header-photo

Emila Yusof...

Saya tidak terkejut dia mula menerima pengiktirafan . Memang dia mempunyai bakat semulajadi. Dia juga seorang yang tidak kenal erti penat cerewet, teliti dan tidak pernah puas dengan hasil kerjanya.

Hampir 99% rekabentuk terbitan WB dihasilkan olehnya. (Klik sini)

Tahniah buat Emila!

Baca juga ini!

Anak...

Dia sungguh tenang waktu itu. Sesekali dia terkekek - mungkin mengigau kerana harinya sentiasa aktif. Dan saya senyum menyambut setiap kekekannya itu.

Ini biasa berlaku hampir 20 tahun yang lalu. Suasana aman itu meredakan jiwa.

Saya selalu soal diri sendiri tentang kemampuan saya menjalankan amanah seorang bapa. Hingga hari ini saya masih kecewa dengan diri saya sendiri.

Walaupun berkali diberitahu tentang batas kemampuan, namun kekecewaan itu sudah terpahat. Tentu saja anak berhak mendapat sesuatu jauh lebih baik dari seorang bapa - didikan ilmu dan kekayaan, zahir dan batin. Itu rasa saya...

31hb...

Apa yang pasti, malam 31hb akan datang, saya akan duduk diam di rumah kerana malam itu menjanjikan pelbagai "keributan" yang sertai warna-warna cahaya bunga api...

Macam menyambut kemenangan besar bukan?

3 Jumaat...

Bermula Maal Hijrah Jumaat ini (esok) hingga dua lagi selepas esok Jumaat kita cuti. Campur semua Jumaat, Sabtu dan Ahad x 3 = 9 hari! Campur habiskan cuti tahunan dan mc...buat sendiri kiraan. Campur bonus (kalau ada)...

Semuanya dalam masa lebih kurang 2 minggu! Wah berapa hari kerja?

9 hari cuti + cuti tahunan (kalau ada) + mc (kalau mahu) + bonus = banyak masa. Apa yang sering terdengar kini adalah...

1. "Nak cuti di mana?"
2. "Nak shopping kat mana?"
3. "Nak tengok wayang apa?"

Selain,

Enjoy, parti, konsert...bestnya hujung tahun!!!

Persoalan: Itulah kehidupan yang saya kenal kini...tetapi, kenapa saya risau, kacau dan sedih?

Majlis II...

Sesuatu tentang majlis seperti ini...

Saya sedar betapa masa berlalu dengan pantas apabila bertemu saudara mara dan sahabat di majlis seperti ini. Kehidupan yang pantas di kota seperti melalaikan saya tentang masa. Setiap kali bertemu pasti masing-masing terkejut. Ini bukan wajah yang saya ingat - ya, wajah itu sudah dimakan masa.

Jadi bermulalah proses potong dan tampal (cut and paste) dalam minda ini. Wajah dulu diganti wajah terkini.

Diakhir majlis, duduk sendirian dengan segelas teh tarik saya tersenyum sendiri. Saya rasa syukur ditemukan dan disegarkan kembali ingatan tentang mereka ini. Ia seakan satu proses pemulihan (ingatan) dan penyuburan (silatulrahim).

Fikiran saya juga membisik...mungkinkah kita bertemu lagi?

Majlis...

Pagi Sabtu.
Segalanya selamat. Adik saya selamat bernikah di Masjid Darul Ehsan Subang Jaya.

Petang Sabtu.
Segalanya selamat juga. Majlis di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya selamat dijalankan.

Pagi Ahad.
Selalunya santai dan memang santai sehingga...

Ada ramai juga saudara dan sahabat yang disedari tidak dijemput...

Saya minta maaf. Dalam keributan urusan-urusan seharian (baik yang bersangkut paut dengan majlis ini dan peribadi), ada nama-nama yang tertinggal. Saya kecewa.

Tentu sekali yang tidak dijemput rasa lebih kecewa...

Anak Angkat...

Badrul seorang anak angkat semenjak dia bayi lagi. Kini dia 18.

Dua tahun lalu ibu angkatnya meninggal dunia. Sebaik ibu angkatnya meninggal dunia, keluarga sebelah ibunya tuntut hampir segala harta yang ada. Nasib rumah yang diduduki bersama ayah angkatnya masih ada.

Kini dia selalu termenung hingga satu hari dia bertanya kepada seorang kawan karibnya, "Kelak kalau aku tumpang rumah kau boleh?"

Saya faham. Ayah angkatnya sedang sakit. Dia seakan tahu dia akan kehilangan tempat tinggalnya tidak lama lagi.

Manusia memang boleh dibeli dengan harta...

Tuala wanita...

Masa benar sudah berubah...

Dulu, sekitar 70an, saya kerap berbasikal ke kedai. Mak suruh beli sesuatu.

Tokey berbangsa Cina itu akan bungkus kotak tersebut dengan kertas surat khabar. Cara beli pun agak berhati. Suara perlahan kerana seakan ada rasa malu sedikit.

Tapi itu semua sudah berubah. Kini selalunya ambil dan letak dalam troli. Sudah selesai, bayar. Tiada nak sembunyi-sembunyi lagi.

Iklan di TV pun sudah berlambak...

Rasanya seperti sesuatu dari diri kita terhakis berdikit oleh masa tanpa disedari.

Selingan...

Dua jam...
atas meja ada lima gelas kosong dan mamak (sekoh) ni setiap dua minit datang tanya samada aku nak pesan apa-apa - sungguh cekap dan efisyen (nak suruh blah).

Dua jam satu minit...
tekak aku dah loya dengan teh tarik. Rokok pun sama. Dan dalam aku loya dan mula sakit kepala, mamak (sekoh) ni datang lagi. Aku senyum dan menggeleng. Dia blah.

Dua jam tiga minit...
telefon aku berbunyi...

Dia: Dude, sorry. Aku tak dapat datang. Sangkut kat office. Ada dateline.
Aku: Errr ok...
Dia: Ok, catch you some other time. Salam.
Aku: Salam.

Dua jam empat minit...
Aku: Salam. G kau ada mana?
G: KD...
Aku: Jomlah teh tarik!
G: Kat mana?
Aku: Biasa.
G: Ok, 5 minit.

Aku lega. Tersenyum. Sebenarnya aku datang kedai mamak ni tak bawa duit...

Anak...

Benar, mendidik anak bukan satu tugas senang. Ia satu amanah pada saya. Saya bertanggungjawab atas pembentukannya.
Terkadang "letih" juga melayan karenahnya terutama apabila dia berkali sengaja menduga tahap kesabaran saya.
Saya ingat saya tahu segalanya tentang anak.
Namun, anak memang tidak henti menyuluh ruang gelap dan melahirkan rasa baru tentang kehidupan yang selama ini tidak terlihat dan terasa oleh saya.

Membaca...

Siapa yang biasa ke rumah kami pasti terkejut melihat buku-buku dan majalah menghiasi hampir segenap ruang rumah...malah dalam tandas pun terkadang ada majalah dan buku!

Saya tidak tahu berapa banyak buku yang telah saya baca, tetapi sehingga kini sudah menjadi rutin - harus membaca bila sedang santai, sebelum tidur dan semasa dalam tandas rumah...hehe.

Terima kasih kepada bapak yang menerap minat membaca dan mengajar agar tidak "lokek" berbelanja membeli buku.

Lukisan...

Masa saya kecil, bapak sering menyogok buku-buku dan alat-alat tulis kepada kami.

Terimbas masa saya dan kakak melukis lukisan abstrak dan bapak tidak henti memuji dan selepas itu tawar-menawar"membeli" lukisan-lukisan tersebut dari kami.

Saya tertanya samada lukisan-lukisan tersebut masih ada...

Jalan Aman...

Jalan Aman ini terletak dalam "Kawasan Melayu" di "PJ Old Town".

Setahu saya inilah rumah pertama kami setelah "bapak" hijrah dari Singapura.

Tiada banyak yang saya ingat kerana waktu itu saya sekitar 2-3 tahun.

Namun saya ingat waktu saya tergolek jatuh ke dalam longkang semasa duduk atas pembahagi jalan depan rumah (3 jahitan di kepala).

Saya juga ingat waktu saya benar-benar gembira semasa menikam-nikam buah tembikai yang ditanam mak dengan sebatang kayu kecil...

Al-Sagoff...

Deretan rumah setingkat berhadapan jalan yang memisahkan antara yang "moden" dan "lama".

Kami sering melintas setiap pagi menikmati nasi (lupa namanya) yang dibungkus dengan daun ketapang. Makcik yang menjual amat selesa duduk atas pangkin dan dikelilingi periuk-periuk lauk.

Namun, apa yang paling saya ingati adalah loteng dan jamban tongnya...

Kg. Belimbing...

Ini sebenarnya kampung kami. Tanah sawah "bapak" dan adik-beradiknya sekitar dua ekar masih di sini.

Namun, kami jarang "pulang". Orang-orang "lama" kini sudah tiada. Dan yang ada pun saudara terdekat (di sini hampir semua penduduk ada pertalian darah).

Terkenang waktu Firdaus "meraung" tengah malam setelah sebelah petangnya dia berlari-lari menikmati suasana dan kelapangan tanah sawah.

Terkenang juga arwah datuk...

Tan Yew Lai

Kami tinggal di sini sekitar lewat 60'an.

Pelbagai peristiwa berlaku di sini - termasuk rusuhan kaum 1969.

Namun, apa yang saya simpan adalah kenangan-kenangan seperti menerokai bukit-bukit (ingat bendera Di Atas Bukit?), kebun manggis dan laksa Pak Man (mungkin arwah).

Pak Man jual laksanya dengan berbasikal roda tiga. Waktu itu laksa sepinggan dua puluh sen. Dan menjadi "ritual" setiap petang saya dan rakan akan berbasikal ke bawah dan menikmati laksa Pak Man.

Kali terakhir saya menikmati laksa Pak Man adalah sekitar awal 90'an. Selepas itu laksa Pak Man "hilang" begitu saja.

Aneh, rasa laksa dan cucur udang Pak Man masih saya rasai hingga kini...

Kota Damansara...

Awal tahun 2000 kawasan ini hanya dipenuhi tumbuhan - kebun dan hutan kecil. Namun kini, ia telah menjadi sebuah kota - Kota Damansara. Saya tidak pasti, tetapi saya berfikiran inilah salah sebuah kawasan yang paling cepat membangun dalam Malaysia.

Awal 2004 saya pindah ke sebuah rumah pangsa di sini. Waktu itu rasanya amat tenang. Tiada kesesakan dan kelihatan seperti sebuah kawasan "laid back". Namun segalanya kini berubah.

Terkadang terdetik dalam jiwa mengimpikan suasana yang lalu...

Waktu benar semakin pantas berlalu bukan?

Hijrah...

Sudah agak lama saya memikirkan tentangnya - sepanjang entri terakhir seingat saya.

Dalam usia sebegini saya "berat" untuk melakukannya, tetapi "hijrah" itu tidak mengenal usia - saya sedar.

Maka kini, bermulalah satu perjalanan yang "baru" buat saya...semoga sentiasa terpelihara.

Bengkak...lebam...terseliuh?

Dulu zaman saya sekolah menengah, saya pernah bergaduh. Saya seorang. Mereka tiga orang. Lebam dan bengkak muka. Terseliuh leher tak ada pun.

Ingat...tiga orang. Bukan sembilan atau 10 tau. Bengkak...lebam muka!

Tak tahulah kalau sembilan atau sepuluh orang yang pukul. Gamaknya masuk hospital pecah muka...

*Cuma dalam filem hindustan saja hero tak bengkak atau lebam muka kalau bergaduh dengan sembilan atau sepuluh orang.

Salam Aidilfitri

Kepada semua, saya memohon kemaafan atas segala keterlanjuran.

Aksi Ali...

Akhir ini waktu tidurnya "lari" dari kebiasaan.
Gambar-gambar ini diambil sekitar jam 3 pagi
Masih aktif dan bertenaga...
Dia seakan tidak mahu hari itu berakhir...
Syukur saya dikurniakan anak yang sebegini aktif.

Nafsu...

Percayalah, saya cuba sedaya mampu mengekang nafsu setiap kali ke Pasar Ramadhan. Pengalaman mengajar: Hampir 50% juadah yang dibeli mengikut nafsu akan terbuang. Jika diisipun, akan terbongkah kekenyangan dan jadi seakan seperti ular sawa yang membaham lembu.

Kini, saya hadkan satu jenis juadah saja buat diri sendiri dan aneh, selepas berbuka, ia mencukupi dan memuaskan. Saya kira apa yang sedikit itu lebih dihargai dan dinikmati dari apa yang banyak...

House...

Saya diberitahu...

Semasa sekumpulan doktor pelatih diberi taklimat oleh Ketua Jabatan (sebuah hospital kerajaan baru di Selangor), dia telah bercakap tentang rasuah. Bagaimana dia benci dan tidak akan tolak ansur. Saya sokong dan terharu.

Sebaik itu, dia menoleh ke seorang pelatih dan berkata dia tahu siapa ayah pelatih itu. Dia tahu ayah pelatih itu seorang ahli politik yang korup. Dan dia bertanya mengapakah si pelatih hendak jadi doktor sedangkan keluarganya "kaya raya" (hasil korup). Dia juga cabar agar pelatih itu beritahu ayahnya tentang apa yang dikatanya. Ini semua dilakukan depan pelatih-pelatih semua.

Saya cuma tidak faham mengapakah manusia begitu kejam sekali? Mengapa perlu aibkan doktor pelatih itu depan rakan yang lain? Saya tidak tahu bagaimana Ketua Jabatan ini (seorang Doktor Wanita) boleh bertindak demikian. Mana sifat professional? Mana keimanan puasanya? Mana logiknya?

Saya kesiankan adik saudara saya itu (juga seorang doktor pelatih wanita), tetapi inilah harga yang terkadang kita terpaksa bayar jika mempunyai pertalian dengan orang yang dikenali. Namanya manusia. Dan manusia itu tidak sempurna. Sering lalai dan terikut alunan nafsu amarahnya. Redha dan tabah ya dik...

Sebat...

Dulu zaman 70'an "sebat" itu satu kebiasaan bagi saya. Mak sebat saya. Ustaz mengaji sebat saya. Cikgu di sekolah pun sebat saya. Sememangnya 99% saya bersalah dan saya terima. Tidak ramai yang simpati. Tidak pula "kecoh" walaupun ada satu atau dua kes sememangnya saya tidak bersalah.

Kini, tidak kurang juga yang "menyebat". Cumanya "sebat" itu sudah bertukar bentuk. Lihat saja sekeliling dan pasti terlihat. Orang "sebat" tambang, "sebat" projek, "sebat" duit rakyat, "sebat" kuasa, "sebat" antara satu sama lain, "sebat" isteri/laki orang...

Jadi apa yang kecoh sangat tentang "sebat"?

DBP...

Akhirnya Pak Samad terima surat rasmi pengembalian hakcipta buku dari Dewan Bahasa dan Pustaka (bertarikh 7hb Ogos 2009).

Saya ucapkan syukur dan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

Juga terima kasih kepada mereka yang menyokong - terutama yang terlibat dalam menandatangani memorandum lebih setahun yang lalu.

Perjalanan mendaki kini baru bermula...

Taiko...

Saya bertemu dengan seorang ahli perniagaan veteran yang berjaya sebentar tadi.

Saya nyatakan niat. Saya mahu belajar darinya tentang perniagaan.

Dia setuju.

Amin. Syukur alhamdullillah.

Tapi kini (baru berlalu beberapa jam), hati saya meronta-ronta...tidak sabar. Bilakah kami akan bermula?

Tazkirah...

Maaf saya jahil sikit tentang perkara ini.

Saya diajar agar tidak melewat-lewatkan solat. Lantas tertanya, mengapa sesetengah masjid menyelang-selikan takzirah semasa solat terawih? Tidakkah ini seperti melewatkan solat?

Harap yang lebih mengetahui menjelaskan tentang perkara ini.

Keamanan dan kejernihan...

Dulu saya diingatkan datuk serta ustaz-ustaz agar memberi tampilan yang terbaik semasa solat...

Saya ke masjid terkadang bagai ke majlis. Masalahnya, ada rakan yang menyindir, "Wah, kau nak ke majlis mana ni?" atau "Kau ni macam pengantinlah!".

Tepi masjid mengambil air solat bagai pesta air...

Dalam masjid, "Panjanglah pula khutbah," bisik hati dan fikiran melayang memikirkan apa menu makan tengahari atau bagaimana hendak dapatkan rezeki atau ke mana hendak menghabiskan masa hujung minggu hingga terbawa dalam solat...ditepis, timbul, ditepis, timbul...

Juga, selepas solat bergegas hendak keluar dahulu, takut tersangkut dalam kesesakan atau parkir menghalang jalan tetapi, "Alamak, siapalah curi kasut aku ni!"

Selepas menyumpah dalam hati, pandang kiri dan kanan, lantaklah, lantas kerap juga terus mengenakan selipar yang masih ada di tangga masjid...mencuri juga namanya dan tentu saja ada yang menyambung sumpah. Dan hari-hari berikutnya, jika ke masjid akan terpakailah selipar curi atau yang buruk-buruk saja.

Saya tertanya dan selalu tertanya mengapa ini berlaku. Walau ada yang berkata, bukan apa diluar, tetapi apa di dalam itulah yang penting, saya agak tamak, saya mahukan keduanya sekali. Namun, sepanjang perjalanan hidup, entah di mana dan bila, saya korup dan kini terfikirkan tentang perkara-perkara sebegini.

Saya cuma mahukan keamanan dan kejernihan jiwa setiap kali mengadapNya...bilakah? Mampukah?

Rindu Ibu...

Segmen #1
CD Lagu Puisi Rindu Ibu

Dapatkan di www.wirabukit.com

Nikmat...

Saya pernah ditanya, "Apakah nikmat yang paling padat dari hasrat yang tak didapat," oleh seorang kenalan. Ini hasil dari puisi Pak Samad:

Segala yang dihasrat
tapi tak didapat
adalah nikmat
yang paling padat.

Benih Harapan
1973.

Saya jawab, "Banyak sebenarnya, tapi itu semua telah menjadi nikmat buat saya."
Dia ketawa, "Apa dia? Beritahulah satu yang ada dalam kepala sekarang?"
Saya senyum, melayang berfikir..."Dari segi material kekayaan."
"Spiritual?"
"Kekayaan juga."
Dia ketawa, saya tersenyum.

Saya benar rasa "miskin" dalam dua alam ini...

Bapa Perpaduan...

Melihat senario kini dengan lahirnya Satu Malaysia, saya tertanya adakah sepanjang perjalanan selepas Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn yang digelar Bapa Perpaduan, kita mengikis (secara sedar atau tidak) sikap itu?

Atau, ini hanya mainan orang-orang kayangan?

Rapatkan saf...

Sesuatu bila berjemaah di masjid - amat susah untuk benar-benar rapatkan saf. Saya cuba sedaya mampu, (hampir) setiap kali bahu atau jari kami bersentuhan, insan sebelah memberi ruang.

Aneh...

Free...

Saya santai di kafe mamak PJU5 tadi - mengisi perut. Kafe agak penuh kerana berhampiran masjid. Dalam menikmati teh tarik dan roti banjir...

AM: Bang, boleh saya duduk sini?
Saya: Errr sila.

Anak muda ini segak bergaya dan ramah. Saya senang. Sejuk mata.

AM: Ramai orang ya bang.
Saya: Biasalah, hari Jumaat.
AM: Saya Amran (sambil hulur tangan).
Saya: Helmy...Amran kerja sekitar sini?
AM: Tak bang. Saya kerja di Kuala Lumpur. Kebetulan ada kawasan ini bertemu client.
Saya: Amran kerja apa?
Dia seluk saku baju dan hulur kad perniagaannya.
Saya: Wah akauntan! Hebat...
AM: Biasa saja bang.
Dia baru 24 tahun. Kami berbual sambil makan hingga azan. Dia bersungguh hendak belanja walaupun baru berkenalan lebih kurang 30 minit.
Saya: Terima kasih Amran.
AM: Biasa saja bang...abang hubungilah saya jika ada apa-apa hal.
Saya: InsyaAllah.
AM: Saya call abang kalau saya datang area sini lagi ok.
Saya: No problem. Solat sama jom.
AM: Tak apa. Abang teruskan.
Saya tercegat - hairan sikit.
AM: Sorry bang. Jangan marah. Saya free thinker.
Dia senyum dan berlalu.

Amran termasuk dalam doa saya tadi...benar, saya akan hubungi dia kelak.

Borak Kambing...

Salah satu topik "borak" Kafe di Bangsar 7hb Julai...

Kambing Tua: Saya kesian pada bapak...
Kambing Alpha: Kenapa?
Kambing Tua: Esok dengan rasminya bapak bersara...
Kambing Alpha: Hahaha...
Kambing Tua: Hebat bukan?

Firdaus...

Dia anak saya. Kami seperti sahabat baik.

Saya tidak begitu sedar kedewasaannya sehingga seminggu lalu. Selama ini dia dalam lingkungan capaian saya. Kini dia merantau melihat sedikit dunia. Dan saya benar rasa kehilangannya. Risau, tentu saja.

Kisah kami tidak ramai yang tahu. Aneh seorang anak mampu mengikat bapanya (saya) dari melayang-layang tanpa tali. Tetapi, sebenarnya itu lumrah. Saya kira manusia menjadi lebih manusia bila berzuriat - apabila Yang Maha Esa memberi nikmat dalam kami merasai kasih sayang itu.

Saya kira ini dihadapi kebanyakkan ibu dan bapa - melepaskan anaknya mencorak dan membina sejarah masa depannya sendiri.

Cuma saya kesal sedikit kerana tidak mampu menyediakan lebih dari apa yang saya mampu selama ini...

Tahniah...

Tahniah saya sebenarnya buat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berani bertindak berdasarkan kajian dan pemantauan.

“Jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan,” katanya.

Muhyiddin berkata, selain pemantauan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran, Laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains merosot daripada tangga ke-20 pada 2003 ke tangga ke-21 pada 2007.

“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid merosot daripada tangga ke-10 pada 2003 ke tangga ke-20 pada 2007,” katanya.

Sumber: http: Utusan Online

Masa 2...


Bila saya melihatnya, saya tertanya di mana masa-masa itu pergi? Rasa seperti semalam saja dia dilahirkan dan kini...














Dia terjemahkan apa saja dalam fikirannya...







Mengenang kembali...













Masa benar pantas berlalu hingga saya rasa kehilangan dan rugi atas saat-saat tidak bersamanya...

Terkadang...

Terkadang saya tertanya mengapa kita selalu mengandai?

Ini penyakit. Saya terkadangpun mengandai terutama bila berhadapan sesuatu. Mengapa dia jadi begitu? Lebih lagi perbuatan itu melukakan hati. Dan, mulalah andaian demi andaian...kalau perkara yang tidak disukai, andaian itu semua negatif. Saya mengaku, saya berdosa.

Dan kerana itu, saya jarang benar (dan mengelak) dari bercerita tentang orang lain kecuali apa yang berlaku depan mata atau disampaikan sendiri oleh tuan punya diri. Pada saya, apa dalam hati seseorang cuma diketahui Yang Maha Esa - terkadang diri sendiri keliru dengan rasa hatinya sendiri!

Jadinya, mengandai atau lebih buruk lagi melabel seseorang itu saya cuba elakkan.

Sesetengah perkara (terutama andaian) tidak perlu diberitahu dunia...

Minta...

Satu "kelemahan" saya adalah bila hendak meminta sesuatu. Saya benar "tak reti" meminta - kecuali meminta sesuatu (yang bahaya atau penting seperli gelas, objek tajam atau henfon) di tangan Ali. Itupun 99% dia tak layan dan lari bersembunyi.

1. Saya teringat masa di mana Firdaus (anak sulung saya) mohon masuk UITM - dua kali dan gagal. Saya disaran agar menghubungi beberapa orang dalam (yang kebetulan ada saya kenali dan ada direkomenkan) untuk membantu. Ada juga yang menelefon suruh saya guna nama "anda tahu siapa". Saya kelu. Saya tolak. Saya cuma tidak dapat menerima jika Firdaus mendapat tempat orang lain yang lebih layak. Kini Firdaus di Universiti Swasta - Mass Communication - dan saya walaupun perit membayar yurannya yang tinggi, saya rasa aman.

2. Walau ada akses dan pengaruh "anda tahu siapa", saya tidak pernah meminta "projek-projek" - melalui pintu belakang atau "pintu sakti". Saya kelu. Saya tolak. Walaupun ada ramai yang suruh berbuat demikian. Apa yang saya lakukan adalah memohon secara rasmi untuk diberi peluang menyertai apa-apa projek yang difikirkan kami layak. Walaupun perit mengikuti saluran yang "sah" dan "telus", namun syukur alhamdullillah, segala yang diberi kami laksanakan sebaik mungkin. Saya tidak pernah berurusan "persen" dengan sesiapa (orang ketiga) dan tidak akan. Saya rasa aman walaupun WB terkadang lesu.

Saya cuba sedaya mampu untuk tidak bertuhankan wang. Apa yang penting bagi saya, kelak (bila masa sudah tamat) saya tidak dibebani soalan tentang perkara-perkara sebegini.

*Maaf kerana "matikan" fungsi komen.

Masa...

Sahabat saya Ismail meninggal lebih dua minggu yang lalu. Selama itu saya seakan di awangan setiap kali dia menjelma dalam fikiran. Dia 42, saya 46. Kalau ikut senarai sahabat saya, ramai yang sudah pergi...hingga saya rasa masa saya juga hampir tamat - kecuali kebetulan saya berkawan dengan mereka yang umurnya tidak panjang.

Tentu saja semua ini ada hikmahnya...alfatihah buat sahabatku Ismail...

Pembantu rumah...

Agak lama menghilang - hampir dua minggu tidak di laman maya. Ini gara berpindah rumah. Syukur alhamdullillah hampir semuanya beres.

Saya tertarik dengan satu isu yang timbul akhir ini: Pembantu rumah - khususnya dari Indonesia. Entah mengapa seperti ada berbalas tembakan antara pemimpin sini dan sana. Juga media sini dan sana. Ini mengeruhkan lagi suasana.

Saya tiada masalah dengan pembantu rumah saya. Mahani yang umurnya sering bertukar - saya rasa dia dalam 40an, tetapi dia tidak mengaku. Mungkin saja saya salah dan sebenarnya saya tidak kisah - tidak banyak karenah dan pandai menjaga Ali. Tentunya terkadang dia melawan - kerana umurnya itu, mungkin - tetapi itu sesuatu yang baik bagi saya - respon. Saya tidak faham mengapa ada kes-kes seperti yang dilaporkan di akhbar. Maksud saya bagaimana kita sanggup melakukan perkara-perkara sebegitu sesama insan. Apakah kita saja ada hati dan perasaan? Adakah RM300 sebulan itu menidakkan haknya sebagai seorang insan? Mengapa semakin kita "maju", ada yang rasa mereka lebih besar atau tinggi darjat dan berhak mengganyang pembantu rumah yang mereka rasa lembab, bodoh dan sering melakukan kesilapan? Mungkinkah kerana terlalu tertekan dengan kehidupan sehingga sanggup "melepaskannya" kepada pembantu rumah?

Saya sering mengingatkan diri bahawa Mahani seorang insan. Ada hati. Ada rasa. Ada had kemampuannya dan perlu dihormati. Saya anggap dia sebagai sebahagian dari keluarga saya sendiri. Ada juga menganggap saya "manjakannya". Namun, aneh dalam "manjaan" saya itu setakat ini segala tugas yang diamanahkan kepadanya terlaksana. Tiada apa lagi yang boleh saya harapkan.

Hormatilah sesama insan.

Ada dan tiada...

Yang ada pasti tiada...

Saya tidak boleh gambarkan atau rasa bagaimana perasaan mereka yang kehilangan orang yang disayangi - walaupun saya pernah kehilangan datuk-datuk, nenek, saudara dan sahabat baik.

Saya rasa bila kehilangan, kita membiasakan diri untuk hidup tanpa mereka. Kenangan-kenangan pasti terulang bila tiba masa-masa tertentu. Saya tidak tahu tentang yang lain, tetapi saya rasa kenangan-kenangan (termasuk dimarahi dan dirotan datuk) itu indah - saya sering tersenyum dalam linangan airmata.

Hidup mesti diteruskan...

Suatu hari ini pasti tiada...

*Al-Fatihah buat ayah Dila (meninggal semalam), datuk, nenek, makcik, pakcik, saudara, sahabat dan semua. Semoga mereka berada dikalangan mereka yang beruntung.

Udang...



Saya tidak tahu samada udang sebegini sedap dimakan atau tidak. Saya hanya memelihara. Saya tak fikir saya akan makan mereka.










Saya suka melihat mereka tatkala santai. Melihat mereka juga salah satu sumber baik untuk menghilangkan tekanan - pada saya.












Udang-udang sebegini banyak terdapat di tasik-tasik sekitar Lembah Kelang. Tertanya juga, bagaimana mereka boleh membiak dengan begitu cepat.

Gendang & air...


Semasa remaja saya memang tergilakan gendang. Hampir setiap petang saya akan duduk diluar rumah dan mendengar orang sebelah memukul gendang. Gilaan saya ini hilang selepas saya berkahwin...hingga kini.









Dan sedia maklum, sekarang musim panas (efek rumah hijau?) dan air sesuatu yang tidak mungkin dipisahkan dengan Ali...patut jirus pokok...

Singapura...

Setiap kali ke Singapura, saya merasa seperti "pulang" ke kampung.

Saya dilahirkan di Singapura dan sebahagian masa sana dan sini dihabiskan di sana - terutama semasa datuk dan nenek masih ada. Jalan Al- Sagoff (Geylang) dan Opera Estate (Chai Chee) adalah tempat saya menghabiskan cuti sekolah dulu. Selepas itu datuk dan nenek (sebelah mak) berpindah ke Bedok dan datuk, makcik dan pakcik (sebelah bapak) ke Ang Mo Kio.

Bila datuk-datuk meninggal dan nenek ke Kajang, saya jarang sekali ke Singapura kecuali bila ada hal keluarga.

Singapura adalah seperti Singapura yang saya ketahui - kerap berubah tetapi sistem pengangkutan awamnya kelas satu dan tiada masalah untuk bergerak.

Selain melawat keluarga, saya gemar menghabiskan masa di Orchard Road - bukan membeli-belah tetapi santai di Borders (haha ok, saya "membeli-belah buku) - ini kebiasaan, saya akan santai di kedai buku walau di mana saya berada. Saya juga akan santai di bahu jalan Orchard ini dan melihat gelagat manusia. Ini kota Jepun, tidak, Eropah, tidak, Afrika, tidak, Hong Kong, tidak...ini kota pelbagai kaum sebenarnya. Dan kalau saya tidak silap, Kuala Lumpur terkadang dirasai begitu juga...

Dunia semakin kecil...dan menghimpit bukan?

Hijrah...

Yayyy! Saya akan berhijrah tidak lama lagi!

Semoga nanti Ali (dan Chloe, Velvet dan Omar) dapat lebih luas ruang untuk beraktiviti - tidak seperti kini yang seharian terperap kerana saya tinggal di rumah pangsa.

Tapi...pindah itu bakal saja meletihkan...arghhhh juga!

Ada sesiapa nak bantu tenaga? Hahaha...

Becha...

Dulu...

Dalam filem Nasib Do Re Mi..."Oiii pencuri becha, pencuri becha, oiiii pencuri becha..."

Tadi...

Hadapan pejabat..."Tolongggg, tolongggg peragutttttt..."

Memang, antara curi becha dengan rangut, tentu saja rangut lebih mudah bukan? (Lagipun mana nak cari becha kat KL?).

Ternak...

Ini masa lecet. Saya tahu. Tapak kaki saya melecet sana-sini sebab ke sana-sini mencari rezeki (perniagaan).

Sementara itu, sedikit masa terluang, saya buka lorongan baru - penternakan.

Ada udang galah (air tawar) dan Kelah (Emas, Biru dan Merah).

Semua ini ada di Wira Bukit.

Ini masa lecet...

Kejantanan...

Sekumpulan remaja sedang santai di meja sebelah. Mereka agak bising "berborak" sehingga seorang lagi remaja tiba dan duduk bersama mereka. Remaja ini lain sikit. Dia agak "lembut". Remaja itu keluarkan sekotak rokok. Membuka balutnya. Sebatang rokok hinggap di bibirnya. Agak kuat sedutanya. Begitu juga hembusannya ke sekeliling kawannya.

Dia menghulurkan kotak rokoknya kepada kawan-kawannya...

Perokok: Nah hisaplah, aku belanja.

Beberapa kawannya menyambut pelawaan hingga...

Perokok: Kau tak hisap ke Afiq?
Afiq: Tak...
Perokok: Alaaaaa tak jantanlah kalau tak hisap...
Afiq: Abih, kau tu jantan sangatlah ye?

Mereka yang ada semua ketawa. Saya di meja sebelah pun tersenyum.

Perokok: Alaaaa nyampahhh...

Sarah...

Setiap hari ke pejabat, inilah wajah-wajah yang tentu saja menceriakan saya. Mereka juga mengingatkan saya tentang kehidupan dan tanggungjawab...

Justine...

Setiap kali ke pejabat, saya pasti mendapatkannya...
Justine...tanpa kau, aku pasti kehausan. Kau, Justine, memenuhi kehendak nafsuku...

Mungkin...

Semalam semasa santai bersama beberapa rakan selepas majlis ITNM di Putrajaya, ada yang mengusik, "Masih lagi?"

"Haha...ok atas usaha ITNM ini, masih itu saya tolak dulu ke tepi."
"Tolak?"
"Tidak...kini, mungkin...agaknya."
"Mungkin?"
"Ya, mungkin...pada yang inilah."

*Saya tertanya samada bro Pyan Habib sengaja duduk pada sudut di mana jika Pak Menteri diambil gambarnya (oleh wartawan), dia akan sama berada dalam rakaman itu...haha

Masih...

Terdengar di kafe...

A: So what do you think? (Sambil menunjukkan muka utama akhbar.)
B: I think they should leave Musical Chair to kids. It's ridiculous!

Dan saya, masih...

Naga Bonar 1 & (Jadi) 2...

Setiap kali ke RI saya tidak melepaskan peluang mendapatkan buku-buku serta VCD/DVD karya mereka.

Antara yang menghiburkan saya adalah filem Naga Bonar yang dilakonkan oleh Deddy Mizwar. Kedua-duanya adalah filem komidi (ringan, santai dan iseng) patriotik berlatarkan dua generasi berlainan - semasa perang kemerdekaan (Jepun/Belanda) dan masakini.
Saya tertarik dengan babak-babak Naga dan ibunya dalam filem pertama dan Naga bersama anaknya (filem kedua) - terutama saat dia sengaja memberi alasan tidak boleh tidur lantas cuba tidur sekatil dengan anaknya - BoNaga. Dia sebenarnya hanya mahu membelai-belai kepala anaknya itu (seperti waktu dahulu) dan beredar sebaik BoNaga tidur - teringat seperti saya membelai kepala Firdaus semasa dia tidur beberapa tahun lalu.

Dari seorang pencopet ke Jeneral (diangkatnya diri sendiri) hingga seorang tua yang melihat dan cuba untuk mengubah nilai-nilai jatidiri anak bangsa semakin luntur, Naga Bonar benar mencengkam (secara tidak disedari) dengan kata-kata dan aksi spontan.
Saya (sekurangnya) benar "butuhkan" filem-filem sebegini dalam industri sebelah ini.

Korup...

Terdengar...

A: Jomlah pergi...
B: Aku malaslah...
A: Alaaaa kejap saja...
B: Aku malaslah...penat tau!
A: Kejap saja...sekurangnya temanlah aku! Kejap saja...
B: Kau pergilah sendiri. Aku betul-betul penatlah.
A: Alaaa tolonglah. Kejap saja. Nanti aku belanja kau makan.
B: Bila?
A: Malam ni.
B: Kat mana?
A: Vichuda...
B: Mmmm ok, jap aku salin baju...

*A sebenarnya ajak pergi jogging...

Masih...

Santai bersama secangkir kopi di tangan, Kamal bertanya, "Apa pandangan kau tentang pemimpin yang kini?"

Saya mula berfikir...

dan terus berfikir...

dan masih...

Lagi Bisik Warna...

Bisik Warna selamat dicetak pada 23 April lalu...
Buku yang terisi lakaran dan kata mutiara oleh Pak Samad ini setebal 108 mukasurat, kulit keras dengan jaket dan diterbitkan dalam dwi bahasa.
Ini adalah usahasama sulung antara ITNM dan Wira Bukit dan dilancarkan pada 26hb April di Pesta Buku Antarabangsa yang lalu.
Harga senaskhah RM40.00.
Boleh dapatkannya di ITNM, kedai-kedai buku dan Wira Bukit.

Penerbitan-penerbitan 2009/10

Wira Bukit dalam perancangan akhir dalam usaha menerbitkan lima buku. Ini termasuk novel baru Pak Samad yang di jangka siap pada suku tahun pertama 2010.

Kami juga terlibat dalam beberapa "projek" dan sedang mengemaskinikan syarikat.

Dalam usaha-usaha ini kami terpaksa "mengorbankan" beberapa "harta" syarikat seperti set lukisan-lukisan dalam Bisik Warna, manuskrip-manuskrip, koleksi buku peribadi dan juga usahasama dengan beberapa badan yang lain - termasuk di luar negara.

Saya cuma terkilan kerana pihak-pihak di luar negara seakan lebih menghargai set lukisan-lukisan dalam buku Bisik Warna dan juga manuskrip-manuskrip. Besar kemungkinan set lukisan ini akan terlepas ke sana kerana suasana di sini "suam" sahaja.

Saya tahu kelak ini akan dipersoalkan, tetapi demi "survival" syarikat, ini dengan berat hati terpaksa dilakukan. Saya juga sebenarnya kecewa kerana sifat "tidak tahu apa yang kita ada sehingga ianya tiada" itu berleluasa - erti kata lain, seni - terutama dalam dunia sastera - tidak begitu dihargai.
Kami lebih banyak menerima "feedback" dan pertanyaan dari luar berbanding dalam "halaman" kami sendiri. Walaupun ada usaha beberapa pihak (seperti ITNM), tetapi itu tidak mencukupi. Kami perlu terus melangkah ke hadapan dan ke puncak. Kami tidak boleh statik.

Dan kerana itulah, demi untuk terus maju dan bertapak, sesetengah perkara harus kami korbankan.

Terbitan 2009/10:

1. Salina
2. Dari Kabus ke Kabus
3. Bisik Warna (Bahasa Melayu) - Edisi Santai
4. Daerah Zeni
5. Sungai Mengalir Lesu
6. Wira Bukit
7. *Novel baru Pak Samad.

Ali @ 2...

Sabtu lalu ada majlis sikit untuk Ali...
Terima kasih kepada semua yang hadir :)

Merokok...

Bila nak berhenti?

Bandung...

Saya ke Bandung 25hb April lalu - bukan merajuk atau kecewa kerana tidak sertai KLIBF2009 - atas undangan keluarga terdekat.

Entah mengapa, setiap kali ke tanah seberang, saya rasa aman dan selesa. Inilah pertama kali saya ke Bandung - sebelum ini hanya ke Jakarta dan Medan beberapa kali.
Sebaik tiba, saya agak terkejut. Suasana sekitar lapangan terbang - Bandara Husein Sastranegara Bandung tidak "ribut". Semuanya seakan terkawal dan tiada tekanan - seperti desakan "angkut" beg dan teksi. Mungkin kerana lapangan terbang ini terletak dalam kawasan kem tentera udara RI.
Satu perkara yang sama (setakat ini) - "macet". Saya memberitahu Adi bahawa saya tidak mampu memandu dalam suasana sebegini. Namun dalam "kemacetan" (?), kami dihiburkan oleh seniman-seniman jalanan dan para penjual pelbagai barangan. Setiap simpang pasti ada "urusniaga". Baik yang membeli "mainan" atau akhbar, sumbangan kepada seniman yang menghiburkan hingga ke penjaga-penjaga simpang (apabila hendak pusingan U), semuanya melibatkan wang. Ada yang merungut (dalam rombongan Che Kiah saya ini), tetapi saya melihatnya dari sudut yang lain. Saya kagum sebenarnya. Semangat "survival" mereka tinggi.

*Lihat gambar terakhir - tajuk berita "Teraniaya di Istana Malaysia"...

OTI

Dahulu - masa saya "terbuang" di persimpangan jalan - saya sering melewati jalan-jalan sekitar Subang Jaya dan Kuala Lumpur sendirian bersama beg galas berisi komputer dan di tangan sebuah buku, sehingga ada yang anggap urat otak saya terseliuh.

Saya tidak salahkan mereka. Saya sendiri rasa begitu.

Bercakap dengannya tidak membantu anggapan dan rasa sebegitu. Dia di depan saya setiap kali fikiran saya melayang. Saya bertanya, dia menjawab. Dia bertanya, saya cuba menjawab. Dan terkadang, teguran pelayan di kafe tentang cangkir yang kosong merentap saya kembali, berkali juga saya seakan terkial kehairanan memandangnya dan dia juga begitu, setia menanti atau saja mahukan jawapan yang boleh difahaminya.

"Oh...ya, one more please...," dia senyum, manis - pada yang sememangnya manis - atau tawar - pada sang berkumis - dan berlalu dengan cangkir yang kosong itu.

Saya mahu kembali melayang, tetapi melengahkannya. Saya perlu tunggu kopi panas terhidang. Tentu saja saya tidak mahu direntap ketika baru berlepas. Tentu juga sang pelayan tidak mahu devaju...

Devaju...itu sering berlaku ketika kehidupan saya di persimpangan jalan itu.

Selingan...

Kepada persoalan (di YM) kertas jenis apa...

Senang...

Ada duit, woodfree fancy paper...
Ada lebih lagi duit, recycle paper...
Ada duit "cukup-cukup makan", Simile 70gm pun boleh....

Sekian, terima kasih.

Emak...

Dosa terkini saya...

Akhir minggu lalu saya ke Bandung.

Semuanya berjalan lancar hingga...

Firdaus: Bapak...
Saya: Ya...
Firdaus: Nenek kata, amboiiii pergi Bandung tak beritahu dia!
Saya: Astagaaaaa (sambil tepuk dahi dan rasa seperti saya terlanggar dinding!)

Donut...

Salah satu dosa saya...Donut!

Saya "gila" donut walaupun ia tidak membantu dalam pengawalan kolesterol saya.

Donut kegemaran saya Glazzy oleh J.CO. Saya suka juga Glacier oleh Big Apple.

Cara makan:

1. Patahkan dua dan celup dalam kopi panas...satu sesi lima Glazzy/Glacier, tetapi terhad kepada sebulan sekali - kecuali jika saya benar-benar kempunan. Itupun terhad kepada dua kali sebulan.

2. Beli dan makan di rumah. Mana mungkin saya celup donut dalam kopi di khalayak ramai!

3. Dan jangan lupa makan Lipitor!

*Sejarah donut saya:

1. Bermula dengan kuih Keria.
2. Sekolah
3. Kedai kek Thrifty Supermarket.
4. Kedai kek Asia Jaya.
5. Dunkin Donut.
6. Kedai roti di 1UT (Old Wing - berhadapan TGIF),
7. Big Apple - Glacier

Sudah Dua Tahun...

Ali genap dua tahun hari ini...
Saya bersyukur dan sungguh beruntung...
Dia pahit, masam, manis, masin, racun juga penawar...
Dan seperti biasa, dia terlalu pantas bagiku...
Alhamdullillah...

Anie...

Anie...anie...anie...
Orang gaji saya (Mahani) bergegas masuk ke bilik!
Ali sebenarnya panggil Barney di tv.

Doberman...

Saya mula kenali Doberman bila saya berumur sekitar sebelas tahun. Waktu itu kami menetap di Taman Tan Yew Lai, Puchong.

Saya agak nakal waktu itu dan setiap petang selepas mengaji, saya akan "hilang" bersama Kamal - kawan baik saya waktu itu. Kami akan meredah bukit-bukit (baca "Bendera di atas Bukit" - A. Samad Said), menangkap ular hijau, mencari pokok ceri - buah masak dimakan, yang muda dijadikan peluru (untuk senapang lastik) atau hanya bersiar sekitar taman menaiki basikal Raleigh kami. Kami juga akan "turun" (Taman Tan Yew Lai di atas bukit) ke simpang masuk taman dan menikmati laksa yang sehingga kini masih belum saya jumpa dapat menandingi laksa Pakcik Man - arwah agaknya.

Namun kehadiran seekor Doberman milik jiran berdekatan mula mengganggu aktiviti kami. Entah mengapa tuannya sering melepaskannya bebas dan Doberman ini akan menyalak dan mengejar kami bila berkesempatan.

Saya sudah bosan dan kemarahan yang timbul memberanikan saya. Satu hari selepas saya balik mengaji, saya terserempak dengan Doberman ini. Dia memandang saya dan terserlah gigi-giginya yang tajam itu. Saya jadi marah waktu itu dan bertekad untuk menyelesaikannya. Saya mencabut sebatang kayu yang digunakan di kebun kecil hadapan rumah - haha saya dimarahi Makcik Zainab selepas itu kerana pokok kacang panjangnya sedikit rosak - dan terus menjerit dengan kayu di tangan (bila menonton Braveheart saya rasa Mel Gibson tiru saya). Doberman itu terus meluru macam peluru ke arah saya - ah rupanya dia terangsang! Saya pasti saya terkencing dalam seluar waktu itu, tetapi entah mengapa dan kenapa, hampir sedepa dia berhenti. Memandang saya sekitar 10-20 saat (tapi waktu itu saya rasa seperti 10-20 jam!) dan...dia pusing dan lari balik.

Itu kali terakhir kami lihat Doberman itu...

Kamal - Aku rasa kau ada powerlah Mi...
Aku - Betul ke?
Kamal - Mesti punya. Kalau tak takan anjing tu lari. Sampai la ni tak nampak!
Aku - Aku pun pikir gitu. Hari tu Tok Su ada baca-baca dan tiup kat kepala aku.
Kamal - Haaaa betul laaaa!!!

Hahahaha sebulan dua selepas itu baru aku tahu - mak aku kata Makcik Nab nampak kejadian itu dan jiran-jiran sepakat pergi mengadu kepada tuan punya anjing tu.....tapi aku tak pernah beritahu Kamal...

Tapikan, kenapa Doberman itu berhenti?

Pungguk...

Saya bagai pungguk yang rindukan bulan...

Alangkah hebatnya jika kerajaan dengar dan ikut saranan Ibu Ainon (dalam RTM 1 tadi) dan beri ITNM bajet satu billion setahun untuk kerja-kerja terjemahan.

Ah...mana bulan malam ini?

*Terdengar pula suara ghaib yang berkata, "Malammmm sikit..."

(Dino)SOR...

Sor...sor...
Di tangannya seekor Apatosaurus.
Sor...sor...
Pandangannya melekat di tv.
Sor...uhuk uhuk uhuk...sor...
Kepala Apatosaurus dalam mulutnya.
Sor...uhuk...uhuk...sor...
Dia tersedak. Sedikit makanan yang disuap meleleh dari mulutnya.
Sor...sor...
Aku hanya senyum menggeleng.

Kambing...

Entah mengapa, setiap kali saya bersama Rahmat Haron saya teringatkan John...kambing jantan alpha di sebuah ladang di Cheras...

Kalau saya rasa begitu, entah apa jenis binatang pula yang dia samakan dengan saya...

Baca John di sini!

*Saya minta maaf Rahmat kerana teringat begini.

Singa...

Dari mula saya diawal dunia internet hingga kini, memang saya tidak tukar nama panggilan (nick) ini - Sangsinga.

Saya mengaku saya seorang...(eh se ekor?) singa. Memang saya malas. Pemalas ya amat. Rajin bila perut lapar saja.

Garang?
Mungkin.

Mengaum?
Itu kena tanya isteri saya...

Semut...

Enjit enjit semut
siapa sakit naik atas...

dan terus diulang-ulang hingga penat atau bosan.

Tidak mungkin anak-anak zaman digital mempunyai kesabaran sebegitu kini.

Poyo la...kata Faiz.

Ular...

Dulu masa saya makan gaji, saya selalu mengular.

Kini saya pula terpaksa berhadapan dengan sindrom mengular ini.

Cuma saya sering tertanya - ular jenis apakah mereka ini...mematuk...membelit atau hanya mengular?

Kupu-kupu...

Ini kisah tragis sembilan tahun lalu...

I mahu bebas seperti kupu-kupu - katanya.
Saya tahu apa maksudnya. Tetapi, kenapa apa yang saya fikirkan waktu itu cuma kupu-kupu malam?

Kodok...

Dulu masa saya berambut panjang, berkemeja bunga, berseluar ketat di atas tetapi kembang di bawah menutupi but (alaaa ini zaman Saturday Night Fever laaaa) dan sedang makan steamboat roda tiga depan Pertama Kompleks bersama beberapa member...

Kodok!
Hah? Mana?
Tuuuuuu...(amboi bukan main panjang muncung member saya yang selekeh dengan sos masa tu).
Phewittttt phewitttt...
Masa tu memang kita orang panggil kodok begitu!

Naga...

Si Naga ni entah berapa ratus kali jemput saya ke majlis-majlis yang "aweks"nya disediakan.

Maklum, akhirnya saya termakan ajakannya itu.

Memang, "aweks" ramai malam itu..."Lauk," bisik hati saya...bila terbaca tajuk salah satu buku yang dilancarkan.

Naga? Ah, memang hidung dan mulutnya selalu berasap, tapi aku masih tunggu teh tarik pakai buangnya itu.

Bangkey...

Monkey...
Bangkey!
No, Manggggg keyyyyyy
Bangkey!
Ikut uncle...Manggg...
Mangg...
Keyyyyy...
Keyyyy
Monkey...
Bangkey!

Haha...itu cerita monyet anak saudara saya yang rongak...

Harimau...

Pernah dengar puisi-puisi Harimau?

Ya, hari-hari mau...
Apa yang mau?

Cuba tanya diri sendiri...

*Overdose...siapa yang tulis lagi puisi-puisi Hari(hari)mau akan saya panggil poyo....

Bab1...

Saya: Ya...
Dia: Ello bang, apa salah saya?
Saya: Huh?
Dia: Apa salah saya?
Saya: Salah apa?
Dia: Sampai bang marah saya?
Saya: Marah?
Dia: Dalam emel, abang kata saya babi...
Saya: Babi?
Dia: Ya, babi.
Saya: Mana ada?
Dia: Ada.
Saya: Emel yang mana satu?
Dia: Semalam.
Saya: Semalam? Mana ada saya kata awak babi?
Dia: Ada...

Saya mencari kewarasan dan pemahaman dalam kelembapan dan kecelaruan otak yang dikejutkan diawal pagi...

Dia: ello....
Saya: Ya...
Dia: Apa salah saya bang?
Saya: Sila baca Bab satu...
Dia: Bab satu?
Saya: Ya, bab satu, bukan babi...(walaupun dalam hati terkata "babi" kerana bengang). Salam.

Bisik Warna dan ITNM

Bisik Warna lahir akhir tahun 2008. Urusan penerbitannya merangkak dan tersangkak oleh beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Saya benar gelisah dan kecewa. Beberapa perkara yang tidak terduga berlaku menghimpit Wira Bukit.

Dalam golakkan, saya teringatkan ITNM. Lantas saudara Anuar Manshor saya hubungi - melalui Facebook. Kini Bisik Warna sedang dicetak - cuma saya kecewa sedikit kerana bertindak lewat.

Kalau ada satu badan kerajaan yang terlibat dengan dunia penerbitan buku, ITNM adalah sebuah badan yang paling efektif - buat masa ini, pada saya.

Mengapa? Senang. Berurusan dengan ITNM seperti jalan bersantai di taman. Mereka tidak banyak karenah dan berkira - kata lain, "red tape" kalau wujudpun tidak saya sedari. Sebagai sebuah syarikat penerbitan yang kecil, jalan yang dibuat dan ambil oleh ITNM ini bagai sinaran yang menyuburkan dan memberi harapan.

Saya sedar, ini semua bergantung kepada orang yang menerajuinya. Saya berterima kasih kepada Encik Mohd Khair dan anak-anak buahnya dalam usaha mereka dalam perkara ini.

Saya tidak sabar untuk meneruskan kerjasama dengan mereka lagi. Saya juga tidak sabar untuk menguji jalan-jalan yang dibuat dan diambil oleh badan-badan lain seperti...DBP.

Bisik Warna...

Bisik Warna

Ini adalah penerbitan bersama antara Wira Bukit dan ITNM.
Buku ini diterbitkan dalam dwi bahasa - BM dan BI.
Saya cuma berdoa agar sempat siap untuk Pesta Buku Antarabangsa.
Ini pula edisi yang ditempah oleh Axiata Berhad (TMI)

Ali...

Akhir bulan depan dia genap 2 tahun...
Walau banyak karenahnya, tetapi itu semua bagai gula bagi saya...
Terkadang saya terasa rugi dengan masa-masa yang tidak bersamanya...Benar, masa yang berlalu tidak mungkin kembali...kecuali dalam ingatan.

Adakah WBSB akan berada di KLIBF 2009?

Mengapa mereka ketawa...

Saya menerima beberapa emel dan "sms" yang menyatakan betapa mereka sedih melihat Pak Samad ketawa dalam membincangkan isu PSSMI dengan Pak Menteri.

Jangan terpengaruh dengan gambar dan berita di akhbar...

"Apabila ditanya, apakah yang menyebabkan semua Datuk dalam gambar ini ketawa, maka penjelasan Datuk A Samad Said adalah seperti berikut:

Pada masa itu kami terlihat karya lukisan Datuk Hishammuddin di dinding, dan juga ada sebuah puisi yang ditulis oleh Almarhum SN Usman Awang di dinding yang sama. Ada sesuatu yang lucu menyebabkan kami semua ketawa. Tidak ada kaitannya dengan PPSMI!"

PPBM Gesa Kembalikan Martabat Bahasa Melayu

PPBM Gesa Kembalikan Martabat Bahasa Melayu.

Mengapa baru sekarang?

Sekarang itu bila? Mungkin kita lupa...

Petikan...

Suara dari Dinding Dewan

"Bahasamu suara resah dan batin rimba
berkali diyakinkan wira bangsa.
Kebingungan empat dekad merdeka."


"Empat dekad bahtera bangga
anak cucu wajar menduga
mereka khusyuk atas sejadah
depan al-Quran mereka bertanya:
Buah ranum pada tangkai
bahasa gugur dari hati -
sekali janji, sekali nafi;
sekali pancang, sekali pincang,
iktibar apakah semua ini?"


A. Samad Said
23-25 Mei, 20-22 Jun 1996.

Julai 1997 - Dewan Sastera

2003 - Suara dari Dinding Dewan.

*Dengan ini , beberapa tulisan dan komen mengenai mengapa baru kini Pak Samad bersuara dan tidak pada 2003 adalah tidak benar.

Sekian,

terima kasih.

Kajian: Hanya 4% kuasai BI melalui PPSMI

Dapatkan berita tentang kajian ini di Malaysiakini.

Laporan penuh kajian Pembina dengan kerjasama:

Universiti Putra Malaysia,
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Universiti Sains Malaysia
Universiti Utara Malaysia
Universiti Teknologi Mara
Malaysia Universiti Teknologi Mara Sarawak
Universiti Malaysia Sabah
Universiti Teknologi Malaysia

Dapatkan di sini: Dapatan kajian Pembina

Oh lupa...

Oh saya lupa! Wajah baru blog ini hasil kreatif Emila Yusof. Dia menggunakan rekabentuk oleh Styleshout, Blogger template by Blog and Web.


Terima kasih!