header-photo

Apakah...?

Ini berlaku hujung minggu lalu...

Sekitar jam 3 pagi selepas saya buat apa yang patut, akhirnya saya labuhkan diri atas tilam. Nyata tubuh ini lelah kerana terus rasa aman dan selesa, lantas mula terbuai dan tiba-tiba rasa muka saya - sebelah kiri (tidur mengiring) disentuh-sentuh.

Saya menoleh sambil buka mata yang malas. Rupanya rambut-rambut yang menyentuh lalu saya berkata, "Bro, apa hal?" kerana saya se rumah dengan Rahmat yang rambutnya panjang. Dan saya langsung terfikir bahawa saya dalam bilik saya yang terkunci. Masakan Rahmat boleh masuk? Lagipun jika ada apa-apa dia akan mengetuk pintu atau jika saya "tidur mati" dia akan buat panggilan telefon.

Saya terus menoleh dan benda itu sekaligus terbang melayang. Saya bangun dari katil dan melihat sekeliling. Tiada apa.

Begitulah salah satu adengan hidup ini.

Maktub...

Entah mengapa setelah beberapa lama menyepi, jiwa ini meronta menuntut sesuatu catatan untuk ditontoni dunia. Mungkin rasahati yang gelisah...

Pernah tidak kita mengambil masa tentang sesuatu perkara dan akhirnya bila berkeputusan kerana rasa yakin, lantas melaksanakannya dan tidak lama selepas itu, terbukti salah? Saya pernah dan dalam usaha mengelakkannya dari berlaku, saya ambil masa dalam banyak perkara penting. Ini sedikit banyak membantu. Namun, ada beberapa perkara penting yang masih difikirkan akhirnya menuntut keputusan setelah tiba waktunya. Di sinilah penilaian seorang lelaki seperti saya diduga. Dan perkara sebeginilah yang sering akhirnya membuat saya terluka hati kerana kegagalan dalam mengawal nafsu - ini bukan tentang seks. Saya tergigit kerana menggigit lebih dari mampu kunyah. Itulah hidup - sekurangnya bagi saya.

Ini akan ambil masa yang lama untuk sembuh...
dan semoga bunga yang terpetik itu
yang kini dilepaskan bebas
terbang tinggi, walau lesu
jatuh longlai di bumi subur
tumbuh semula dalam sayu
akhirnya dipetik yang termaktub.

Begitulah,
dan aku
perlu kenal di mana harus aku bermuara.

SML: Draf awal...

Sungai Mengalir Lesu:
Draf awal kulit...
Masih melayang-layang memetik ilham yang ada.

Sungai Mengalir Lesu...

Proses penerbitan novel Sungai Mengalir Lesu sudah lama bermula. Jangkaan awal akan terbit sekitar Julai atau Ogos 2013.

Seperti biasa, ia tertangguh. Kali terakhir saya bertemu bapak, dia sarankan agar novel ini diterbitkan tahun hadapan. Sebagai penerbit, saya bantah. Dia senyum. Saya senyum - saya tahu dia cuba melengahkan. Saya katakan kepadanya, untuk tahun 2014 ada tiga karya yang akan diterbitkan...Hujan Pagi, Langit Petang dan Daerah Zeni. "Banyaknya," kata Pak Samad tersenyum. "Perlu," jawab saya tersenyum juga.
Kami memang selalu begini...
In sya Allah novel ini akan berada di pasaran sebelum tahun ini berakhir.

Ketetapan...

Semalam (Sabtu), selepas maghrib, saya duduk berbual dengan seorang ustaz. Saya bercerita tentang kesyukuran saya sering terkejut sepertiga malam yang akhir dan dapat tunaikan solat-solat sunat. Dia kata Allah sayang kita dan sebab itu saya dikejutkan dan in sya Allah usaha saya itu diterimaNya. Dia juga bercerita kejutan itu dari Allah. Apa yang saya lakukan selepas itu penting dalam menentukan baik buruknya. Ada yang terjaga, lihat jam, tarik selimut semula. Itu manusia yang rugi. Ada yang bersyukur terjaga dan beramal ibadah. Dia untung. Dia juga usulkan agar saya kunci sahaja jam agar usaha sepertiga malam itu diteruskan dan disebatikan dalam diri - menjadi rutin.

Jadinya hari ini (Ahad), saya sedikit terseliuh tentang soal "ketetapan" itu.

Ada Aku Kisah...

Jika kita perasan, cuaca waktu ini sudah macam masuk musim tengkujuh - sekurangnya itu yang saya rasai di Lembah Kelang. Tidak tahulah bagaimana cuaca di negeri lain.

Cuaca sebegini tentunya mempengaruhi "mood" apa saja yang hidup. Kucing-kucing jantan terutamannya waktu sebegini akan lebih garang dan akan menyerang - untuk mempertahankan wilayahnya - kucing-kucing jantan yang lain - sebab itu jika anda ada kucing jantan, akhir ini tentu saja ada luka-luka sana sini.

Kucing betina juga tidak terkecuali sebenarnya. Mereka juga diserang. Cuma serangannya berlainan sedikit. Ada yang rela. Ada yang tidak. Tetapi, hasilnya sama. Tidak lama lagi akan bertambah populasinya.

Dan bercakap soal serangan, manusia juga tidak terlepas. Akhir ini banyak serangan yang dilakukan manusia sesama mereka. "Tool" manusia ini lemah dari segala bentuk fizikal kecuali akal - lantas terikat dengan undang-undang dunia dan akhirat. Kerana itu kita perlu perkakasan baik berupa senjata, kenderaan, gajet dan apa sahaja yang ada - lihat saja diri anda. Kucing tidak perlu semua itu. Ia bergerak dengan naluri semulajadi. Dia tidak perlu baju, kasut atau jam apa lagi telefon pintar. Maklum itu beza binatang dengan manusia.

Jadinya sebesar mana kita fikir diri kita ini, akhir  selain hujan, akan turun juga kita masuk kubur. Tubuh fizikal dimakan ulat dan cacing. Tubuh halus ada kemungkinan dibelasah berulang abang malaikat yang taat setia kepada Allah yang Maha Esa. Itu belum kira waktunya kita dibangkitkan.

Dan sebagai manusia yang lemah - memang kita lemah - kita ini sebenarnya mencari apa? Ramai keliru dan mungkin sahaja terhijab. Yang benar bukannya susah sebenarnya. Mencuri salah. Membunuh salah. Memfitnah salah. Berzina salah dan sebagainya - semuanya telah termaktub dalam al-Quran. Dan sebab terkeliru dan mungkin terhijab, manusia mendera akalnya untuk membolehkan hal-hal sebegini menjadi perlu atau betul atau halal. Ada yang belit ayat-ayat suci hingga mencuri itu perlu - atau ada definasi yang sesuai bagi citarasanya - atas sebab "survival". Sama juga membunuh atas sebab-sebab agama. Memfitnah bukan fitnah tetapi pertanyaan atau selorohan dan sebagainyalah. Maklum sahaja bila akal kurniaan Maha Pencipta itu disalah guna. Kita terlalu terbuai duniawi dan sebab itu mungkin manusia seperti saya ini amat susah atau terhijab dari pemikiran tentang persediaan ke alam lain.

Akhirnya apa yang benar? Jika ini ditanya, ia bermakna anda sebenarnya dalam satu masalah yang besar.

Terimbas kembali kepada sang kucing, baik yang jantan atau betina, saya selalu berkata, "Korang ni boleh tak jangan pancut atau buang merata?" sambil merenung kepada mereka. "Goldfish", kucing alpha di sini buat tidak tahu dan saya pasti saya terdengar, "Ada aku kisah?" darinya.

"Ada aku kisah?" sebenarnya beza kita dengan binatang.

Cempedak Goreng...

Setahun lebih yang lalu, di gerai hadapan kafe ini jual cempedak goreng 3 biji satu ringgit. Tahun ini dua biji satu ringgit. Saya jangkakan tidak lama lagi mungkin 3 biji dua ringgit - agaknya. Saya lebih lihat dari sudut nilai matawang semakin kecil. Bukan harga cempedak goreng semakin mahal.

Lalu seperti biasa fikiran saya mula melayang...alangkah bagusnya jika saya ada tanah. Boleh tanam cempedak, durian, rambutan, manggis, nangka. Boleh tanam sayur-sayuran. Boleh buat kolam ikan. Boleh pelihara ayam, biri-biri dan lembu. Boleh juga ada kucing yang ramai. Erti kata lain, mandiri. Lebihan boleh jual buat beli beras dan kopi. Petang boleh santai bawah pohon cempedak, menulis, nikmati kopi, rokok dengan suasana menyamankan. Bila tiba waktu boleh ke surau dan jika diizinkanNya jadi ajk surau. Pagi-pagi boleh cari cendawan atau mamancing ikan. Petang layan saudara atau sahabat yang datang...

Saya terjatuh dari lamunan. "Ini hidup orang bersara...ada duit atau harta atau beringat semasa muda." Saya terlalu duniawi dahulu. Jadinya kini saya masih perlu bekerja mencari nafkhah dan bersedia untuk membayar harga tiga biji cempedak goreng dua ringgit yang saya ramalkan itu.






Syurga...

Saya sedang bercukur bila lahir rasa seperti, "Apa sebenarnya aku ini?" di hadapan cermin dan rasa ini berkembang kepada persoalan-persoalan lain - lebih kepada penilaian diri sendiri.

Saya tahu hidup ini terlalu singkat dan untuk menyelami isi hati orang lain (apalagi menyibuk) adalah satu usaha yang sebenarnya membuang masa dan merugikan. Jadinya saya kurangkan masa di laman maya.

Saya rasa kita terlalu khayal dengan duniawi, tentang kebendaan, tentang pegangan hidup orang lain dan ini merebak hingga kita menyatakan sesuatu - yang kita rasa tetapi tidak tahu hujung pangkal apalagi benar atau tidak.

Saya mahu baiki diri. Saya mahu fikir tentang diri saya - segala yang saya fikir dan lakukan. Saya mahu  syurga.

Dan jika itu menyalahi, saya pasti ada sesuatu yang sangat salah dalam kehidupan ini.

Bersyukur...

Saya diberitahu betapa beruntungnya saya kerana bapa saya...
Saya rasa, kita semua patut bersyukur akan siapa diri kita dan siapa keturunan kita.
Bukankah itu anugerah Allah?

Kopi...

Sepahit pengalaman, setenang impian...
Kopi.

Selamat Hari Raya 2013...

Sudah Aidilfitri ketiga. Dan saya rasakan kelainan. Dua musim aidilfitri lalu pun hampir sama dengan apa yang saya lalui. Hari Raya pertama, masjid, rumah emak, balik bilik, salin baju dan duduk kedai kopi, menulis atau membaca. Seperti itu. Semudah itu. Tiada yang istimewa malah saya rasakan sangat sayu, tertekan dan kesal kerana begitu. Rasa-rasa begitu terkadang meletus dalam hati kini, tetapi tidaklah begitu menebal. Mungkin saya sudah biasa. Mungkin juga saya pemahaman saya berbeza kerana terjumpa sesuatu.

Jadinya di hari ketiga ini, saya duduk di kedai kopi, menulis. Terkadang mengusik warga Mukabuku atau WhatsApp. Dalam kepala terlegar banyak perkara. Ada yang dipetik. Ada yang dibiar berlalu. Banyak yang dikesalkan. Banyak juga yang disyukuri. Beginilah laluan yang sedang saya lalui kini. Nampak biasa saja. Malah mungkin saja nampak tiada erti...

...tetapi Allah ada perancanganNya yang tersendiri. Saya boleh rancang dan usaha. Dan jalan ini Dia yang tentukan untuk saya. Mungkin - dan diharap sangat - di hujung sana ada sesuatu yang bermakna buat saya...

Selamat Aidilfitri semua. Maaf zahir dan batin.

Jubah...

Saya sedar, di Ampang - tempat saya tinggal kini, ramai warga tempatan memakai jubah. Ini sangat ketara terutama selepas solat terawih di sekitar Ampang Point. Sedia maklum juga sekitar Ampang Point ini sudah menjadi "port" santai warga-warga Arab. Saya tidak tanya mengapa mereka hijrah ke sini, tetapi mereka nampak selesa. Kehadiran mereka jelas dengan kedai-kedai perniagaan mereka yang kini tumbuh segar seperti di Ampang Point, Bukit Bintang, Subang Jaya dan dengar cerita di Putrajaya juga.

Berbalik kepada jubah, bagi saya yang sudah biasa memakai "jeans", memakainya membuat saya rasa seperti pakai "skirt" pada permulaannya. Pergerakan agak terbatas. Langkahan perlu tidak besar sangat dan bila duduk perlu "adjust" beberapa kali. Itu permulaannya. Kini, saya kira saya ada sekitar 6-7 jubah - yang dihadiahkan dan juga yang dibeli dan saya mula selesa menggunakannya. Memakai jubah tidak membuat saya menjadi "arab". Samalah bila saya pakai "jeans" atau kot atau tali leher - ia tidak buat saya jadi orang barat. Saya tetap saya.

Apa yang cuba saya katakan di sini adalah kini lelaki ada satu lagi cabang dalam fesyen pakaian. Dahulu agak susah hendak cari dan membeli jubah ini. Kini sangat berlainan. Dahulu jubah dikaitkan dengan orang yang kuat beragama (di Malaysialah), kini lelaki seperti saya pun pakai...


..dan lagi satu yang menarik perhatian saya adalah wanita sangat suka apabila suami atau temannya berjubah. Mengapa ya?

*Jubah apa yang anda suka?

Siput Sedut...

Sudah hampir seminggu. Bila imbas kembali, memang saya begini setiap Ramadhan: Hilang selera. Berbuka dengan air dan kurma sahaja dan lewat malam baru tercari apa yang mahu dimakan - ini pun susah dan selalu berakhir makan yang bukan-bukan. Namun, saya adalah saya. Jadinya tiada apa yang aneh atau memeranjatkan.

Sebut tentang aneh, saya terperasan, semakin usia Ramadhan terhakis, semakin kerap saya lihat wanita-wanita mula memasak. Ini jelas jika kita layari mukabuku.  Mengapa? Banyak dalam kepala, tetapi apa dalam kepala lelaki tidak serumit wanita - pengakuan ikhlas. Anda boleh baca apa dalam kepala lelaki. Mudah! Wanita? Misteri.

Jadinya saya di sini duduk menulis entri ini. Sesekali hisap "straw" kopi ais. Selang hisap rokok. Dalam kepala mencari menu-menu yang boleh mendatangkan selera dan ini tidak dapat lari dalam pencarian itu: Siput Sedut Masak Cili Api.

Mana hendak cari?

Manusia...

Semalam satu hari yang menduga...

Maklum saya ada sedikit simpanan dan simpan melalui orang ketiga - saya sebenarnya tidak percaya kepada diri sendiri dalam soal wang. Oleh sebab terdesak kerana emak perlu untuk daftar pembedahan, saya meminta secara tergesa. Orang ketiga ini kata dia dalam kursus dan saya perlu tunggu hingga kursusnya tamat sekitar jam 5 petang. Dia juga kata wang yang dipinta tidak cukup dalam akaun banknya sebab dia sebenarnya simpan di Tabung Haji. Saya suruh dia pindahkan apa yang dia ada. Saya mahu cepat agar dapat tarikh yang sudah ditentukan.

Jam 5 lebih sedikit dia kata dia hendak berjumpa di Sentral dan hulurkan apa yang ada dahulu. Saya jawab tidak perlu kerana saya perlukan cepat. Lagipun terus dan terang saya hanya ada RM15 dan minyak kereta tidak cukup (agaknya kerana lampu minyak sudah menyala). Itu tidak dipedulikannya. Dia tetap mahu jumpa dan tentukan tempat.

Soal begini, saya sudah tawar hati dan tidak layan lagi. Jika kita tonton filem - tidak kisah Hollywood, Bollywood, Greenwood dll - saya kira mangsa sudah dipenggal atau ditembak mati kerana si pemberi wang berlengah/berdalih. Jadi saya kira memang tidak ada rezeki di situ dan saya senyap sahaja sedangkan dia tidak putus-putus ber"sms" - dia telefon saya tidak jawab. Pada saya ini soal mudah. Dia perlu:

1. Buka komputer dan pindahkan wang (saya tahu dia ada kemudahan ini) atau
2. Pergi ke bank dan pindahkan wang melalui mesin ATM.

Semudah itu....

Tetapi, ini tidak berakhir di situ. Saya kemudiannya menerima "sms" yang memaki saya - termasuklah makian seperti (saya terjemah) "anak haram" dalam bahasa Melayu. Jadinya senario bertukar. Saya kini jadi "orang jahat" hanya kerana tidak mahu berjumpa dan mengambil wang yang mahu diberikannya (padahal ini memang wang saya). Dia mungkin tidak lihat senario yang lebih besar - Emak saya atau duit saya atau duit dan minyak yang saya ada.

Hidup memang begini. Manusia fikir dia berkuasa bila dia ada sesuatu yang boleh digunakan atas manusia yang lain...walaupun apa yang digunakannya itu bukan miliknya. Jadinya saya kini "anak haram" dan akan masuk neraka dan dibakar - mengikut "sms" dialah - minta dijauhkan nauzubillah min zalik.

Hidup diteruskan. Dia sudah tiada tempat dalam hidup saya.

Realiti...

Sedang saya bakar sekeping lagi lukisan, saya menerima pesanan ringkas. Berhenti, saya membaca. Tiada reaksi sangat dari saya kerana waktu itu rasa di hati pada emak yang tidak sihat dan anak-anak. Telefon berbunyi lagi. Pesanan ringkas lagi dan saya tidak kisahkannya lagi.

Hidup ini terlalu pendek dengan manusia seperti saya mahu melakukan bermacam yang tentunya banyak jua akan tidak diterlakukan atau gagal. Banyak dalam kepala dan banyak juga tidak signifikan sebenarnya. Apa di depan mata saya waktu itu - lukisan - sudah hampir selesai apinya yang tadinya garang, tetapi kini menagih sesuatu untuknya sambung hidup. Saya kira kita pun begitu. Ada masa kita sangat lemah, masa kita mula belajar, masa kita garang dan di kemuncak dan tiba-tiba kita sedar masa kita sedang meluru laju menurun dan akhirnya masuk kubur.

Saya melihat emak dan berkali berfikir, "Adakah kita benar-benar manusia atau binatang yang bertopengkan wajah manusia?" Sudah agak lama dia begitu dan sudah beberapa kali dibedah dan beberapa kali pembedahannya gagal dan perlu dilakukan semula dan semua ini yang paling menyedihkan sangat bergantung kepada wang. Jadinya saya buka semula koleksi-koleksi lukisan pemberian bapak dan mula menawarkannya kepada umum. Itu tiga minggu yang lalu.

Kini saya melihat sekeping lagi lukisan menjadi abu. Sudah dua dan saya akan teruskan lagi minggu hadapan hingga tiada lagi. Tiada apa yang kekal dan saya tidak mahu apabila orangnya sudah tiada barulah masyarakat berebut-rebut memuji atau berlakun menghargainya dan karyanya.

Saya tidak risau kerana tiada apa yang kekal Cumanya saya sangat kecewa kerana emak yang begitu dan saya hanya mampu berdoa Tidak lebih. Tidak kurang....

Sungai Mengalir Lesu

Novel Sungai Mengalir Lesu
In Sya Allah akan terbit Julai/Ogos 2013...

Anak...

Beberapa hari yang lalu, Ali - anak bongsu saya - menyambut ulangtahun kelahirannya. Dia sudah enam (6) tahun. Ini membuatkan saya terfikir betapa masa itu berlalu dengan begitu pantas sekali. Persoalan masa yang berlalu pantas ini sudah beberapa kali dibincangkan bersama kawan. Saya teringat zaman dahulu semasa saya masih seorang kanak-kanak. Saya begitu merasakan bahawa masa itu berjalan dengan begitu perlahan sekali. Lantas terlontar satu persoalan: Apakah rasa kanak-kanak zaman ini? Adakah masa itu perlahan untuk kanak-kanak dan pantas buat orang tua? Atau masa sebenarnya sama cuma kita yang merasa pantas kini kerana gajet-gajet keduniaan?
Berbalik kepada Ali, dia memang anak istimewa. Dia ada ADHD (sila "google") dan tentunya tidak mudah mendidik dan menyediakan dia untuk hadapi dunia. Saya sendiri sudah berjanji untuk berusaha sedaya mampu untuknya - dia keutamaan paling atas dalam hidup saya.

Di kala usianya berlabuh ke angka enam, saya hanya mampu menghadiahkan doa-doa buatnya - dia di perantauan.

Masyarakat sering bercerita tentang kasih-sayang seorang ibu, sekurangnya saya sempat bercerita tentang kasih-sayang seorang bapa...alhamdullillah.

50...

Saya sedang isi borang atas talian untuk e-mel bila sekali lagi (sudah beberapa kali sebenarnya semenjak melangkah usia 40an) terhantuk oleh realiti...tentang usia.

E-mel baru ini untuk laman sosial baru kerana sudah beberapa kali akaun cuba digodam. Saya pernah sangat risau tentang perkara ini, terutama laman sosial Pak Samad di FB - minggu lalu sahaja 2 kali cubaan. Agak bernasib baik juga kerana Zuckerberg menyediakan sistem sekuriti yang agak baik (pada saya) Jadinya cubaan-cubaan tersebut dapat dielakkan. Setakat ini.

Saya pernah luahkan kepada bapak. Seperti biasa, bapak adalah bapak. Dia kata kalau hilang, hilanglah. Saya kata sudah lebih 200 ribu mengikuti laman sosialnya. Dia senyum dan  kata tiada masalah. Jika hilang itu kehendak Allah. Mula balik jika mahu dan perlu. Itu Pak Samad dan saya terima hakikat itu. Saya kini tahu suatu hari kelak ia akan hilang. Jadi, biarkan.

Berbalik kisah "terhantuk', e-mel ini satu usaha saya sahaja. Jadi saya mula isi ruang-ruang dalam borang tersebut...

Semua berjalan lancar hingga tiba bahagian hari lahir. Mulanya biasa. Saya mula "scroll" ke bawah...bawah...lagi bawah...lagi...bawah...aduhhh, terhantuk!
60an zaman Beattles. Sputnik, hippies...dan 1963 sangat bersejarah (pergi Google tahun ini ok)! Saya sangat bertuah kerana melalui zaman lahirnya tv warna, komputer- pc, riba, ipad, henfon, kereta hybrid/elektrik, mesin atm, internet dsb. Sempat juga karya-karya saya dicetak di beberapa akhbar dan majalah - novel-novel belum lagi hehe. Saya juga sempat melalui zaman di mana agama itu mula berkembang ilmunya. Harap maklum di zaman saya membaca Al-Quran dan belajar solat hampir semuanya menghafal pada mulanya. Ustazah-ustazah pakai selendang saja. Ustaz pernah berkata makan pakai "chopstick" haram. Jika hendak lalu di hadapan orang yang lebih tua perlu minta izin, tunduk, luruskan tangan kanan ke depan sikit dan lalu. Menjawab pada orang tua "is a no-no". Guli, layang-layang, lastik, main kad - baling dengan selipar, panjat pokok, main lumpur, tangkap belalang semuanya hampir pupus. Banyak lagi yang boleh saya katakan, tetapi itu perlu sebuah dua novel agaknya.

Saya sudah 50! Itu yang cuba saya katakan. Ada beberapa rakan sebaya yang sudah pergi. Ramai yang sudah hilang entah ke mana. Perlu ingat, mati itu dekat sahaja dengan kita - tidak kenal usia. Dan saya sangat beruntung diberi pengalaman sebegini. Banyak masa yang telah saya siakan. Banyak perbuatan yang sia-sia dan memudaratkan. Jadi 50 ini satu anugerah sebenarnya...

Saya perlu ambil kesempatan ini selagi ada...

Di Atas Padang Sejarah

Di Atas Padang Sejarah
Tempahan/pesanan dibuka kini!

Judul: Di Atas Padang Sejarah - Edisi Istimewa (Terhad)
Bilangan Puisi: 56 dan 1 proses penciptaan puisi
Mukasurat: 96
Lain-lain: Kulit keras, kertas istimewa (120gm), ditandatangani Pak Samad dan bernombor siri.
Harga: RM45 Semenanjung RM50 Sabah/Sarawak - Harga termasuk poslaju
Mula hantar: Minggu kedua March 2013
E-mel: helmysamad@gmail.com untuk urusan tempahan.

Jangan...

Saya menerima agak banyak jemputan dan permintaan untuk Pak Samad. Ada yang jemput baca puisi dan ada yang ingin menemuramah - media dan pelajar. Saya akan sampaikan jemputan dan permintaan ini kepada Pak Samad dan tentunya selepas diteliti agak banyak yang terpaksa ditolak. Begitu juga dengan pertanyaan-pertanyaan di laman FB Pak Samad.

Apa yang cuba saya sampaikan di sini adalah tentang rasa tidak puas hati mereka yang ditolak permintaannya. Ada yang marah-marah. Ada yang mengutuk. Saya faham sifat manusia. Saya pun pernah begini bila permintaan atau pertanyaan ditolak atau tidak dilayan.

Dan bila saya bekerjasama dengan beberapa pihak, ada yang kata macam-macam juga. Ini juga saya faham. Betul. Benar.

Pak Samad hidupnya mudah, tetapi padat. Pernah terfikir bagaimana dia jalani kehidupan sehariannya? Ke sana-sini dengan menaiki kenderaan awam dan sesekali dijemput untuk sesuatu acara. Saya sendiri agak susah untuk menemuinya kerana jadualnya padat. Dia kini 81. Boleh anda bayangkan?

Nasihat saya, jika tertolak permintaan atau tidak terjawab pertanyaan (sebenarnya banyak soalan dijawab dengan entri-entrinya di FB - perlulah baca dan faham ya), janganlah berkecil hati sangat. Janganlah marah hingga kata yang bukan-bukan. Ada sebab setiap kejadian - Allah belum izinkan.

Jadi positf dan insyaAllah jika niat ikhlas pasti dengan IzinNya terjawab.

Warm Bodies...

Saya sedang duduk makan malam apabila ternampak ini...
Maksud saya jika ada garis panduan, tetapi main terjemah begini, lebih baik dibiarkan sahaja tanpa diterjemah. Seperkara lagi yang buat saya faham mengapa ramai (termasuk orang Melayu) yang pandang rendah akan bahasanya.

Nota Di Atas Padang Sejarah...

Saya mengalami beberapa masalah dalam penerbitan naskhah ini. Dari mencari/memilih puisi-puisi, desain kulit, pencetak (ini soal kos dengan spesifikasi yang ditetapkan), memilih/membeli kertas dan juga beberapa masalah teknikal.

Tarikh penerbitannya tertangguh dari minggu ke minggu. Naskhah ini sepatutnya terbit sekitar minggu akhir Februari, tetapi kini insyaAllah akan siap selewatnya 15hb March 2013 - sudah dihantar cetak Isnin lalu.
Ini adalah naskhah edisi khas. Kami terbit 1000 naskhah. 200 naskhah sudah dibeli dan ditukar warna kulitnya (Oren) khas untuk mereka. Kesemua naskhah khas ini ditandatangani Pak Samad dan bernombor siri 1 hingga 1000.  Harga jualan adalah RM45 termasuk poslaju Semenanjung dan RM50 untuk Sabah/Sarawak.
Ini pula naskhah santai - kulit lembut. 
Harganya RM25 - tidak termasuk pos.

Di Atas Padang Sejarah

Akan berada di pasaran March 2013 ini...
Dua (2) versi: Istimewa (kulit keras) dan Santai (kulit lembut)

Selawat Nabi

Ya Nabi salam 'alaika ya Rasul salam 'alaika...

Hantu Wayang...

Kali terakhir saya rasa gerun dan sakit hati bila menonton di panggung wayang agaknya beberapa tahun lalu. Ada wanita mengerang di belakang tempat duduk saya - itulah kali terakhir saya ke panggung itu.

Mungkin dahulu saya ada dosa dengan penonton di panggung wayang. Maklum zaman saya boleh hisap rokok dan boleh makan kuaci semasa menonton. Mungkin ada penonton yang rasa gerun dan sakit hati apabila asap rokok saya mengganggunya. Atau mungkin saja bunyi kuaci terbuka digigit mengganggu. Jadi kisah berikut adalah sebahagian balasan yang saya terima?

The Last Stand menghiburkan. Abang Schwa "apalah susah sangat nak sebut" dan Brader Knoxville menepati rasa saya. Filem ini biasa sahaja dan terkadang tidak masuk akal, tetapi saya perlukan sesuatu yang begini untuk turunkan "stress". Lagipun "tidak masuk akal" adalah senario yang sering berlaku di negara sendiri. Jadi biasa-biasa sajalah.

Sebaik wayang bermula, ada satu "mamat" yang duduk belakang bersuara...dia sebut apa yang tertera seperti "Schwar apatah", "Knoxville". "The Last Stand"...hati saya mula rasa gatal. "Mamat ni belajar eja ke?" bisik hati. Dan ini berlanjutan...apa saja dialog yang memberi impak kepadanya (mamat belakang), dia AKAN sebut..."FBI"..."Cortez"..."Corvette"..."Bullhead City"..."Summerton"...Bayangkan ini yang terpaksa saya lalui. Memang saya rasa mahu menegurnya, tetapi dihalang teman. Jadi saya terima sajalah hakikat.

Penerimaan hakikat saya teruji sekali lagi. Kali ini henfonnya berbunyi. Nada Nokia (ok saya tidak akan beli Nokia lagi!)...

Mamat: Ya hello...ha yes...hello...no, no...ya, yes bla bla bla...

Apa yang saya hendak tahu, masih wujudkah orang-orang seperti ini? Maksud saya, dalam kehidupan masa kini, kita lihat dan lalui perbagai perangai manusia yang hanya pentingkan diri sendiri dan tidak hormati orang lain/sekeliling. Ini salah satu contoh. Setiap hari kita lihat orang yang potong Q, langgar lampu isyarat, parkir halang lalulintas, buang sampah merata, kurang ajar, makan suap terangan, cakap tidak bertapis...saya boleh teruskan lagi, tetapi listen! Saya (dan harapnya anda) tidak perlu begini. Kita tidak perlu melakukan sesuatu yang tidak baik dan selepas itu memaafkan si penerima perlakuan kita itu (ini jelas terjadi beberapa hari lalu :p ) Saya percaya majoriti adalah berhati mulia dan beradab.

Akhirnya saya tersenyum dan terkadang ketawa dengan perangai mamat itu. Itu lebih mudah kerana hidup ini singkat dan tidak perlu diberatkan oleh rasa-rasa negatif.

Sekarang siapa hendak tonton Jin Pakai Toncit? :)




Di Atas Padang Sejarah...

Proses penerbitan naskhah kali ini agak berbeza. Saya sengaja berbuat demikian. Bermula dengan idea dan dengan izin Pak Samad, Rahmat dan saya mula bekerja: Rahmat mengumpul (puisi) dan saya mengatur (kerja). Sudah berkali puisi-puisi yang ada ditolak, dicadang dan ditambah - berulang. Dari harapan menerbitkan naskhah antologi puisi sekitar 160 muka surat, kini berligar sekitar 60-80 muka surat. Dari naskhah yang bertajuk "Unjuk Rasa", selepas dikupas terjelma "Di Atas Padang Sejarah". Cita dan rasa saya  minggu hadapan akan bermula kerja-kerja desain - saya sudah gambarkan kavernya. Orang-orang yang terlibat dalam penerbitan kini seperti desainer dan pencetak juga lain dari biasa - satu risiko sebenarnya bagi seorang penerbit, tetapi saya mahu rasa risiko itu.
Dan dalam setiap terbitan yang saya uruskan, saya akan cari satu atau mungkin lebih kelainan persembahannya - ini naluri penerbit. Dan matlamat seorang penerbit adalah apa yang dipersembahkannya itu disambut baik pembeli/pembaca.
Naskhah "Di Atas Padang Sejarah" insyaAllah akan terbit awal Februari 2013. Harga sasaran adalah antara RM15/20 (lembut) dan RM20/25 (Keras). Jumlah cetakan 2500 lembut dan 500 keras/terhad. Kemeja T akan dijual semasa pelancarannya. Doakan sukses ya :)

Kegagalan...

Saya seorang yag tidak lari dari kegagalan - banyak kegagalan yang saya lalui. Kegagalan-kegagalan ini memberi impak pada kehidupan saya. Apa yang anda lihat kini, sedikit dan sebanyak, adalah hasil dari kegagalan-kegagalan tersebut. Saya sedar saya seorang insan yang sempurna ciptaanNYA, tetapi jauh tidak sempurna dalam mengurus diri sendiri - lantas kegagalan akan sentiasa setia menanti disebelah.

Ada yang kata jangan takut dengan kegagalan. Saya tidak setuju. Itu satu penyataan yang sombong berego. Kita PERLU takut kepada kegagalan disamping kita juga perlu berani untuk meneroka dan kita perlu berani untuk bangkit semula. Fitrah manusia adalah akalnya Dan akal itu adalah satu senjata "survival" - sebab itu kita "adapt".

Dan dalam rasa-rasa takut itu, saya menilai, berdoa dan mengatur langkah. Saya banyak kelemahan...bila difikirkan, saya ini sebenarnya "kelemahan" - bukankah kita semua ini lemah?

Jadi begitulah saya jalani kehidupan saya ini. Tahu saya lemah dan perlu pinjamanNYA untuk "survival" diri. Dan jika saya masih mengejar duniawi dan lalai, bermakna saya tergolong dalam mereka yang rugi.

Sebab itu, ini satu kegagalan yang paling, paling, paling saya takuti - anda pun patut begitu :)


Highway Robbery...

Sepanjang perjalanan di lebuhraya berbayar utara-selatan, ada banyak papan-papan iklan gergasi. Dan saya cuba bacalah apa yang ingin disampaikan Tidak mengapa jika terlepas baca sebab ada ulangan di hadapan dan hadapan dan hadapan hingga dapat baca.

Selepas dapat baca dan faham apa-apa yang ingin disampaikan, saya tersenyum tergeleng. Ini bukan yang saya mahukan. Namun, iklan-iklan masih ada di depan...depan...depan eh bila hendak habis?

Saya kira ini pengisian rohani ala terkini. Masalahnya iklan pengisian rohani ini menggunakan duit siapa? Dan untuk siapa?

Saya bayar gunakan lebuhraya ini dan saya bayar juga untuk iklan-iklan pengisian rohani itu ala fahaman terkini untuk diri-diri dalam iklan itu...

Inilah yang dinamakan "highway robbery"...

Romi & Juli 15.0

Di Cameron Highland...

Romi: Awak tahu teh tarik yang paling sedap sekali ada depan sana!
Juli: Iya?
Romi: Yup. Dorang guna susu lembu asli.
Juli: Iya? Bestnya.
Romi: Kat belakang kedai tu ada tiga ekor lembu.
Juli: Untuk apa?
Romi: Untuk susulah. So freshlah. Sebab itu sedap.
Juli: Oooooooo

Selepas beberapa saat...

Romi: Hahahaha
Juli: Kenapa awak?
Romi: You actually believe the story huh?
Juli: Story apa awak?
Romi: Tiga lembu itu! Hahahaha
Juli: Eeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeeee

Moral: Jangan lurus bendul :)

Usia...

Satu perkara yang saya sedar adalah manusia ini sangat lalai dan mahu jalan pintas atas segalanya. Orang lain tidak penting atau tidak sepenting urusannya.

Ambil senario di pejabat pos. Setiap kali saya ke pejabat pos ini PASTI berlaku:

1. Orang yang memegang nombor yang terlepas akan datang ke kaunter minta jasa baik.
2. Ada orang yang tidak ambil nombor, tetapi mahu berurusan. - dengan muka 10 sen atau yang wanita, buat muka ayu :p

Saya tulis entri ini sebab buat pertama kali saya "sound" seorang wanita yang nombor gilirannya terlepas - bukan 1 atau 2, 12 ok! Dia - bolehlah tahan - terkejut sebentar, minta maaf dan berlalu. Dan selepas itu "brader" kaunter berterima kasih kepada saya :)

Saya rasa akhirnya usia sudah tua lama haha.


The Old Man And The Sea...

Saya memang ada satu ritual apabila membaca naskhah kreatif - saya akan ulang baca setiap tahun. Dalam ritual ini, naskhah Ernest Hemingway - The Old Man And The Sea menjadi pilihan. Impaknya sangat besar pada 2010.

Aku rasai
sendiri yang bukan sendiri
keindahan sepi
dan kini merindui
kau yang bernama infiniti.

Percayalah...

Saya sering terdengar di luar surau pusat membeli-belah...

Wanita: Abang/awak dah solat?

Wanita semakin tidak mempercayai lelaki kan?

Hehe...

Tekanan...

Terlalu banyak dalam kepala dan terasa berat...namun ada beberapa perkara yang mampu menenangkannya.
Ini salah satu darinya - terutama bila seorang anak tersenyum lebar :)