yang tidak ikhlas. Jangan masuk gelanggang mereka yang akalnya pendek. Kelak kita jadi bodoh dan tidak ikhlas. Kita akan dikuasai nafsu. Jika itu berlaku, Helmy fikir kita mampu ikhlas?”

Dulu saya pernah begitu...saya, anaknya, melabelkannya dengan pelbagai label (buruk) hanya kerana saya tidak mengenali dirinya yang sebenar. Perasaan sebegini menetap dalam jiwa selama hampir 20 tahun sehingga saya melalui satu masa yang saya kira “susah”. Dia hadir semula, menghulur tangannya dan kini berdikit gambaran kabur tentang dirinya itu menjadi nyata.

Seperkara menjurus ke seperkara yang lain...itulah untungnya saya menerbitkan karya-karyanya...saya dapat membaca, meneliti, menyoal dan mula memahami seorang insan bernama “Bapak” ini.

KBMM

Sedikit mengenai KBMM

Penubuhan Kampung Buku Malaysia (Melaka) ini adalah sebagai salah satu komponen Taman Botanikal - produk pelancongan Negeri Melaka.

KBMM mahu di jadikan "One Stop Book Center" - bertaraf antarabangsa - di mana ia menjadi pusat pengumpulan buku-buku lama dan baru dari pelbagai bahasa yang meliputi pelbagai tajuk dan perkara.

Pada peringkat awal, lapan penerbit dan pembekal yang terpilih akan dijemput untuk menjayakannya - ada lapan ruang - menjual buku-buku terpakai dan baru. Mereka yang terpilih perlu membayar sewa.

Luas ruang dari 44mp hingga 53.70mp. Kadar sewa RM17.50mp. Bil Elektrik dan air tanggungan penyewa.

Waktu operasi:
Isnin - Jumaat: 9.00 pagi - 6 petang
Sabtu - Ahad: 9.00 pagi - 2 petang


Sepintas lalu memang menarik...

Saya memikirkan tentang:

Lokasi
Lokasi yang terletak jauh di dalam Taman Botanikal (dulunya Hutan Rekreasi). Pak Samad dan saya sengaja berjalan kaki masuk ke dalam - percayalah, dari tempat letak kereta hingga ke lokasi pastinya berpeluh. Jalannya berliku dan kecil.

Walaupun pihak Perbadanan Hang Tuah Jaya (dimiliki Kerajaan Negeri dan bertanggung jawab atas KBMM) telah menyatakan bahawa jalan akan dibesarkan dan tempat letak kereta dan bas yang mencukupi akan disediakan, semasa melawat tidak nampak lagi kerja-kerja dijalankan kecuali bangunan KBMM yang hampir siap. Dan mereka perlu menebang sejumlah besar pokok-pokok untuk membesarkan jalan dan menyediakan tempat letak kereta.

Hak Milik
Hak milik bertindih. Walaupun dinyatakan KBMM dibawah Perbadanan, tetapi kawasan saya kira masih milik Perhilitan. Tentu saja pihak perhilitan mementingkan persekitaran kerana ia bertanggungjawab memeliharanya. Pihak Perbadanan tentu saja memandangnya dari sudut pemasaran.

Sewa
Saya lebih memikirkan ini satu pengorbanan kepada nusa dan bangsa oleh pembekal dan penerbit yang terpilih. KBMM adalah satu komponen pelancongan Kerajaan Negeri - lebih mempromosi Melaka dan bukannya pembekal atau penerbit. Bukan mudah menjual buku "dalam hutan".

Sewa ruang, gaji pekerja dan kos-kos lain akan membebankan mereka yang terpilih. Harus ingat, kami ini syarikat. Keuntungan perlu untuk "survival". Selagi KBMM belum mencipta nama dan terkenal, selagi itulah kami akan rugi. Walaupun disenaraikan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang 2007 bagi mempromosi KBMM, tetapi ini hanya rancangan. Sedia maklum, merancang mudah dan bagi menjayakan sesuatu yang mahu dijayakan, pastinya senarai itu akan di"perbesar-besarkan" bagi menarik pelabur untuk melabur.

Saya kira pihak Kerjaan Negeri perlu memberi keistimewaan kepada mereka yang terpilih - tidak payahlah mengenakan sewa untuk satu jangka masa sehingga KBMM benar terbukti berjaya. Jika mereka boleh membelanjakan berjuta RM untuk projek ini, apalah sangat RM80,000 sewa setahun untuk lapan penerbit dan pembekal? Lagipun ini projek pelancongan - lihat sajalah masa lawatan - tidak logik langsung bagi hujung minggu. Berilah sedikit insentif. Kelak yang dapat nama pun bukannya penerbit atau pembekal, tetapi Kerajaan negeri. Wang membayar sewa itu boleh digunakan pembekal dan penerbit untuk menjalankan aktiviti/promosi mereka sendiri.

Aktiviti promosi penerbit dan pembekal penting kerana mereka lebih mengetahui bagaimana cara menjual buku. Lagipun kalau kira lokasi, saya pasti Langkawi lebih "komersil" berbanding Taman Rekreasi di Melaka ini. Aktiviti promosi perlu teratur, berterusan dan menemui sasaran.

Akhir sekali, apa yang akan membezakan KBMM ini dengan KBML? Apakah ada jaminan perkara sama tidak akan berulang jika tampuk kepimpinan bertukar tangan?



Omar

Ini Omar.
Kacukan Parsi + "Tabby". Berumur hampir 3 bulan. Isteri saya ternampaknya di sebuah kedai peliharaan haiwan di Kota Damansara dan terus membelinya...matanya biru dan juling air. Saya tidak mampu membantah...isteri saya hamil, mana mungkin saya menolak?

Omar dalam sangkar semasa kami tidur atau tiada di rumah - terpaksa kerana dia masih kecil dan harus membiasakan diri dengan persekitaran dan tentu saja, Velvet & Chloe pada mulanya membantah.
Kini sudah 2 minggu dia bersama kami. Tak lama lagi kami harus berpindahlah...

Hikmah...

Apabila menerima surat PNM yang menyatakan dua buah judul terbitan WBSB terpilih untuk dibekalkan kepada Perpustakaan Desa seluruh negara, saya tersenyum lebar. Ini bagai bonus akhir tahun!

Terdapat 1039 buah (setakat ini) Perpustakaan Desa di seluruh negara dan setiapnya dibekalkan 2 naskah setiap judul.

Dan kerana ghairah, saya "terajar" sekali lagi dalam lapangan penerbitan ini.

Ketetapan harga pembekal - saya melakukan kesilapan memberi harga yang agak rendah - diskaun lebih 55%. Saya masih untung, alhamdullillah, tetapi "margin" tidak memberi saya ruang untuk rundingan lain seperti kredit dan penghantaran.

Ramai pembekal tidak "mampu" membayar tunai untuk buku-buku yang dipesan - modal kecil. Ini melewatkan pembelian dan pembekalan. Saya mahu membantu, tetapi diskaun yang tinggi itu menghalang.

Petang tadi saya berjumpa dengan pengurus pemasaran di PTS - Encik Zaharin - yang tidak lokek memberi pandangan dan nasihat - sebaiknya saya melantik Pengedar untuk kes sebegini. Ini memudahkan urusan kerana saya hanya perlu berurusan dengan sebuah syarikat sahaja dan bukannya 160 seperti apa yang saya alami kini. Biar pengedar tersebut berurusan dengan pembekal-pembekal. Saya hanya perlu mencetak buku dan berurusan dengan Pengedar.

Buat masa ini hal pembekalan ini membuat saya kelam-kabut. WBSB hanya ada dua tenaga kerja - Pak Samad dan saya. Operasi hanya saya seorang. Saya perlu jawab panggilan, sediakan sebutharga, proforma invois, invoice, nota hantaran, ambil buku di pencetak, menghantar buku dan pungut pembayaran. Benar, saya rasa letih, tetapi lebih baik letih kerja dari letih tak ada kerja! Ini proses saya belajar dan saya perlu melaluinya untuk masa hadapan WBSB.

Dalam kelam-kabut saya ini, nasihat Sifu PTS - Puan Ainon (seorang insan yang ikhlas mahu memandaikan bangsa melalui penulisan dan penerbitan - semoga Allah memberkati dan memelihara diri dan syarikatnya) masih dalam kepala saya. InsyaAllah Sifu, itu sedang diusahakan.

Dan tidak pelik rakan-rakan lain seperti Nisah, Faisal, Zaid dan "bloggers" lain juga membantu dalam pembelajaran saya ini. Saya berterima kasih, bersyukur dan bangga melintasi, mengenali dan duduk bersama jaluran mereka ini.

Saya perlu lebih kerap belajar dan diajar supaya tidak kecundang akibat "kurang ajar" - erti kata lain, ilmu penting dan sifatnya tidak pernah mencukupi. Teruskan mencari dan rela belajar kerana kita "mati" sebaik kita rasa kita ini pandai.

Sementara itu biarlah saya melepaskan keresahan..."Arghhhhhhhhhhhhh..."

Kampung Buku Malaysia - Melaka

Atas inisiatif Kerajaan Negeri Melaka dan dengan kerjasama Yayasan Kampung Buku Malaysia, akhirnya Kampung Buku Malaysia dihidupkan semula - kali ini di Taman Botanikal Ayer Keroh, Melaka.

Sedia maklum dahulu Kampung Buku Malaysia ini di Langkawi, Kedah, tetapi atas sesuatu sebab - hanya mereka yang terlibat mengetahui - ia ditutup.

Perkara ini seingat saya telah diperbincangkan semenjak lewat 2005 lagi. Waktu itu beberapa pegawai Perbadanan Muzium Melaka meminta pandangan Pak Samad mengenainya. Tentu saja, apa-apa yang melibatkan buku akan merangsangkan Pak Samad. Beberapa bulan selepas itu, Pak Samad dijemput ke Langkawi dan sekali lagi hal mengenai Kampung Buku ini dibincangkan dengan orang-orang Langkawi. Harapan dan semangat Pak Samad yang tinggi di makan masa - selepas itu tiada apa-apa berita lagi. Saya kesian melihatnya yang sering bertanya kepada saya tentang hal ini. Berita terbaru ini pasti akan menggembirakannya!

Saya tidak tahu siapa di belakang Yayasan Kampung Buku Malaysia ini. Mungkin orang-orang Langkawi bergabung dengan orang-orang Melaka. Mungkin juga ada persatuan-persatuan penulis tempatan yang terlibat. Namun, apa yang pasti, pada 5 Disember ini persoalan ini akan terjawab dalam mesyuarat penerangan kepada semua pembekal dan penerbit yang dijemput untuk menyertai Kampung Buku Malaysia di Melaka ini. Kalau tidak terjawab pun tidak apa, asalkan yang terlibat itu ikhlas dalam usaha mereka ini.

Banyak persoalan timbul dalam hal ini. Namun, saya lebih melihat hal ini dengan positif. Saya doakan Kampung Buku Malaysia yang dihidupkan semula di Melaka kali ini berjaya.

ISBN

Tiap-tiap buku yang nak ISBN kena sertakan dahulu salinan kulit buku...betulkah???

Pitamlah saya kena berulang setiap kali nak terbitkan buku. Ingat nak kurangkan "red-tape", kini kena tambah pula...buang masa...buang duit turun naik...letak kereta...tol...minyak...jalan sesak...ishhhh...andai betul "unde-unde" baru itu, ada tak penerbit-penerbit yang nak buat surat bantahan? Kalau ada saya nak "join".

Mungkin sebab ini: PANTAU

Teksi...


Bila bercakap tentang pengangkutan awam di KL, teksi sering saya bayangkan. Saya terbaca promosi "VMY 2007" yang dilakukan Kem Pelancongan di London. Banyak belanjanya dan beruntung teksi-teksi London.

Ada sahabat beri komen...

"Teksi-teksi di London promosi Malaysia, teksi-teksi di Malaysia busukkan..."

Selasa lalu di The Curve dua makcik dari luar negara tahan teksi hendak ke One Utama. Tambang yang dipinta RM50! Yang menariknya, teksi-teksi yang ada di situ semua seakan sepakat, RM50 dari The Curve ke One Utama...

Tidak semua pemandu teksi cekik darah, tetapi semakin hari semakin kurang pemandu yang benar-benar ikhlas dalam tugasnya...mencari nafkah halal agaknya sesuatu yang kuno kini...

Nota: Makcik-makcik itu dari Manchester. Bila jemu dan jenuh dengan karenah pemandu teksi, mereka pergi ke kafe di mana saya sedang duduk minum kopi. Mereka duduk di meja sebelah saya dan saya (ya, chloe macam saya!) bertanya tentang kisah mereka dan teksi-teksi itu. Oh ya, saya hantar mereka ke One Utama - percuma tau!

Mengapa Kami Bantah!

Klik imej untuk muat turun "eBuku" percuma ini


Permainan Rakyat di Angkasa & Masalah Mental

Akhirnya sampai juga permainan rakyat kita ke angkasa - baca SINI


13.7% remaja di Malaysia menghadapi masalah mental
10% rakyat Malaysia sakit mental
Purata 7 kes bunuh diri setiap hari di Malaysia

Baca SINI

Buku Baru


5 Teras Misi Nasional
(Baca di akhbar kelak - saya malas taip kerana "migraine".)

Kakak saya & Sains


Kakak saya seorang guru yang mengajar sains di sekolah rendah. Saya belum lagi mendengar dia mengeluh tentang implikasi mengajar Sains dalam BI, tetapi dia sering mengeluh tentang sikap ibu dan bapa pelajarnya.

Kakak saya memberi tuisyen di rumah dan kerana rezekinya baik dia terpaksa melakukannya 7 hari seminggu dan "memilih" pelajarnya.

Tidak, dia bukan seperti pusat-pusat tuisyen yang hanya memilih pelajar-pelajar pintar (agar statistik memihak mereka). Dia memilih pelajar-pelajar yang "lemah" dalam Sains.

Namun, kelas tuisyennya dibanjiri oleh pelajar-pelajar bukan Melayu. Ibu dan bapa pelajar-pelajar ini akan datang ke rumah, memujuk dan memaksa kakak saya mengajar anak mereka...walaupun anak-anak mereka tidak tergolong dalam pelajar-pelajar yang "lemah" dalam matapelajaran sains. Adalah beberapa kerat ibu dan bapa pelajar berbangsa Melayu yang mempunyai sikap begitu, tetapi majoritinya tidak.

Benar, kakak saya mengenakan bayaran, tetapi kakak saya ada juga menyediakan kelas tuisyen percuma bagi anak-anak Melayu ini...

"Saya sibuk dan tak ada masa menghantar anak saya..."
"Cikgu tidak bolehkah datang rumah..."
"Dia ok dalam sains..."

Antara alasan-alasan "absurb" yang kakak saya terima.

Dari mula dia memberi tuisyen - lebih 20 tahun - hingga kini, impian kakak saya memberi tuisyen kepada pelajar-pelajar bangsanya hanya terisi dalam 10-15% sahaja sedangkan peratusan pelajar berbangsa Melayu di sekolahnya hampir 60%.

Pendapatan tuisyennya lumayan...tetapi Tuhan saja yang tahu kekecewaannya...

Selingan

Ini Velvet - 8 tahun dan dia suka makan dan tidur (seperti saya).
Ini Chloe - 3 tahun. Dia suka mengintai jiran bawah yang sedang menjemur baju di balkoni (macam sesiapa yang suka jaga tepi kain orang).

Jamie Oliver - Naked Chef


Tadi akhirnya saya beli juga buku ini setelah memikirkan tentangnya selama beberapa minggu.

Jamie Oliver adalah salah seorang "chef" yang saya minati. Rancangannya di saluran 11 (Travel Channel di Astro) sering saya ikuti.

Masakannya mudah, tetapi sedap dan menyelerakan.

Kini saya sedang membuat perancangan...

Apa yang perlu saya masak untuk majlis rumah terbuka Sabtu ini...ya, semestinya berekperimen dengan jenis masakan yang terdapat dalam buku ini...





Mungkin saya cuba masak ini...













Mungkin saja ini...hahahaha

Namun, apa saja yang saya pilih, saya tidak hadapi masalah memahami tulisannya walaupun dulu saya belajar matematik dan sains dalam Bahasa Melayu. Mungkin ada yang kata, "Apalah susah sangat hendak faham? Ini hanya buku resipi." Benar...ini hanya buku resipi, tetapi ada beza antara hanya pandai berkata-kata dengan melakukannya...dulu saya ada seorang jiran yang ada membela burung kakaktua...burung ini pandai berkata-kata, tetapi dia duduk dalam sangkar hingga akhir hayatnya...

Ralat

Sedikit maklumat yang diperolehi tadi: Teater al-Amin (saya sebenarnya masih tidak tahu samada ia sebuah teater atau persembahan bacaan puisi atau apa - maaf ya.) akan dirakamkan untuk siaran di RTM pada Aidil Adha ini. Rakaman yang dilakukan pada 15 Nov ini tertutup. Harap maklum.

*Kerja-kerja Rindu Ibu versi Jawi telah bermula 3 minggu yang lalu. Terima kasih kepada yang respon. Harap maklum.

Kau & Aku II

Terkadang, ada detik-detiknya dalam kehidupan ini, aku rasa terperangkap, terhimpit, sesak, lemas, tiada jalan keluar, tiada apa...dan, terus terang aku katakan, aku tidak tahu kemana arah tujuan hidup ini dan di mana ia akan berakhir...aku benar-benar tidak tahu. Terkadang juga, terdengar suara-suara bertanya, “Tahukah arah tujuan kau? Gembirakah engkau dengan kehidupan yang ada ini? Tahukah? Gembirakah?” Kebingungan...hanya mampu diam, tidak menjawab, diam walaupun mahu saja aku menjawab..."Aku tidak tahu...aku rasa, tiada apa, tiada jalan keluar. Aku rasa lemas, sesak, terhimpit, terperangkap...," terkadang, ini tercetus dalam satu detik kehidupanku...

Kafe...

Seperti kebiasaan, petang sebegini, aku di kafe, menikmati kopi dan memulakan hariku. Dua hari lalu, pasukan bolasepak yang aku sokong – Manchester United – tewas ditangan Real Madrid dan terkeluar dari Piala Liga Juara. Dua hari lalu juga aku sedar bahawa duniaku sedang menjalani proses evolusi – lagi dan aku semakin percaya mungkin ini bukan evolusi, tetapi revolusi. Kekalahan Manchester United tidak begitu lama dirasai walaupun aku tahu, kelak apabila perlawanan akhir itu diadakan di Old Trafford, sedikit sebanyak akan membuka semula luka dua hari yang lalu. Dalam kepalaku waktu ini lebih kepada Muhammad – PAFA dan PMR – dan aku – proses evolusi…mungkin revolusi.

Hujan yang agak lebat turun seakan merangsang aku untuk melayani apa yang kini mula bermain dalam kepalaku. Sekelilingku yang agak pantas berlalu – hujan yang semakin lebat, orang-orang yang bergegas berlari mahu mengelak hujan, tempias, angin dan kenderaan-kenderaan yang meluncur laju agaknya mahu mengelak kesesakan yang bakal berlaku sebentar lagi…semuanya seakan berebut-rebut akan sesuatu. Nampak ribut dan berserabut! Semuanya seakan mahu tiba ke destinasi mereka tanpa terlibat dengan apa saja yang berkait dengan hujan ini. Begitu juga dengan aku dan apa yang kini rancak bermain dalam kepalaku ini. Berebut-rebut Muhammad, dengan PAFA dan PMR. Beribut-ributan aku dan evolusiku...mungkin revolusi! Semuanya sekaligus mahu perhatian, pemahaman dan penyelesaian dan aku mula dapat merasai urat di kepalaku mula tersumbat. Masih ingat tentang manusia kurang upaya itu? Migraine mula melanda. Serabut!

Berusaha menolak, tetapi penolakan bererti sesuatu yang akan berpanjangan. Ini pemahamanku. Ini sesuatu yang aku percaya. Menolak sesuatu tidak menyelesaikan apa-apa. Aku perlu menahan sebentar segala yang pantas ini – dalam kepala dan juga disekeliling – dan apabila ia terhenti, aku mampu melihat dengan lebih jelas, memilih mana satu yang perlu aku fikirkan, fahamkan, selesaikan dan memulakan proses itu sekali lagi pada masalah yang lain. Biar aku mulakan...

Menutup mataku...mencari ketenangan...cuba menggambarkan masalah-masalah yang ada...dan...

“Assalamualaikum.”
“Wa’alaikum salam,” spontan dan membuka mata, “Ustaz...sila.”
“Tak apa. Saya ada hal. Nampak Samad masa nak masuk.”
Mengangguk dan senyum, “Minum sebentar Ustaz.”
“Lain kali saja. Saya betul ada hal...nak beli susu anak. Lain kali saja ya.”
“Baiklah.”
“Assalamualaikum.”
“Wa’alaikum salam.”

Ustaz Ahmad, guru yang mengajar aku mengaji semasa aku remaja. Menutup semula mataku...cuba mencari semula ketenangan dan mengulangi apa yang perlu...

Ringgggggggg....ringgggg…telefom bimbit berbunyi...
“Hello...”
“Hi Samad...how are you?”
Camelia telefon. Aku sedar, masalahku semakin berat...evolusi, mungkin saja revolusi!

Santai...

Sudah dua bulan lebih semenjak hari itu. Hari di mana aku duduk bersama Muhammad di kafe menikmati minuman kegemaran masing-masing dan berbual-bual tentang apa yang lebih senang aku namakan, kehidupan. Kehidupan aku dan dia, aku dan sesiapa saja yang agak rapat, dia dan sesiapa saja yang rapat dengannya dan akhirnya seseorang yang seharusnya rapat dengan kami menelefon. Panggilan itu tidak muramkan hari yang agak ceria bagi kami – seorang bapa dan anak lelaki remajanya. Pelik, ia juga tidak menambahkan lagi ceriaannya hari itu. Itu masalahnya. Aku sedang menikmati apa yang dinamakan “masa kualiti” bersama seorang anak dan hanya dengan sebuah panggilan, aku terlontar semula dalam daerah kekeliruan itu semula. Hari itu, hari yang sepatutnya menjadi hari seorang bapa dan anak - “masa kualiti”, aku terpinga-pinga mahu menterjemahkan maksud dari panggilan itu...

“Assalamualaikum...”
“Wa’alaikum salam, Samad?”
“Ya, saya. Siapa tu?”
“Mak Aisha.”
Senyap seketika.
“Hello...”
“Errr...ya...ya makcik.”
“Auntie akan berada di KL esok. Auntie nak jumpa Samad.”
“Errr esok?”
“Ya.”
“Di mana?”
“KLCC.”
“Pukul berapa?”
“Tiga.”
“KLCC di mana Auntie?”
“Telefon Auntie bila sudah sampai KLCC.”
“Ok...Sa...,” dia sudah memutuskan talian.
Terpinga sebentar...
“Siapa call?”
“Huh?” Menoleh memandang Muhammad.
“Siapa telefon?”
“Oh...errrrr...Mak Aisha.”
“Mak Aisha? Dia nak apa?”
“Nak jumpa bapak.”
“Bila?”
“Esok.”
“Good-luck,” tersenyum.

Senyumannya itu agak nakal. Dia tahu aku dalam dilema. Aku membalas senyumannya itu dan walaupun aku mencuba, aku tahu senyumanku itu tawar dan ada rasa kepahitan, tidak banyak, sedikit saja.

Dia masih tersenyum.
“Dude, let’s go,” kataku sambil mencapai beg-galasku.
“Pergi mana bapak?”
“Errrr...jom tengok wayang.”
“Cerita apa?”
“Apa saja...”
“Mana?”
“KLCC.”
“Jom...”

Aku sedar, esok, KLCC dan mak Aisha, walau semahu mana aku cuba menolak dan tidak mahu memikirkan tentangnya, ia degil. Berselang-selang ia hadir dalam kepalaku semasa kami menikmati masa kualiti kami. Hari itu sepatutnya menjadi satu hari yang sempurna. Satu hari di mana jika diimbas kembali 20-30 tahun kemudian, hari itu pasti salah satu kenangan yang manis. Namun, aku rasa ia tidaklah seburuk mana – maksudku hari itu. Memikirkan...aku menghabiskan masa bersama anakku dan panggilan itu...ia hanya sebuah panggilan. Aku tidak tahu apa isi pertemuan esok. Ia mungkin sesuatu yang baik. Ia juga mungkin sesuatu yang buruk. Objektif...dua pilihan: Baik atau buruk. Mengapa harus aku merundungkan hari ini? Sesenang itu aku cuba menyakinkan diri. Berkali, mungkin berjuta kali, namun seperti aku katakan, ia berselang hadir dalam kepala. Seketika mahu esok itu hadir waktu itu juga. Seketika, aku rasa elok saja matahari tidak terbit esok. Macam aku kata, aku tak tahu apa rasaku waktu itu...

Itu dua bulan yang lalu. Kini...



bersambung...

Ladang Golfa

Salam.

Setelah seminggu tidak bertemunya, tadi - akhirnya - saya sempat bertemu dengannya. Sambutan Hari Raya Aidilfitrinya agak sederhana - seperti kebiasaan.

Dengan secawan teh kegemarannya - Earl Grey - dan kopi buat saya, dia lebih banyak bersuara dari saya. Seperti kebiasaan, soalan demi soalan dilemparkan...

Dia : Bila balik?
Saya : Semalam.
Dia :Bagaimana Hari Raya?
Saya : Macam tahun sebelumnya. Bapak bagaimana?
Dia : Bapak duduk rumah saja...

Saya rasa sayu waktu ini...

- bualan peribadi -

Akhirnya setelah berbual hampir 30 minit, dia menyatakan drama terbarunya sudah siap...

Tajuk : Ladang Golfa
Tarikh dicetak : Sebelum Jun 2007

Senarai judul yang akan dicetak sekitar 2007 oleh WBSB:

1. Dari Salina Ke Langit Petang - Feb
2. Rumah Rahsia - Feb
3. Daerah Zeni - Feb
4. Cinta Fansuri - April
5. Ladang Golfa - Jun
6. 6 Wira - Ogos

Itu perancangannya - doakan perancangan dan usaha kami ini menjadi realiti.

*Nota : Teater al-Amin akan dipentaskan November ini di DBP. Fauziah Ahmad Daud, Abg Ramli Sarip & Mawi antara pelakonnya. Maaf kerana tiada maklumat lanjut. Kelak akan diberitahu.

Salam Aidilfitri

Dengan Ingatan Tulus Ikhlas
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir Batin

Rindu Ibu - Edisi Santai

Alhamdullillah akhirnya selamat dicetak.
Saiz: 5.5' x 8.5'
Kulit: Lembut
117 Halaman
Harga: RM10.00
Boleh dapatkannya di Ujana Ilmu atau rangkaian kedai buku MPH sebelum Hari Raya insyaAllah.

Aku yang terseliuh...

Hampir 2 hari saya tidak dapat akses internet. Pada mulanya saya ingat modem atau router rosak, tetapi keresahan yang melanda memesongkan perasaan lantas saya mula menyalahkan syarikat telekom. Namun, ia bukanlah sesuatu yang buruk. Saya mula "kerjakan" beberapa karya saya yang ada sudah hampir 5 tahun tidak siap, sambung baca CSRO (ya Nisah, tersekat baca kerana tumpuan saya teralih - bulan Ramadhan...maaf ya!), lepaskan geram di StarCraft (ya, saya kalau tertekan terkadang melepaskan tekanan dengan bermain permainan komputer atas ps2...) dan menyelak fail-fail yang ada...terjumpalah gambar di atas ini...Pak Samad semasa di sekolah! Selepas reda sambutan Aidilfitri, saya bertekad hendak menemuramah Pak Samad. Saya ingin tahu tentang hidupnya. Saya ingin menulis tentang diri dan zamannya itu kerana saya yakin tidak ramai yang faham dan mengerti tentang perbezaan kehidupan zaman lalu dan kini...

Dan puasa saya entah ke mana kerana apa yang saya andaikan itu hanya andaian...bil sudah lebih 2 bulan tidak dibayar dan syarikat telekom kini sudah efisien. Mudah bukan menyalahkan yang lain selain diri kita sendiri? 'Zassss' termasuk lubang yang digali sendiri!

Beberapa subjek menarik dibaca di alam maya selepas dua hari di alam nyata:

- Perbankkan secara internet...
- Orhan Pamuk - Nobel Prize
- Kiran Desai - Man Booker Prize
- Pautan Faisal - Abang Helmy Samad? Ah, panjang sangat tu Faisal! 'Helmy' cukuplah. Dunia penulisan & alam maya ini Faisal "Abang", bukan saya.
- Berhenti berandaian...


Oh ya, bagaimana kalau menjadi lilin yang sesekali apabila suasana muram mencucuh bunga api? (Teringat "berdating" dengan isteri saya di puncak lebuhraya Duta - sebelum tol - dan melihat bunga api tahun baru...indahnya, tapi sebentar saja...)

Dan cuba cari Pak Samad yang mana satu?

Jerebu II

Walaupun hampir setiap petang hujan, namun keadaan masih seperti ini...Semalam




Tadi...

Sepatutnya Bukit Lanjan jelas kelihatan...

Jerebu seberang...

Hari ini yang menarik perhatian saya adalah apabila membaca sebuah artikel di Mingguan Malaysia. Tergeleng sedikit sambil tersenyum, saya merasakan ada tangan "halimunan" sebenarnya di sebalik tulisan sebegitu.

Saya senang kerana selama ini tiada "benang basah" yang dapat ditegakkan - apa yang ditulis seperti biasa seperti sebuah "skrip" dalam novel cinta remaja yang mungkin saja memercik indah bak bunga api. Saya "mahu" rasa terhina, tetapi walau dihadam dari beberapa sudut, aneh...saya tidak mampu rasa begitu. Mungkin saja kerana tulisan itu tidak ditujukan kepada saya. Mungkin saja saya tiada "jiwa" sastera. Tapi, saya lebih rasakan ini seperti situasi "adakah harus aku menyalak balik pada anjing (atau anjing-anjing) yang menyalak padaku?"

Ah, jerebu...

Angan-angan si penerbit...

Kerja-kerja penerbitan 3 buku Edisi Seni Warisan Melaka untuk tahun 2007 telah bermula September yang lalu. Untuk yang tidak mengetahui, Kerajaan Negeri Melaka bersetuju memberi dana untuk penerbitan 3 buah buku setiap tahun selama tiga tahun bermula tahun ini.

Seperti yang diketahui, 3 buah buku Edisi Seni Warisan Melaka untuk tahun ini adalah "Rindu Ibu", "Bulan Tak Bermadu Di Fatehpur Sikri" dan "Ilham Di Tepi Tasik". Disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak mungkin diberitahu, buku-buku tersebut terpaksa dijual dengan harga yang agak tinggi walaupun didanai. Dan lahir rasa tidak puas hati dan kegelisahan pada diri saya dan Pak Samad (dan peminat sastera juga). Kami mencari jalan dan cara bagaimana untuk "menurunkan" harga-harga buku kami. Buku-buku terbitan Wira Bukit perlu "unik" dan berkualiti tinggi, tetapi menjualnya dengan harga melebihi RM40 agak merisaukan kami. Cita-cita dan sasaran kami, unik berkualiti - kulit keras - kertas bebas asid atau kitar semula - dan dijual di antara RM30-35. Ini disusuli dengan Edisi Santai yang dijual bawah RM15. Itu cita-cita kami...dan saya rasa cita-cita itu mula terbentuk dan mampu dizahirkan.

Tahun hadapan, "Rumah Rahsia", "Daerah Zeni" dan "Dari Salina Ke Langit Petang" akan dicetak di bawah Edisi Seni Warisan Melaka. Dari pengalaman lalu, kami agak bersedia kali ini dan ketiga-tiga buku ini dijangkakan siap sebelum awal Februari 2007.

Kami tidak berhenti di situ saja. "Cinta Fansuri" dan mungkin 2 lagi karya akan menyusul. Kalau ini berlaku, ia melengkapkan cita Wira Bukit untuk menerbitkan 6 buah buku setiap tahun. Dan kalau ini berlaku, saya pasti ada perubahan pada struktur pengurusan Wira Bukit - perlu lebih pekerja dan perlu pejabat dan setor.

Saya juga terbayangkan kerjasama dengan DBP dalam beberapa penerbitan. Ini telah berlaku dengan penerbitan buku "Rindu Ibu" Edisi Sasterawan Negara - jambatan telah di bina! Kini saya mendapat tahu ada "orang baru" yang mengetuai bahagian penerbitan dan saya dengar dia mahu bekerjasama dengan Wira Bukit. Mungkinkah "Salina", "Hujan Pagi" dan "al-Amin" akhirnya akan dicetak semula dengan nafas baru? Jika berlaku, ia sesuatu yang positif - jika ia berlaku...risau saya hanya "orang baru" yang "panas tahi ayam" - kita dalam dunia sastera Melayu telah berulang dikhianati. Harap kini dihormati.

Bermula tahun hadapan, buku-buku Pak Samad terbitan Wira Bukit juga akan ada "cap" berupa tandatangan Pak Samad. Ini seakan memberi nilai tambahan dan membezakan buku-buku terbitan Wira Bukit dengan penerbit yang lain. Saya perlu minta nasihat Nisah tentang perkara ini.

Saya harap dan berdoa semuanya berjalan seperti yang dirancang. Doakan usaha kami ini ya!

*Rindu Ibu versi Jawi - siapa dapat membantu?

Aminah

Jarang sekali dia hadir dalam ingatan, kecuali apabila ibu atau bapa bercerita tentangnya. Namun, akhir-akhir ini, hampir setiap detik, terutama bila kesunyian, dia muncul dengan senyuman dari wajah yang lesu, tapi masih mampu meyakinkan dan aku tersenyum sayu - merinduinya. Menutup mata, aku melayang, mencari dan tercari dirinya itu dan aku merasakan urat-urat tubuhku hidup, mungkin jantung terangsang, darah mengalir deras menjana kembali semangat yang telah lama menyepi.

Aminah. Dia begitu segar dalam ingatanku – rambutnya hitam, tetapi terserlah garisan-garisan uban jika diamati, diikat bersiput – rapi, dia tidak takut untuk memaparkan wajahnya. Bujur sirih mukanya itu begitu ketara kerana hanya hampir kulit saja yang menyelaputinya. Cengkung dimerata yang tidak bertulang - matanya yang kelabu air itu menawan tetapi harus diredakan dengan selaput yang mungkin mengaburkan pemandangannya. Wajahnya begitu kacau – sungguh, walaupun usianya tidak menggambarkan demikian. Kedutan yang bergaris-garis itu jelas kerana mungkin dia sering berekpresi - masa yang penuh kesengsaraan; peperangan dan kemiskinan. Masa yang tidak begitu membenarkannya tidur lena dan perancangan masa hadapan tidak jauh – bagaimana mengisi perut esok? Ketawa atau senyuman itu tulen bermakna. Mana mungkin senyum bila dingin peluh mengiringi diri yang ketar menahan lapar. Mana mungkin ketawa apabila memikirkan esok entah siapa bakal menyambut bom atau peluru tentera Jepun? Aminah, hampir tigapuluh tahun dia pergi, namun wajahnya itu terpahat dalam ingatan sejak akhir ini. Sebelum ini dia tidak begitu menonjol dalam ingatanku. Malah selama ini tidak langsung aku memikirkan tentangnya kecuali apabila ibu atau bapa bercerita tentangnya.

“Nenek kalau datang mesti bawa sebalang Hacks untuk Helmy…,” ibu bercerita.
“Sambal tumis mak sedap…,” bapa bercerita.
“Nenek nak datang?” bisik hatiku riang mengetahui.

Tidak begitu banyak ceritanya yang aku dengar, tetapi dia begitu dominan dalam hidupku. Mungkin kerana wajahnya itu. Mungkin saja bibirnya yang terketar setiap kali dia lembut bercakap. Mungkin saja matanya itu. Ya, matanya yang kelabu, ayu dengan diiringi senyuman, itu yang sering aku teringatkan. Bersama karipap segitiga yang dijaja diatas basikal rodatiga, tidur di loteng, duduk bermain “Carum” diatas pangkin semuat beranda dan jamban yang tongnya diangkut setiap subuh, nenek begitu kuat pengaruhnya bila di Jalan Al-Sagoff.

Aku lebih rapat pada Datuk Said – suami Nenek Aminah - dan Datuk Rashid, sementara Nenek Asiah – isteri Datuk Rashid – tidak begitu rapat denganku kerana aku merasakan bahawa dia tidak begitu sayang padaku lalu aku kerap mengelak dari berjumpa atau bila bersama, berbual panjang dengannya. Tidak, aku tidak menyalahkannya. Cucu-cucunya yang ramai membahagikan perhatiannya sehingga aku merasakan begitu. Aku cuma seorang cucu yang kelemahan utamanya adalah emosiku sendiri.

Mereka semua telah pergi kecuali Nenek Rosiah dan aku tahu, aku perlu “memperbetulkan” apa yang tidak betul dengannya sebelum dia juga pergi. Namun begitu, aku bukannya hendak bercerita tentang Datuk Said, Rashid ataupun Nenek Rosiah. Mereka belum mengetuk pintu ingatanku lagi – walaupun hatiku terusik mengenang mereka; mereka belum menghantuiku. Nenek Aminah mahu bercerita – cerita kisahnya bersama aku, cucu kesayangannya, begitulah yang mahu aku ingati tentangnya; aku, cucu kesayangannya. Begitulah yang mahu aku rasakan dan percaya. Dan, aku mahu bercerita sedikit mengenainya.

Tidak banyak babak aku bersamanya: Rumahnya yang berhadapan Hospital Besar, kemudian di Jalan Al-Sagoff – keduanya di Singapura - dan rumah ibubapaku di Jalan Aman dan kemudian di Tan Yew Lai Garden – di sini. Empat tempat ini saja yang sempat aku bersamanya. Namun tempat-tempat ini memberi kesan yang begitu mendalam kepadaku. Rumah-rumahnya di Singapura sudah tiada kerana ditelan pembangunan, namun rumah yang pernah disewa oleh ibubapaku di Jalan Aman dan Tan Yew Lai Garden masih ada dan sudah dua kali aku melawat sekadar membawa kereta, berhenti seketika didepan, cuba mengingati silam dan berlalu. Bagai khazanah yang lama tertanam, “menjenguk” tempat-tempat ini bagai hujan yang mengakhiri kemarau - sedikit demi sedikit terbuka peti khazanah peninggalan Nenek Aminah - dalam ingatan, terimbas akan dirinya itu, terbuai melayan silam dan aneh, merasai kehangatannya…sesuatu yang telah lama aku tidak kurasai dari seseorang yang terlalu lama aku lupai.

Ini bukan fiksyen yang lahir dari imaginasiku, ingatanku terhadapnya yang paling segar dan memberi kesan mendalam di masa aku berumur dua tahun atau paling tidak tiga. Aku menyatakan begitu kerana wajahnya jelas waktu itu walaupun suasana agak gelap waktu itu. “Syhhh….syhhhh…syhhh,” sambil menolak perlahan buai besi tempat tidurku. Aku tidak ingat mengapa dia begitu – mungkin aku “melalak” kelaparan atau digigit nyamuk – tapi, aku ingat melihat sekujur tubuh – berdiri – bersebelahanku dan, “Syhhh…syhhh…syhhh,” sambil kedengaran bunyi geseran, “krek, krek, krek,” dan dalam aku dibuai, sedikit demi sedikit wajahnya membentuk.

Peristiwa itu sebenarnya telah lama bermain dalam ingatanku. Selama ini aku benar beranggapan bahawa sekujur tubuh yang berdiri bersebelahan tempat tidurku itu adalah hantu! Selama berpuluh tahun aku membawa pengertian ini: Yang berdiri di sisiku itu adalah hantu! Namun selepas aku melawati rumah di Jalan Aman itu, entah mengapa, sedikit demi sedikit aku dapat “menonton” kisah silamku itu dan Nenek Aminah begitu nyata di sisiku waktu itu. Mungkin permainan mindaku, tetapi semenjak dia begitu dominan dalam ingatanku, aku mula mengingatinya begitu. Mungkin saja aku yang mahu memikirkan begitu dan meletakkan pemahamanku sebegitu. Tapi ia begitu jernih kini. Aku melihatnya – dia yang bersebelahanku, membuaikanku dengan irama, “Syhhh…syhhh…syhhh,” yang seakan diselang-selikan oleh, “krek…krek…krek.”

“Helmy…duduk sini makan tau. Jangan bising, nanti mak tau.”

Aku hanya mengangguk dengan sebatang aiskrim di tangan dengan suhu badanku yang agak tinggi kerana demam – duduk di tangga pintu belakang rumah berhadapan hospital, menikmati aiskrim. Nenek berlalu dan pintu itu ditolak, tetapi, tidak ditutup rapat…hanya sekadar “menyembunyikan”. Mataku terpaku pada pintu itu dan aiskrim itu lahap aku nikmati - cuba habiskan dengan cepat kerana takut apabila pintu itu terbuka, bukan nenek yang muncul, tetapi emak.

“Kenapa mak belikan Helmy aiskrim? Diakan demam?”
“Mana Sal tahu?”
“Tengok mulutnya tu, warna oren.”
“Biarkanlah, takut dia kempunan.”

Tidak aku ingat sangat apa kata emak selepas itu. Dia berleter, sesekali nenek mencelah lembut dan aku membelek-belek komik “Beano” dan “Dandy” diatas katilku, cuba memahami apa yang mereka katakan. Aku tahu, nenek akan melindungiku…

Al-Sagoff. Rumah teres kayu setingkat berderetan berhadapan dengan rumah-rumah kampung yang dipisahkan oleh sebatang jalan. Aku sering ke sana semasa berumur lima hingga lapan mungkin sembilan tahun. Nenek dan Datuk tinggal di sini dengan Makcik Esah dan anak-anaknya – sepupu aku. Makcik Esah adalah isteri kepada abang bapaku. Aku tidak mengenalinya – pakcikku itu…aku tidak sempat mengenalinya.

Dengan sebuah bilik yang mengasingkan antara ruang tamu dan dapur, aku dan sepupuku, Harman, Dolah, Latif, Kak Ani, Mazni dan Bibah kerap menghabiskan masa diluar. Kami kerap bermain “Carum” dan kadangkala – ini yang membingungkan aku – “sembunyi-sembunyi” dalam rumah kecil ini. Loteng tempat Uncle Rahman tidur – adik bapaku – menjadi tempat kegemaranku bersembunyi. Uncle Rahman yang tidur – dia kerja malam – selalu “bising” memarahi kerana diganggu dan seperti kebiasaan, Nenek datang mententeramkan keadaan.

Satu perkara tentang rumah ini yang paling aku ingati adalah jambannya. Aku masih ingat apa yang dibawah sana. Setiap awal pagi, seorang apek akan datang “membuangnya” dan aku pastikan bahawa akulah yang pertama menggunakan jamban itu setelah isinya dibuang – walaupun begitu, baunya tetap ada.

Nenek akan menyikat dan membedak mukaku setiap pagi selepas mandi. Mukaku putih kerana bedak yang ditempekkan mukaku agak tebal. Sarapan pagi tersedia dan aku agak hairan bagaimana Nenek mampu menyediakannya walaupun dia sibuk dengan kami. Nasi yang dibungkus dengan daun Ketapang itu sesuatu yang aku masih hargai. Makcik yang menjualnya di pondok berpangkin – dibawah bawah pokok Ketapang – dengan periuk dan bekas-bekas lauk sekelilingnya. Gerainya seperti pesta kecil setiap pagi. Hingga ke hari ini, jika aku terserempak dengan pondok yang sebegini, aku pasti akan berhenti, teringat al-Sagoff, menikmati juadahnya, mencari silam. Namun ia tidak sama. Bau nasi yang panas dengan lauknya yang dibungkus dalam daun Ketapang itu sudah pupus, tetapi suasana itu masih ada – selalunya di Pantai Timur.

Kali terakhir – seingat aku – bersama nenek ialah ketika dia datang melawat kami di Taman Tan Yew Lai. Waktu itu kami berpindah dari Jalan Aman. Seperti kebiasaan, dia akan membawa sebalang gula-gula Hacks untukku dan seperti kebiasaan, kehadirannya mengundang kemanjaan dariku. Seperti kata emak, aku selalu “naik toncit” kalau nenek ada. Aku hampir pasti dapat apa yang aku mahukan – nenek akan pastikan dan entah mengapa, hampir setiap kali dia berkunjung, aku akan sakit…

Dia mengusap-usap dahiku dengan sebelah lagi tangannya menepuk-nepuk pehaku. Melihat wajahnya, aku begitu aman. Hanya kulit menutupi mukanya yang cengkung itu. Wajah itu menyatakan kepayahan hidup yang pernah dia lalui. Wajah yang menenangkanku. Aku masih ingat…

“Ada sesuatu yang tidak kena. Mengapa matanya berair? Adakah dia bersedih kerana cucunya ini sakit? Aku rasa begitu berlainan sekali. Usapan dan tepukannya itu berlainan sekali. Jiwaku terusik. Aku merasai usapan dan tepukannya itu penuh dengan…kesayuan. Dia cuba meyakinkan dengan lirik senyuman, namun aku tidak mampu melarikan pandanganku dari muka yang penuh kesayuan itu. Setiap usapannya menambah rasa sayangku padanya. Setiap tepukan itu mengunci rasaku itu. Ada sesuatu yang tidak kena. Matanya berair dan itulah kali terakhir aku menatap wajahnya…”

“Dalam deras hujan yang turun membingitkan suasana, mataku tertumpu pada rumah di Jalan Aman itu – mengingatkan aku tentang dia yang masih menghangatkan diriku ini. Kasih sayang yang dia berikan itu ada, tidak luntur cuma terabai oleh diriku sendiri. Dalam deras hujan yang memaksa aku berusaha lebih meneliti kerana agak kabur dari dalam kereta ini, diriku dilanda perasaan begitu rindu sekali padanya. Airmata ini tidak mampu menandingi deras diluar itu kerana apa yang diluar itu adalah dirinya, kasih sayangnya, kesetiaannya pada seorang cucu yang terlalu jauh mengkhianati. Aku harus mengenali erti khianat sebelum aku menghargai erti setia itu. Aku masih mendengar, “Syhhh…syhhh…syhhh,” dan “krekkk…krekkk…krekkk,” -mengilukan. Tangan kasar yang mungusap lembut mengalirkan rasa sayangnya padaku itu masih aku rasai dan tepukan yang berentak memupuk semangat keyakinan itu telah aku jumpai semula. Mana mungkin duniaku gelap dan sejuk kerana dia terlalu setia dalam hatiku ini”

Nenek Aminah disemadikan di Tanah Perkuburan Bidadari di Singapura. Sehingga kini aku masih belum melawatnya. Usia yang melewati empatpuluh dan aku masih belum melawatnya! Aku juga tahu bahawa perasaan sebegini aku kongsi bersama bapa. Nenek pergi sebelum sempat melihat rumah yang bapa beli – nenek selalu ‘membebel’ bertanya dan menyuruh bapa membeli rumah. Bapa kerap menangguh kerana mungkin kereta ‘Hillman”nya itu lebih penting di waktu itu – aku tahu bapa kesal. Setelah sekian lama dan terlalu banyak yang telah aku lalui, dia muncul kembali: Seperti kebiasaan, muncul di masa aku dilanda pelbagai masalah. Dia masih setia padaku, menenangkan dan cuba mengamankan.

“Nenek, jangan risau…Helmy tak apa-apa. Ini cuma demam biasa dan kesulitan hidup ini cuma dugaan Maha Esa, Helmy tahu dan nenek jangan risau,” hatiku berkata dengan tekad untuk ke Bidadari memberi penghormatan yang terlalu lama terabai, “Maafkan Helmy nenek.”

Setiap Ramadhan nenek hadir…entah mengapa…Al-Fatihah buat Nenek Aminah. Semoga dicucuri rohnya dicucuri rahmat dan digolongkan dalam golongan mereka yang beruntung. Amin.

*Maaf bahasa dan jalan cerita agak longgar kerana spontan menulis.

Firdaus...

Saya ke Subang Jaya selepas terawih tadi kerana:

Dia telefon. Namanya terpapar di skrin telefon bimbit. Saya tidak jawab. Saya tahu, dia "tembak". Dua deringan saja. Saya menelefonnya...

"Bapak...kat mana?"
"Rumah..."
"Bapak terawih kat mana?"
"Di rumah saja..."
"Tak keluar ke?"
"Dude, awak dah takde duit ya?"
Saya terdengar dia ketawa...

Di Subang Jaya...

"Mesin basuh dah rosaklah Helmi," kata mak.

Saya terlontar ke silam! Mesin basuh Singer itu umurnya lebih panjang dari perkahwinan pertama saya! Kini dari segi material saya kira sudah tiada apa lagi yang mengaitkan saya dengannya...senyum, sejarah...

Dia 18 dan sedang menuntut di Unitar dalam bidang pengurusan. Terlontar lagi ke silam...sewaktu dia hampir setiap hari menjerit menangis di tadika...sewaktu saya mengadap guru besar kerana dia terlibat dengan pergaduhan di sekolah...sewaktu dia dua kali bertukar sekolah kerana krisis rumahtangga...sewaktu di tingkatan 4 & 5 buku repotnya penuh dengan merah (kecuali BM & BI)...

"Rilek la bapak...I'll be fine...," katanya.

Saya mahu mempercayainya waktu itu, tetapi tidak termampu...namun, dia tidak henti memeranjatkan saya. Dia lulus SPM dengan agak cemerlang.

Permohonan ke UITM dua kali ditolak dan sewaktu saya sedang bersiap mahu berjumpa dengan seorang rakan - pensyarah UITM - yang mengetahui, menelefon saya dan mahu membantu...

"Bapak...tak payahlah. Nanti ada yang lebih berhak tak dapat belajar kerana saya..."

Ah, saya terajar olehnya...

"Bapak!"
Saya yang sedang membuka pintu kereta menoleh...
"Lupa ke?"
"Lupa apa?"
Dia senyum sambil mengangkat tangan kanan dengan jari telunjuk menggosok-gosok jari ibunya.
"Oh...," senyum, tangan meraba kocek dan memberi wang saku mingguannya.
"Bapak, sedar tak mesin basuh tu dah 15 tahun?"

Saya tersenyum...antara Kau dan Aku, telah banyak yang kita lalui bukan?

*Firdaus tinggal di Subang Jaya kerana menjaga neneknya dan lebih mudah untuknya ke Unitar Kelana Jaya. "Kau & Aku" sebuah novel perjalanan kami suatu waktu dahulu...

Untuk "Buffet" atau tidak...

Minggu lalu saya ditanya, "Mengapa makan sikit saja? Rugilah..," oleh salah seorang makcik saya - saya ada dalam 20 makcik.

Saya dijemput berbuka puasa di sebuah kelab - ini sudah seakan "ritual" setiap kali Ramadhan - oleh salah seorang makcik saya yang bermain golf. Saya sebenarnya tidak suka berbuka puasa secara "buffet". Saya tidak biasa dan tidak amalkan mengisi perut hingga sendat dengan bervariasi makanan. Arwah datuk dulu sering berpesan dan terima kasih kepadanya, kini saya "jarang" makan hingga sendat usus perut - kenyang - dan tidak perlu ENO atau Alka Seltzer. ("Jarang" kerana sesetengah tempat menyediakan makanan yang bahagiannya agak besar - dan masa ini tercari ENO atau Alka Seltzer!)

Saya juga rasa "buffet" itu sesuatu yang harus dielakkan oleh umat Islam. Makanan yang banyak dan bervariasi dengan bayaran yang dikenakan agak tinggi, ia menggalakkan kita makan, makan dan makan kerana selain dari mengisi selera nafsu yang terkobar, ia juga melahirkan satu pendirian, "Aku dah bayar mahal, takkan nak makan sikit? Rugilah!"

"Mengapa makan sikit saja? Rugilah...".
Saya hanya senyum...andai dia tahu saya hadir sebenarnya hanya kerana silatulrahim...

5 minggu...

5 Minggu katanya...
dan hidupku kini terubah sekali lagi...

Doakan kesempurnaan ketibaannya...

Balik Kampung...


"Helmy takde...balik kampung..."

Anugerah...

Aku sering melihat bulan dan...

Setiap kali aku melihatmu, aku mula mempersoalkan kehadiranku di sini. Kau di sana dan aku di sini. Mengapa?

Hampir setiap kali aku melihatmu, aku terselam ke lembah hati, bertanya dan aku semakin percaya engkau adalah satu titik penanda akan peredaran hidupku ini.

Setiap kali aku melihatmu, aku terlayang ke puncak minda, mahu kepastian dan aku rasai, sebabak hidupku lengkap tersimpan terkunci, namun berputiklah pula babak yang baru, perlu diisi. Perlu diwarnai.

Hidup satu anugerah. Sekeliling kita bermakna, seakan saling berpesanan - mengingatkan. Bisikan hati terjemahan akal mampu meletakkan sesuatu itu di tempat yang sepatutnya - logik. Dan setiap kali aku melihatmu, aku tersenyum...aku tahu kau sedang menyampaikan pesan - anugerah ini tidak selamanya di sini.

Ikan Singgang Goreng

Inilah jadinya bila lama sangat membujang dan sering berangan...

Tadi saya memasak untuk hidangan berbuka puasa. Ini terjadi secara spontan. Tidak ada niat langsung untuk memasak sebenarnya, tetapi dalam pukul 4 lebih saya seakan sudah mati akal tidak tahu apa hendak buat. Masuk dapur, buka peti sejuk...

Ikan Singgang Goreng:

- 5 ekor Ikan kembung beberapa ekor direbus bersama:
- asam keping (seekor ikan 2 keping atau ikut selera tahap kemasaman)
- garam (2 sudu kecil)
- serai
- lengkuas (sebesar syiling 50 sen dipotong halus)

Rebus hingga hampir kering (api jangan besar sangat)

Selepas itu goreng!

Jaga-jaga, dinasihatkan tutup kuali kerana minyak akan sentiasa terpercik.

Masakan ini diajar oleh mantan ibu mertuaku...hehehe

Akan datang: Salmon atau daging Teppanyaki!

Terima kasih...

Saya kira Ramadhan kali ini tidak banyaknya bezanya dengan yang lalu - masa agak lapang dan saya perlu tercari-cari cara mengisinya agar tidak rugi.

Projek buku kerjasama dengan DBP dalam peringkat akhir. Saya hanya perlu tunggu buku siap dicetak, menghantarnya ke Dawama untuk diedarkan dan (ini dugaan) menanti bayaran dari DBP.

Pada awalnya, DBP mahu mencetak antologi cerpen "Dosa Pejuang" sebagai Edisi Khas Sasterawan Negara yang akan diedarkan ke sekolah-sekolah. Bersama dengan karya-karya terpilih (dan tentunya dari penerbitan DBP) lapan Sasterawan Negara yang lain, pihak DBP mahu menggunakan dana yang tersedia ada. Perancangan mereka terhalang sedikit kerana Pak Samad menolak. Pak Samad menyuarakan rasa lukanya kerana DBP tidak memaklumkan penerbitan "Dosa Pejuang" yang tiba-tiba didapatinya sudah berada di rak-rak kedai buku dan yang anehnya beberapa bulan selepas itu baru kontrak sampai untuk ditandatangani.

("Dosa Pejuang" yang terdapat di pasaran sebenarnya sehingga kini kontraknya tidak ditandatangani dan TIDAK AKAN ditandatangani oleh Pak Samad. PaK Samad cuma mengutuskan sepucuk surat menyatakan rasa hati dan pendiriannya bersama kontrak yang tidak ditandatanganinya. Namun, dalam surat tersebut, Pak Samad membenarkan juga penerbitan itu (dengan beberapa syarat) atas sifat setiakawan.)

Selepas beberapa pertemuan, akhirnya mereka bersetuju dengan saranan kami: "Rindu Ibu". Buku yang pada mulanya dipersetujui jumlah cetakannya sebanyak 5,000 naskah akhirnya terpaksa dikurangkan kepada 2,700 naskah - kerana dana tidak mencukupi.

Ini menimbulkan sedikit masalah kerana harga yang kami sebutkan (dan dipersetujui DBP) adalah berdasarkan kepada sebutharga pencetak (yang memberi sebutharga berdasarkan 5,000 naskah).

Bagaimana?

Mudah sebenarnya. Rezeki jalan ditolak. Musuh jangan dicari....

Rinduibu3

Ini untuk Edisi Khas Sasterawan Negara.




Cover_edisisantai
Dan ini untuk kami - Edisi Santai - yang akan dijual di pasaran dalam lingkungan harga antara RM12-15 (perlu lakukan perkiraan semula kos).



Itu jalan penyelesaian yang saya ambil. Cetak 5,000 naskah - 2,700 untuk DBP dan 2,300 untuk Wira Bukit. Bezanya cuma kulit. Isi sama. Kos cetak kekal seperti yang telah disebutkan pencetak. Tidak perlu saya menyusahkan DBP dan sakit kepala dengan kos tambahan jika dicetak hanya 2,700 naskah.

Kini, saya ada masa untuk masak (ya, saya boleh memasak), membaca, menulis, mencari peluang-peluang perniagaan dan seperti Ramadhan yang lalu, membaca terjemahan Al-Quran serta menambah - semampu dengan izinNya - bekalan masa hadapan.

Saya perlu bersyukur...terima kasih kepadaNya, DBP dan Dawama.

*Kelak saya ceritakan tentang resipi-resipi masakan saya...hehehe.

Salam Ramadhan.

Aku perlu...

Ramadhan ini aku perlu:

- tidak berbelanja ikut nafsu (terutama bila ke pasar Ramadhan):
- Tiada baju raya baru - gunakan yang lalu
- berhenti makan sebelum kenyang
- gandakan bekalan akhirat:
- beribadah
- bersedekah
- kurang bercakap - tambah ilmu
- potong rambut - lagi
- selesaikan OTI
- menjalin dan menyuburkan silatulrahim

Itu yang disemat dengan harapan yang "molek" itu sebati dalam jiwa...

Ramadhan

Sebaik meletakkan cawan kopi di meja, dia mengeluarkan buku nota dari dalam beg galasnya, menguak sedikit kerusi, duduk, mencapai pen di kocek bajunya dan mula memandang langit yang biru petang itu.

Langit yang kebiruan itu seakan memukau. Dia terlayang. Sepanjang ingatannya, Ramadhan bukanlah sesuatu yang dinantikannya. Dan ingatannya itu tidaklah jauh sangat; lebih kurang bila semuanya bermula. Semuanya itu bermula apabila Ramadhan hadir dua tahun yang lalu dan itulah sejauh mana kemampuannya mengingati apabila Ramadhan hadir dan ia bukanlah sesuatu yang dinantikannya.

Ia bukan mengenai makan, minum atau merokok. Ia tidak pernah mengenai perkara yang sebegini. Aku sudah biasa makan sekali sehari, malah sudah menjadi tabiatku untuk makan sekali sehari, andai melebihi, itu adalah satu hari yang agak mewah padaku. Rokok yang dikatakan mencuri dua mungkin tiga minit nyawaku ini juga tidaklah begitu memberi masalah. Ia tidak mengenai perkara sebegini setiap kali Ramadhan hadir. Tidak pernah.

Perasaan yang melanda menyatakan ada sesuatu yang tidak kena pada diri ini. Dia terasa kehilangan. Tidak, dia amat merasai kehilangan. Dia rasa kekosongan itu. Kehilangan, kekosongan…kesepian. Dan kesepian itu setia benar bermaharajalela apabila tiba Ramadhan. Setiap kali Ramadhan hadir, dia mula merenung dirinya sendiri. Mencari dan cuba-cuba mahu meyakinkan diri. Bertanya, mengapa dirinya begitu? Merasai dan menguasai sekali dirinya itu. Dia merasakan dirinya itu seorang insan yang sensitif, terlalu!

Namun ia tidaklah seburuk yang disangkanya – dia sedar, setiap kali pertimbangannya normal. Dia tahu dia begitu kerana perasaannya yang nakal mengusik-usik saja. Tetapi, dia merasakan, itu seakan satu sumpahan baginya kerana setiap kali Ramadhan hadir, dia jadi begitu. Merasai Ramadhan itu dan kerana itu dia rasa begitu. Ramadhan adalah satu bulan yang ingin dielaknya – walaupun dia tahu, ia sesuatu yang mustahil. Dia disumpah! Ia nemesisnya! Jauh mendap dalam hatinya, dia tahu, itu haknya …dia harus menghadapinya walaupun hatinya itu amat berat sekali mahu menerima.

Hari itu cuaca mendung. Dia duduk bersandar disisi tiang katil merenung udara yang seakan melakarkan sesuatu. Mungkin saja dia dapat melihat angin yang agak lembut beralun berlalu. Mungkin juga dia sedang berkhayal memikirkan tentang sesuatu. Namun, dia seakan mengetahui, apa jua yang direnung atau fikirkannya itu bukanlah sesuatu yang ringan dan indah. Wajahnya itu menyatakan segalanya – ia sesuatu yang berat, mungkin meyakiti atau mungkin saja hidupnya tiada warna.

Berkali Jamal berulang-alik masuk dan keluar bilik melihat dia masih begitu. Jamal kebiasaan agak sibuk di hari sebegitu – hari isteri cuti – dengan memasak dan buat apa yang patut untuk berbuka puasa. Ingin dia bertanya, tetapi dia tidak mahu pertanyaannya itu menjadi satu perbualan yang akan terpaksa dirinya hentikan berulang kerana dia masih belum selesai dengan tugasannya. Lagipun mesin basuh itu akan selesai membasuh – buat kali ketiga dan terakhir – sebentar lagi dan dia harus pula menjemur apa yang dibasuhnya itu. Tapi, dia bertekad, setelah semuanya selesai, dia akan duduk disisi isterinya itu dan bertanya. Dia seakan tahu, itu kemahuan isterinya itu. Dan dia juga seakan tahu, isterinya itu juga berfikiran sepertinya; tidak mahu perbualan itu terganggu oleh kerja yang sedan di lakukannya itu.

Sudah tiga Ramadhan hadir semenjak hari itu. Sering lahir rasa penyesalan kerana Dia melakukan apa yang dilakukannya hari itu – duduk dan bertanya kepada isterinya itu. Satu kesilapan besar – itu yang dirasakannya. Dia tidak harus bertanya. Mungkin lebih baik andai hari itu dibiarkannya berlalu begitu saja. Siapa tahu, mungkin keesokan hari hati isterinya itu tidak seperti hari itu. Siapa tahu? Mungkin juga apa yang dia anjurkan pada isterinya itu memerangkap dirinya sendiri. Dia memerangkap dirinya sendiri! Apa lagi yang lebih buruk dari seorang lelaki yang memerangkap dirinya sendiri? Menggeleng perlahan…dia tidak mahu memikirkan tentangnya – dia tidak mahu menerima bahawa dialah yang menanam dirinya sendiri dari lubang yang galinya sendiri.

Infiniti…itulah yang rasakannya. Dia sering merasa begitu. Infiniti.

Dia kehilangan semuanya pada Ramadhan dua tahun yang lalu. Mungkin tidak kesemuanya, tetapi sekurangnya itulah yang dirasaikannya pada waktu itu. Tiada yang lebih buruk dari itu, sekurangnya itulah yang dirasai – pada waktu itu. Dia mengetahui dan melihat perkara sebegini berlaku di sekelilingnya, tetapi tidak pula mengerti mengapa ia boleh melanda dirinya dan sering bertanya pada entah siapa, “Kenapa aku dalam berjuta yang lain?” Hidupnya penuh dengan persoalan yang tidak mampu dijelaskannya. Persoalan yang tidak henti menyerang hati yang entah dari mana datangnya. Mungkin itulah yang dikatakan krisis pertengahan kehidupan – krisis yang mencetuskan seribu persoalan tanpa undangan dan sekeliling melihatnya seperti seorang yang kehilangan arah dan sesekali dia juga merasakan dirinya itu begitu – kehilangan akal. Lantas dia sering bersendirian. Melihat udara yang seakan melakarkan sesuatu untuknya. Begitu sepanjang waktu hingga dia tersedar, dia sebenarnya bukan sendirian. Dalam masa begitu, dia berdepan dengan seseorang. Yang termendap dalam hatinya itu semakin berani kerana tidak henti bertanya seakan menuntut penjelasan. Bertanya tanpa jemu dan walau apapun jawapan yang diluah atau terluah, dia tahu ia tidak menepati kerana selepas itu yang mendap itu tidak lagi mendap. Terulang pertanyaan itu dan ini. Perjalanan hidupnya menjadi songsang. Siang itu malam baginya. Apa yang benar itu kini salah dan dirinya itu hilang pertimbangan. Dan seperti yang telah diperkatakan, waktu sebegitu, dua tahun yang lalu, dia sedar, dirinya tidak keseorangan kerana dirinya sendiri mula menyoal dirinya sendiri. Mungkin dia terlalu terpesong akan erti kehidupan itu dan tidak mempercayai apa yang menimpa dirinya itu satu kenyataan. Bagaimana sesuatu yang teguh itu begitu rapuh? Dirinya berkata, “Apa yang kamu rasai dan lihat itu tidak menyatakan segalanya. Aku tahu kerana waktu sebegini dua tahun yang lalu aku melaluinya. Dan setelah beribu batu aku berjalan – selama dua tahun itu – aku merasakan hidup ini terlalu berat buatku. Aku rasa diriku ditipu. Masakan tidak, aku hanya menemui persimpangan yang sama setelah begitu lama berjalan mencari pengertian dari apa yang melanda. Dan kini, aku dipersimpangan yang sama apabila aku bermula dua tahun yang lalu. Apakah semuanya ini?”

Hari ini Syawal hadir. Takbir berkumandang dari semalam entah dari mana – mungkin televisyen, mungkin ada yang bertakbir melalui depan rumahnya atau mungkin itu hanya satu khayalan. Dia memandang sekeliling, dalam biliknya itu – tiada siapa. Anaknya tiada. Bekas isterinya menjemput anaknya semalam. Semalaman tidurnya resah walaupun penuh terisi dengan rasa kekosongan sehinggakan dia sendiri tidak pasti samada dirinya itu tidur atau hanya berkhayal. Tidurnya kerap terganggu oleh entah apa kerana dia kerap tersedar dan setiap kali begitu, dia merasai kekosongan yang menyelubungi dirinya itu. “Mungkinkah perasaan kekosongan mampu mengganggu tidurku?” dia tergeleng perlahan. Dia terpaksa menelan apa dirasai setiap kali tersedar – “Aku keseorangan di rumah ini dan takbir itu tidak henti seakan jarum-jarum menusuk-nusuk jiwaku ini.”

Dia tidak mengerti mengapa di hari itu dirasainya begitu. “Bukankah ia satu hari di mana kita harus bergembira? Mengapa aku berduka? Tidak…mengapa aku diletakkan dalam keadaan begini di hari yang sepatutnya kita gembira merayakan?” Jiwanya memberontak, menyatakan betapa dirinya itu tertekan, resah dan amat tidak berpuas hati terhadap ini semua. Dirinya dirasakan tidak diadili seadilnya. “ Tidak cukupkah dengan apa yang telah aku lalui sebelum ini? Mengapa aku?” Agak lama duduk termenung…di dalam masjid itu walaupun khutbah telah lama selesai. Akhirnya dia tersedar, tidak ramai yang ada. Dia juga sedar, pipinya basah. Dia merasa…hatinya itu diserang jarum-jarum. Tidak dia tahu mengapa dia. Tidak dia tahu adakah wajar dirinya diletakkan dalam keadaan itu. “Adakah aku berhak atas segala ini?”

Itu pertama kali dia menyambut Syawal keseorangan dalam hidupnya. Ya, pertama kali dalam hidupnya itu. Keseorangan di rumah, duduk di meja melihat kuih-kuih raya di dalam bekas yang tersusun ditengah meja sambil memakan ketupat dan rendang yang ditinggalkan sedikit oleh ibunya yang pergi ke Singapura bersama keseluruhan ahli keluarganya kecuali anaknya yang ada bersama bekas isterinya di rumah bekas emak mertuanya. “Mereka di sana dan aku di sini. Keseorangan…”.

Melihat budak-budak yang berlalu-lalang berkumpulan memberi salam di rumah-rumah berdekatan, dia yang berada di bilik sengaja menutup rapat pintu dan tingkap rumah. Sesekali mengintai dari celahan tingkap bilik. Dia tidak mahu melayan mereka. Dia rasa dia tidak mampu melayan mereka. Biarlah dirinya begitu. Keseorangan dan cuba merayakan hari itu sebagaimana yang mahu dia rayakan.

Kini dia diletakkan kembali dalam situasi yang dia alami setahun yang lalu. Ramadhan kembali dan segala yang dilaluinya pada Ramadhan yang lepas kembali menghantui. “Mengapa ia hadir semula dengan begitu cepat sekali?” Semakin tua Ramadhan itu, semakin terasa hirisan di hati melebar. Dia takut menghadapi hari itu. Hari di mana dia duduk sendirian di masjid, menunaikan sunat Aidilfitri, bertakbir, mendengar khutbah dan…

Jamal tidak tahu bagaimana akan dia hadapi semua itu lagi. Dirinya hampir kehilangan segalanya Ramadhan yang lalu dan keadaan masih begitu pada Ramadhan yang ini. Syawal itu adalah klimaks pada perasaannya. Ia benar sesuatu yang mendukakan. Walaupun hidupnya kini amat berlainan. Dia telah atasi kelukaan berpisah itu dan kini dirinya sudah ada pengganti. Namun dia tahu, Syawal ini, dia akan keseorangan lagi…

Dalam kehidupan ini, kita tidak terlepas dari dugaan. Aku mula memikirkan tentangnya - mungkin kerana kesempitan yang dilalui. Dan aku sedari, setiap kali aku bernafas, diri ini dikurniakan dengan dua perkara: Rezeki dan dugaan. Mungkin ada yang menyangkal, tapi itulah yang aku rasai sekurang pada waktu ini – ya, di Ramadhan ini. Tuhan itu Maha Berkuasa. Setiap kurniaannya pada kita pasti ada lawannya. Itu sifat kita – kita sebenarnya tiada jika tiada sifat berlawanan itu. Ia bukan tentang kau dan aku. Ia tentang aku dan aku dan kau dan kau. Aku yang ini dipandangan insan dan aku yang itu pada bisikan hati insan-insan itu – wujudlah aku ini, begitu juga sama dengan kau.

Ramadhan ini, aku sedar yang aku sebenarnya berhadapan dengan diriku sendiri. Hatiku ini banyak berkata, tapi kali ini dia berkata tanpa dibuai bisikan. Segala yang aku rasai adalah aku yang sebenarnya. Baikku adalah aku dan jahatku adalah aku…yang sebenarnya. Itulah kelebihan bulan ini. Tuhan memberi kita peluang untuk kita menilai siapa kita ini sebenarnya kerana di bulan ini, si pembisik itu tiada. Niat ini, rasa ini dan perbuatan ini adalah aku. Imanku jelas kelihatan dan aku agak sedih, masih terlalu banyak yang perlu aku lakukan dalam masa yang agak suntuk ini.

Ramadhan ini, aku berezeki kerana diberi peluang melihat tahap keimananku sejelas aku berdiri dihadapan cermin dengan pelbagai dugaan yang hadir. Maha Suci Allah yang Maha Mengasihani memberi kurniaan ini kerana sekali lagi memberiku peluang memperbaiki apa yang perlu dibaiki sebelum aku hadir sebagai Pengasih padanya dan bukan sebagai Pengkhianat. Di Ramadhan ini, aku ini adalah sebenarnya aku dan aku berdoa agar hatiku ini tidak dinodai…oleh diriku sendiri. Ahhh, aku benar rasa diri ini kecil, sekecil kuman yang tidak mungkin dapat aku lihat dengan mata kasarku. Sekarang andai aku sekecil kuman, masakan aku dapat melihatnya? Innalillah…

Jamal menutup buku notanya. Diselitkan pen di saku bajunya. Memandang langit yang jingga, “Esok lusa Ramadhan…,” hatinya berkata dan dia mengangguk perlahan dalam suasana yang aman.

*Antologi Cerpen - "Jamal"

CSRO

Membaca "Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus" adalah satu kesilapan - buat diri saya. Dalam saya "ralek" merenda OTI, CSRO muncul dan keralekan itu seperti belon yang ditusuk pin.

Kembara ke utara mahu saya isikan dengan menebas "lalang-lalang" serta semak OTI dan Nisah Haron perlu menghadiahkan sebuah buku terbitan sulung syarikatnya (Ujana Ilmu) dan itu benar merangut niat awal saya itu. Namun, saya berterima kasih kepadanya dan NYA kerana pustaka ilmu itu bertambah.

OTI harus bersabar dan disabarkan dan kini fikiran saya "nakal" melakar situasi Sangkuriang dan Oedipus berhadapan dalam sebuah gelanggang di atas sebuah gunung dengan tangan masing-masing menggenggam sebilah lading...ah indahnya akal yang dibiarkan melewati batasan kewarasan.

Antologi cerpen Nisah Haron - Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus - boleh dimiliki (dan dicabar membaca serta memahaminya) di www.ujanailmu.com.my.

Ok...Pinkie dan Nyai memerlukan saya kini..salam.

Mencari Wahah...

Sabtu lalu Pak Samad dan saya bertemu Lina di sebuah kafe di Subang Parade. Lina tidak segan minta bimbingan dan nasihat dan kami amat selesa dengannya kerana menganggapnya sebahagian dari keluarga kami.

Dia dalam kesulitan - sesuatu yang sebenarnya telah dijangka oleh kami. Dia patut berada dalam kesulitan. Setiap perniagaan seharusnya berintangan. Ia bukan tentang bagaimana perniagaan itu berjalan. Ia tentang bagaimana anda menjalankan perniagaan itu. Daya tahan dan kepercayaan itu penting. Saya tahu, empat tahun saya di "padang pasir" mencari wahah.

Sebuah syarikat penerbitan perlu ada koleksi buku-buku yang diterbitkannya. Penerbitan yang pertama seakan kita mencapai puncak pendakian dan mendapati ada lagi puncak yang perlu didaki. Dengan peralatan yang terhad, kepercayaan itu memainkan peranan agar kita tidak berputus asa.

Dan dalam perjalanan kita itu, sesekali terdengar suara-suara sumbang yang entah mengapa mencemuh usaha yang baik ini.

Saya terkilan dengan "Orang Besar" di DBP ini sebenarnya. Semenjak dilantik, sudah dua kali saya terasa dicemuh. Nasib juga pengalaman lalu mengajar dan saya menolaknya ketepi. Dia "terlupa" agaknya peranan dan tanggungjawabnya di DBP serta erti dan nilai persahabatan yang terjalin antara dia, arwah dan Pak Samad.

Kepada Kak Lina, saya harap bersabarnya. Inilah masanya untuk kita belajar tentang kehidupan - siapa kawan ketawa dan siapa (bukan lawan) kawan setia. Mana realiti dan mana halusinasi. Kak Lina perlu bersabar dan ini akan membina jatidiri untuk kita berjaya.

Seperti yang saya katakan, apa yang kau fikirkan tidak penting bagiku...jangan biarkan suara sumbang itu menyumbang...

Sukan

Dia menelefon saya hari itu! Perak bertemu Perlis! Bla bla bla...saya hanya mengiyakan hingga saya rasa dia sendiri bosan dengan bla bla blanya itu. Selepas beberapa purnama saya "aman" darinya, dia, entah mengapa rasa perlu menghubungi. Mungkin dia rasa yakin - terlalu agaknya. Mungkin malam sebelumnya dia bermimpi didatangi seorang tua yang rambut, misai dan janggutnya putih panjang mengurai memakai jersi Perak, topi Liverpool dan menaiki kereta Ferrari. Saya faham mengapa dia terlalu ghairah. Isterinya mungkin mengenali sukan dengan congkak, konda-kondi, bolajaring dan artis-artis AF berlumba dalam guni di sukan hari keluarga Astro.

Minggunya mungkin terubat sedikit dengan kemenangan Ferrari (MS umumkan persaraannya dalam dunia F1 akhir musim ini) setelah Perak bungkus dan Liverpool berkhayal memikirkan mereka masih gergasi dan sedang bermain dalam era 70-80an.

Sehingga saat ini, saya masih menanti kalau-kalau dia sudi menelefon atau sms saya, tetapi itu sebenarnya satu "angan-angan". Saya tahu, dia muram, tetapi saya harap dia sekurangnya tahu siapa pengurus pasukan sokongannya itu kini...

Kemuncak minggu sukan saya:

1. Perlis melangkah ke Final
2. Arsenal seri
3. Liverpool kalah 0-3 kepada Everton
4. ManU menang 1-0 dan bertahta di EPL
5. MS & Ferrari menang
6. MS umumkan persaraannya
7. Kimi Raikonen menggantikan MS musim hadapan
6. Sharapova juarai Terbuka US

Biarkan saya menikmati rasa "aman" minggu ini...

Biarkan aku...

Saya masih belum bangun dari dunia Redang. Sebenarnya saya enggan bangun. Tetapi setelah "bercuti" hampir lebih seminggu, dunia realiti (dunia ciptaan manusia) menggigit dan tersedar beberapa perkara:

1. Ansuran kereta
2. Servis Penting Kereta - 80,000km
3. Insuran dan Cukai Jalan Kereta
4. Yuran Semester Firdaus
5. Ramadhan dan Syawal

Melihat dompet, kocek, bawah bantal dan tilam, bawah kerusi kereta (saya terkadang menyimpan duit di tempat pelik) dan di bank, saya kira nombor 4 dalam senarai itu yang perlu saya usahakan.

Saya boleh "sorokkan" kereta dan sekaligus boleh lupakan seketika ansuran, servis, insuran dan cukai jalan (ah, macam tak biasa buat pula!). Lagipun semasa Ramadhan, aktiviti Pak Samad tidak banyak, kecuali menghadiri majlis-majlis berbuka puasa.

Dengan beberapa "projek" sedang berjalan, saya pasti (insyaAllah) Ramadhan itu sesuatu yang ranum dan Syawal itu manis rasanya.

Saya tidak mahu bangun dari dunia Redang, tetapi gigitan realiti kehidupan terlalu sakit saya rasai. Ini adalah salah satu hari Isnin yang "payah" sekali buat saya. Menyelak diari, berikut aktiviti minggu ini:

1. 13-14 Kangar Perlis
2. 15-17 Ipoh - Lantai T. Pinkie

Meter kereta 78900. Perjalanan pergi dan balik saya jangka dalam 1,200km. Agaknya (harapan!) penjualan buku-buku di LTP memberangsangkan.

Harapan Isnin depan:

1. Yuran semester Firdaus (kalau tidak maknyalah kena bayar...hehehe)
2. Servis kereta
3. Ansuran kereta
4. Insuran dan cukai jalan.

Ini memerlukan jualan buku melebihi 100 naskah dalam masa 3 hari...ah realiti benar menelanku semula...

Mencari Santiago Di Redang

Saya tidak bertemu Santiago di Redang. Namun, suasananya itu berdikit tersuluh bak terbitnyaR17 matahari hingga saya kerap terhayal dan saya menjumpai diri saya sendiri.

Ada sesuatu tentang laut. Isinya jika tersuluh cahaya memberi definasi sebenar erti warna itu. Dan saya sedar juga dasar dan isinya itu lebih berwarna. Dengan kegarangan warna-warnanya dari isinya itulah yang menghayalkan saya.

R33 Suasana laut dan pantai itu mempengaruhi. Saya terlupa erti keindahan itu sehingga saya terlihat jaluran warna biru yang menandakan sempadan kedalaman laut itu beserta dengan terbitnya sang suria yang berdikit mencorak-corakkan warna alam.

R21 Di Redang, saya merasai udara yang disedut. Saya menutup mata dan tergetar urat-urat tubuh yang membangkitkan rasa yang telah lama terlupa.

Inilah keindahan "sebenar" ciptaan yang Maha Esa. Sudah terlalu lama saya diracuni keindahan ciptaan manusia dan saya perlu kembali.R20

Saya tidak bertemu Santiago di Redang. Sebaliknya, saya bertemu diri saya sendiri...

*Santiago - The Old Man & The Sea.

Teman Yang Pergi...

Semalam saya dikejutkan dengan berita kematian seorang yang saya kenali. Kami pernah bersama dalam era 70an sewaktu keluarga kami sering bertemu. Sebaik terdengar beritanya yang dibunuh kejam, saya agak tergamam dan fikiran menyelak silam mencari bab-bab di mana kami pernah bersama.

Sewaktu mengikuti berita di TV3 pada sebelah malamnya, wajahnya langsung tidak saya kenali. Malah abang, ibu dan bapanya juga tidak begitu saya kenali. Memang terlalu lama sudah kami tidak bertemu. Saya kira hampir 30 tahun! namun, saya masih terkenang waktu-waktu kami bersama. Dia, abangnya dan saya sering "bermain" bersama bila keluarga kami bertemu. Kami dalam dunia kami sendiri sehingga tiba waktu untuk berpisah. Dan kali ini "perpisahan" itu termenterai setelah tergantung lama.

Saya tidak dapat meleraikan kekusutan di kepala - mengapa manusia begitu kejam. Bila nafsu mengatasi akal kita tercampak ke alam yang tercemar. Dan kita tergeleng tidak mempercayai manusia boleh melakukan perkara-perkara yang tidak terfikir selama ini - sekurangnya dalam masyarakat kita ini.

Selamat tinggal sahabatku...

Al-Fatihah buat Allahyarham Shahman Nasution - semoga dicucuri rahmat dan tergolong dalam mereka yang beruntung.

Nota K&A II

3 nov 06 - lewat malam dia berbicara dengan langit malam. Menyampai rasa hati dari sebuah jiwa yang tersiksa pada hiasan langit malam, bulan dan bintang-bintang. Setiap malam keluhan batinnya mendersik sesekali menderu, tetapi mendayu-dayu ke langit malam, mengadu pada bulan dan bintang-bintang kerana dia perlu didengari...

Satu hari bila keluhan mendersik yang sesekali menderu, tetapi mendayu-dayu itu tiada...jiwanya aman...akhirnya.

Celupar

Saya pernah celupar dengan kenyataan, "Saya tidak menulis untuk menang dan andai karya saya memenangi apa-apa hadiah, akan saya tolak (dengan berbudi bahasa tentunya!)." Ini berlaku pada satu temuramah dengan akhbar Berita Harian beberapa tahun yang lalu dan sekaligus ada menimbulkan sedikit keresahan atau mungkin salah tafsiran akan kata hati saya waktu itu. Reaksi dari temuramah itu ada yang bising mempersoalkan bagaimana saya mendapat publisiti sedangkan karya-karya saya yang diterbitkan di media cetak boleh dibilang dengan jari (dari satu tangan dan anda pilih sendiri dari tangan belah mana).

Saya berhenti menghantar karya saya ke media cetak selepas itu.

Saya tidak mengerti mengapa perlu ada suara-suara yang sumbang (pada pendengaran dan pemahaman saya) itu dan sehingga kini walaupun sudah beribu kali memikirkan tentangnya, saya masih tidak mampu menghadam.

Sebenarnya, keceluparan saya itu adalah reaksi - saya terdengar beberapa rakan penulis yang berbincang tentang apa dan bagaimana perlu mereka berkarya untuk berpeluang memenangi hadiah dalam satu peraduan. Tidak, saya tidak sama sekali fikir itu menyalahi. Saya maklum dunia penulisan sastera Melayu sesuatu yang kompleks sehingga kompleksitinya mampu mengkomplikasikan minda pembaca dan kerana itu agaknya usaha yang dilakukan - menulis - tidak seimbang dengan hasilnya. Seorang anak kecil di satu belah dan seorang dewasa di belah berlawanan semasa menaiki jongkang-jongket, anda pasti tahu yang mana satu usaha dan yang mana satu hasil jika bercakap tentang sastera Melayu. Jadi, saya faham mengapa hadiah itu penting. Mana tahan makan ikan kering setiap hari? Sesekali hendak juga merasai daging atau ikan terubuk.

Saya faham juga memenangi sesebuah hadiah itu satu pengiktirafan akan kualiti sesebuah karya itu dan jika bernasib baik, kuantiti jualan buku juga akan naik - sedikit. Saya faham. Masalahnya, saya adalah saya. Memang saya dibesarkan begitu. Saya membawa pemahaman yang berlainan. Mungkin juga mula menulis pada usia lewat membentuk pemikiran saya sebegitu rupa...atau mungkin saja saya anak Sasterawan Negara dan merasai mustahil ada dua Sasterawan Negara dalam satu keluarga! (Tapi, maaf, saya berseloroh. Itu tidak mustahil kerana itu bukan hadiah, itu anugerah.)

Dalam kehidupan ini, terkadang tidak mampu saya menepis perasaan kecewa menjadi anak seorang Sasterawan Negara. Setiap karya yang saya lahirkan akan dibuat perbandingan. Malah saya sendiri terkadang tidak mampu menepis diri dan terperangkap dengan membuat perbandingan yang sama dan kerana itulah juga sehingga kini banyak karya-karya saya yang saya pendamkan dalam komputer saja. Sedangkan baru ditemuramah sudah bising ("Maklumlah anak SN, sebab itu dapat publisiti," kata mereka.) apalagi jika ada karya yang diterbitkan.

Saya seorang yang sentiasa positif.

Akhir-akhir ini saya merasai bahawa saya sudah bersedia. Saya sudah tiba di persimpangan dan saya pasti jalan sastera Melayu itu akan saya susuri.

Saya tidak akan menulis untuk menang dan saya tidak akan menerima hadiah andai menang - pendirian saya tentang itu mono - TIDAK.

Persoalannya kini, siapa pula yang hendak terbitkannya? Dan, bila bercakap tentang terbitkan karya sendiri ini saya terdengar pula, "Masuk bakul angkat sendiri..." Tapi, anda fikir saya peduli apa yang akan mereka fikirkan itu kini?

Saya hanya mahu menulis...

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

*Terima kasih pada anugerahNYA, isteri yang dipaksa memahami, anak yang sering memancarkan inspirasi, ibu dan bapa yang telah menatah satu tahap yang tinggi, sahabat-sahabat (penulis) yang menasihati dan merangsang, sahabat-sahabat yang setia melayani dan dunia sastera Melayu yang lesu tetapi aneh hebat mencabar diri.

Bukit Gantang

Sedang duduk santai menonton F1, fikiran saya melayang dan mencecah-cecah masa-masa yang silam.

Saya teringat kali pertama memandu ke Kangar. Jalan itu seakan tiada penghujungnya! Rasanya terlalu lama dan berkali terpaksa berhenti merehatkan otot-otot yang kelesuan. Dan kerana itu, masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kangar mengambil masa lebih kurang 7 hingga 8 jam.

Fikiran saya terlayang pula pada perjalanan yang baru saya tempuhi tadi. Lebuhraya agak sibuk. Mungkin kerana esoknya sekolah bermula dan seperti biasa semua mahu kembali ke destinasi masing-masing. Bertolak dari Kangar jam 11.55 pagi. Berhenti rehat 30 minit di Bukit Gantang ("Pit-Stop" pilihan) dan tiba di Kuala Lumpur 4.30 petang.

Empat jam tigapuluh lima minit! Itu bukan satu rekod kerana waktu tsunami melanda, saya pernah memandu dari Kuala Lumpur ke Kangar dalam masa empat jam (dengan mengekori "outrider" polis dari Rawang hingga Juru). Namun, kali ini lain sikit. Dengan lebuhraya agak sesak dan cuaca yang kerap bertukar, perjalanan kali ini sebenarnya mengambil masa empat jam lima minit selepas ditolak masa berhenti rehat.

Saya tergeleng. Lebih 550km... Saya juga tahu ada seorang rakan yang mengambil masa tiga setengah jam untuk perjalanan yang sama. Saya tergeleng lagi...

Saya terbayang, dalam kelajuan 160km tiba-tiba tayar depan meletup...

Saya terbayang isteri di sebelah, saya tergeleng tidak mampu memikirkan tentangnya.

Saya terfikir tentang anak...

Ingatan mencecah pada ibu, bapa...keluarga...dan saya perlu mengekang diri...

Saya tahu ajal datang dalam pelbagai bentuk dan cara, tapi kemalangan dan penyakit (yang berkait dengan nikotin dan tar) adalah bentuk dan cara yang mahu saya elakkan.

Saya perlu mengekang diri dari perkara-perkara bodoh seperti ini...saya perlu mengekang...

*Bila sudah menjadi kebiasaan, kita bisa saja "take things for granted".

**Maaf, saya tiada ide tajuk...

Dunia Synflex

Pagi ini saya terjaga dari tidur dengan sebelah urat-urat kepala saya dicengkam raksasa bernamaOlympus1_177_1 Migraine. Mahu saja menelan sebiji Synflex (550mg), melembabkan kepala dan muka dengan air, menutup tingkap-tingkap dengan langsir dari dimasuki cahaya dan berhibernat, tetapi hari ini ada satu perkara penting yang perlu diselesaikan dan terpaksalah saya lupakan hasrat dan memulakan hari saya - Ah...terkadang saya benci Isnin...tidak, saya benci hari-hari yang saya terjaga dari tidur bersama Migraine!

Olympus1_179 Sebaik membuka komputer, benda ini menarik perhatian. Ada sesiapa yang tahu bagaimana menggunakannya? Saya tahu ini "Switch" berjangka, tetapi saya terlalu malas mahu memikirkan tentang bagaimana mahu menggunakannya kerana telah berkali saya putar dan pulas tetapi ia bagai tidak menuruti kata atau kemahuan saya. Ada sesiapa yang tahu?

Olympus1_172 Dalam jemari sibuk menekan kekunci, saya seakan merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Saya rasakan seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikan saya. Melihat sekeliling, Velvet sedang tidur di kerusi kesayangannya dan Chloe di lantai bawah kerusi. Pandangan saya terhenti sebaik terpandangkannya...

Olympus1_173 Mengapa dia tidak mendengar kata saya? Bukankah telah saya larang? Meletakkan pokok pasu bunga di luar - diatur sederet kerana itu saja corak yang boleh, ah jika ada angin kuat yang bertiup dan ada anak-anak yang bermain di bawah - saya kira kita akan bangkrap disaman atau lebih buruk dihukum penjara!

Olympus1_174 Mengapa terkadang pasangan anda tidak mendengar kata? Lihat saja cermin itu yang kotor...tidak bolehkah dia sekurangnya membersihkan cermin kaca itu? Adakah dia fikir dengan membiarkan begitu, aku tidak nampak atau perasan? Ah, aku perlu sebiji lagi synflex...

*Saya mengangkat pasu-pasu itu dan meletaknya di balkoni - Saya tidak mencuci cermin yang kotor itu kerana saya gayat - Kami tinggal di tingkat 2 - Akhir ini Synflex seperti kacang bagiku - musim migraine telah tiba - Adakah ini tindakbalasnya kerana saya melarang dia meniru fesyen rambut Sharifah Aini?